Ada sesuatu yang berbeza apabila memandu kereta yang bukan sahaja sedap dipandang, tetapi juga membuatkan perjalanan terasa lebih selesa. Lebih-lebih lagi apabila perjalanan itu melibatkan suami, anak kecil dan destinasi yang cukup dekat di hati, balik kampung!
Baru-baru ini, saya berpeluang membawa Mercedes-Benz GLA Nightfall Edition ke Batu Pahat bersama keluarga. Sebagai seorang wanita yang perlu memikirkan banyak perkara ketika merancang perjalanan bersama anak, saya melihat sebuah kereta bukan sekadar alat untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Ia perlu selesa, praktikal dan cukup menyenangkan untuk menjadikan setiap perjalanan satu pengalaman yang boleh dinikmati.
Dan saya harus akui, ada banyak perkara yang membuatkan saya jatuh hati dengan GLA Nightfall Edition ini.

First impression? Memang cantik.
Perkara pertama yang mencuri perhatian saya ialah reka bentuknya. Mercedes-Benz GLA Nightfall Edition tampil dengan karakter yang lebih sporty menerusi Night Package yang menampilkan elemen hitam berkilat, digabungkan dengan AMG Line yang memberikan penampilan lebih garang dan eksklusif. Saya suka bagaimana reka bentuknya kelihatan moden tanpa terlalu sarat. Ada aura premium, tetapi masih cukup understated untuk mereka yang sukakan gaya elegan dengan sedikit sentuhan sporty.
Rim AMG juga melengkapkan penampilannya. GLA 200 Nightfall Edition hadir dengan rim 19 inci, manakala GLA 250 4MATIC Nightfall Edition menggunakan rim 20 inci. Dari luar, GLA Nightfall Edition memang mempunyai karakter tersendiri — jenis kereta yang membuatkan kita menoleh sekali lagi sebelum masuk ke dalam.
Bagi saya, kereta juga sebahagian daripada gaya hidup. Tak semestinya perlu terlalu menonjol, tetapi apabila reka bentuknya kena dengan cita rasa sendiri, pengalaman memandu itu terasa lebih istimewa.
Perjalanan ke Batu Pahat yang terasa lebih menyenangkan
Perjalanan balik kampung selalunya memerlukan sedikit perancangan. Bila sudah ada anak, kita bukan sekadar fikir tentang masa perjalanan atau keadaan trafik. Kita juga perlu memastikan anak selesa, barang keperluan mencukupi dan perjalanan berjalan selancar mungkin.
Sepanjang perjalanan ke Batu Pahat bersama suami dan anak, saya menikmati pengalaman pemanduan GLA Nightfall Edition yang terasa lancar dan selesa. Kedudukan tempat duduk yang lebih tinggi memberikan pandangan jalan yang baik, manakala suasana kabin yang kemas dan moden menjadikan perjalanan terasa lebih menyenangkan.
Apa yang saya hargai ialah pengalaman itu sendiri. Tidak perlu sentiasa memikirkan tentang perjalanan yang panjang kerana saya dapat menikmati masa bersama keluarga sambil fokus pada pemanduan.
GLA Nightfall Edition turut dilengkapi sistem DYNAMIC SELECT yang membolehkan pemandu memilih mod pemanduan mengikut kesesuaian. Untuk mereka yang gemarkan pemanduan lebih bertenaga, GLA 250 4MATIC Nightfall Edition menggunakan enjin 2.0 liter turbo yang menghasilkan 224 hp dan tork 350 Nm. Sementara itu, GLA 200 Nightfall Edition menggunakan enjin 1.3 liter turbo dengan kuasa 163 hp dan tork 270 Nm.
Namun, bagi perjalanan bersama keluarga, perkara yang paling saya hargai bukanlah semata-mata pada kuasa enjin. Sebaliknya, bagaimana kereta itu melengkapkan perjalanan dan memberikan keselesaan kepada saya, suami dan lagi-lagi anak kecil yang berada di dalamnya.

Bila berjalan bersama anak, baby car seat memang satu keperluan
Sejak mempunyai anak, definisi kereta yang sesuai untuk saya sudah sedikit berubah. Ruang untuk kerusi khas anak, kemudahan menguruskan barang anak dan keselesaan penumpang belakang kini menjadi antara perkara yang saya fikirkan sebelum memulakan perjalanan.
Untuk GLA 250 4MATIC Nightfall Edition, ruang tempat duduk belakang boleh digunakan untuk memasang car seat bayi yang bersesuaian. Bagi saya, ini satu perkara penting kerana keselamatan dan keselesaan anak sentiasa menjadi keutamaan.
Walaupun GLA merupakan sejenis kenderaan SUV kompak, ruang tempat duduk masih praktikal untuk perjalanan bersama keluarga kecil. Namun, saya tetap menyarankan ibu bapa mencuba pemasangan baby car seat masing-masing terlebih dahulu kerana saiz dan reka bentuk setiap kerusi khas ini juga berbeza.
Satu lagi ciri yang saya suka ialah EASY-PACK tailgate, yang memudahkan urusan membuka pintu bonet. Apabila tangan penuh dengan barang anak, kemudahan seperti ini memang terasa sangatlah berguna. Kadangkala, perkara kecil yang memudahkan rutin harian inilah yang membuatkan kita lebih menghargai sesebuah kereta itu, betul tak?
Kabin yang membuatkan saya mahu duduk lebih lama

Menginjak ke tempat duduk, kereta ini menawarkan suasana moden dengan sentuhan sporty yang cukup menarik. Tempat duduknya menggunakan material ARTICO man-made leather dan MICROCUT microfibre berwarna hitam, dilengkapi jahitan kontras kelabu. Kemasan aluminium bercorak ira memanjang dan stereng sport berbalut kulit Nappa pula memberikan sentuhan yang lebih eksklusif.
Saya juga tertarik dengan pencahayaan yang menawarkan 64 pilihan warna. Ia memberikan suasana kabin yang lebih menarik, terutama ketika memandu pada waktu malam. Anak juga suka dan terpegun. Skrin multimedia MBUX berukuran 10.25 inci dipadankan dengan paparan instrumen digital bersaiz sama, menjadikan ruang pemandu kelihatan kemas dan berteknologi tinggi. Sambungan Apple CarPlay dan Android Auto pula memudahkan penggunaan aplikasi navigasi serta muzik daripada telefon pintar.
Bagi saya, muzik dan suasana dalam kereta memainkan peranan besar ketika perjalanan jauh. Apabila kabin terasa selesa, kita boleh menikmati perjalanan dengan lebih santai, sama ada sedang berbual dengan suami, mendengar lagu kegemaran atau sekadar menikmati pemandangan di sepanjang lebuh raya. Sistem kawalan iklim automatik THERMOTRONIC turut disediakan untuk membantu mengekalkan suhu kabin yang selesa. Ini pastinya ciri yang dihargai dalam cuaca Malaysia yang panas dan lembap, lebih-lebih lagi di kampung.
Parking pun lebih mudah, terutama ketika keluar bersama keluarga

Satu lagi perkara yang saya rasa praktikal ialah feature meletak kereta dengan kamera 360 darjah dan Active Parking Assist dengan PARKTRONIC.
Bagi saya, kemudahan parkir memang penting, lebih-lebih lagi apabila perlu mencari tempat letak kereta di pusat beli-belah atau kawasan yang agak sempit. Paparan kamera 360 darjah membantu memberikan gambaran keadaan sekeliling kenderaan, manakala sistem bantuan parkir boleh membantu ketika mencari ruang yang sesuai. Koleksi GLA Nightfall Edition turut dilengkapi ciri seperti Blind Spot Assist, Exit Warning Assist dan Active Brake Assist untuk membantu pemandu lebih peka terhadap persekitaran.
Satu perkara yang saya harap boleh jadi lebih baik

Walaupun saya memang menyukai banyak perkara tentang GLA Nightfall Edition, ada satu perkara yang saya sedar apabila membawa kereta ini balik kampung, ruang tempat letak beg baju di bonet memerlukan sedikit perancangan.
Kita semua tahu bagaimana persiapan balik kampung boleh jadi, lebih-lebih lagi apabila membawa anak kecil. Selain beg pakaian sendiri dan suami, ada pula beg anak yang tersimpannya lampin, pakaian tambahan, barangan penjagaan dan pelbagai keperluan yang kita rasa perlu dibawa bersama. Belum lagi kalau perlu membawa stroller.
Akhirnya, ruang bagasi terasa agak terhad apabila semua barang perlu dimuatkan sekali. Saya terpaksa lebih teliti memikirkan barang mana yang benar-benar perlu dibawa dan bagaimana hendak menyusunnya supaya semuanya muat dengan baik.
Bagi saya, ini bukan bermakna GLA Nightfall Edition tidak sesuai untuk keluarga. Sebaliknya, ia lebih kepada soal gaya perjalanan masing-masing. Untuk perjalanan singkat atau rutin harian bersama keluarga kecil, ia masih menawarkan praktis yang baik. Tetapi jika anda jenis yang suka membawa banyak barang setiap kali pulang ke kampung, anda mungkin perlu merancang ruang bagasi dengan lebih bijak. Kadangkala, kita memang mahu membawa semuanya. Hakikatnya, apabila ruang terhad, kita perlu belajar memilih apa yang benar-benar diperlukan.
Sebuah SUV premium untuk menikmati perjalanan dengan cara sendiri
Mercedes-Benz GLA Nightfall Edition ditawarkan pada harga RM258,888 untuk GLA 200 Nightfall Edition dan RM295,888 untuk GLA 250 4MATIC Nightfall Edition. Kedua-dua harga adalah atas jalan tanpa insurans bagi Semenanjung Malaysia. Adakah ia sempurna? Tidak semestinya. Ruang bagasi yang agak terhad untuk membawa banyak barang balik kampung ialah satu perkara yang perlu dipertimbangkan. Namun, saya tetap menyukai karakter GLA Nightfall Edition. Ia mempunyai gaya, keselesaan dan sentuhan premium yang membuatkan pengalaman memandu terasa istimewa tanpa perlu menunggu acara atau destinasi tertentu.

