Langgan

Gastronomi Mewah The Coach Restaurant di Jewel Changi Airport Singapura!

Bersama ELLE terbang ke Singapura sempena pembukaan The Coach Restaurant. 
3 minit untuk membaca
Published: November 24, 2025

Dari pemandangan ikonik Jewel Changi ke hidangan penuh karakter, semuanya bermula sebelum anda menjejak awan biru. Bersama ELLE terbang ke Singapura sempena pembukaan The Coach Restaurant. 

Di tengah gemerlapan Lapangan Terbang Jewel Changi Singapura, muncullah sebuah bintang baharu membuka tirainya. The Coach Restaurant, sebuah steakhouse moden berjiwa New York, hadir mencipta detik gastronomi mewah di Asia Tenggara langsung menandakan langkah penting buat Coach dalam melangkaui fesyen dan kini memasuki dunia hospitaliti dengan penuh yakin. Selepas kejayaan pelancaran The Coach Coffee Shop, pembukaan restoran ini telah menjadikan Singapura destinasi gaya hidup paling komprehensif untuk jenama ini. 

Coach Restaurant

Telah dibuka pada 31 Oktober yang lalu menerusi visi Coach yang diinspirasikan oleh ‘Expressive Luxury’ ini menentukan gaya hidup bukan terbina hanya menerusi sesebuah produk tetapi juga menerusi ruang ekspresi diri yang lebih luas. 

“Ketika kami terus meneroka cara baharu untuk berhubung dengan pelanggan melangkaui pengalaman runcit tradisional, The Coach Restaurant merupakan ekspresi berani kreativiti dan pertukangan jenama kami melalui cita rasa kulinari,” kata Todd Kahn, Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Jenama Coach. “Setiap perincian, daripada pelapik meja dan apron hinggalah porterhouse steak, direka dengan teliti dengan budaya Coach sebagai rujukan. Pengguna hari ini, terutamanya Gen Z, mendambakan pengalaman yang autentik, imersif dan relevan melalui budaya. Matlamat kami sentiasa untuk bertemu mereka di mana mereka berada dengan cara yang segar dan jelas mencerminkan identiti Coach.”

Aura New York Dibawa ke Singapura

Reka bentuk restoran yang menghadap Rain Vortex ikonik Jewel ini bagaikan membawa tetamu ke pentas metropolis New York. Ruang makan 56 tempat duduknya disatukan dengan palet arkib Coach yang hangat, siling melengkung yang dramatik, serta bar 10 tempat duduk dan chef’s counter yang menawarkan pemandangan dapur terbuka. Segalanya terasa intim namun bertenaga bagai sebuah steakhouse klasik melalui lensa moden.

Setiap perincian restoran ini mengangkat warisan Coach sebagai rumah kulit asli Amerika. Daripada sarung menu, gelung napkin, apron hingga pelapik meja direka menggunakan kulit jenis glovetanned, sementara rekaan pinggan mangkuknya juga diinspirasikan daripada koleksi Coach. Dinding bercermin gangsa, lantai terrazzo dan kayu tropika louvers menggabungkan DNA New York dengan sentuhan Asia Tenggara. Tidak ketinggalan, di tengah ruang pula didekorasikan dengan sebuah teksi kuning New York bersaiz sebenar tergantung sebagai instalasi dramatik di siling sekaligus menjadikan restoran ini destinasi visual yang wajib dikunjungi.

Dapur Kayu-Api yang Menjadi Nadi Pengalaman

Menerajui dapur ialah Ketua Chef Kurt Sombero, nama yang tidak asing dalam dunia kayu-api, dengan pengalaman dari restoran Burnt Ends dan Meatsmith Little India. Menu yang dicipta merai steakhouse gaya klasik yang ikonik sambil mengetengahkan signature dan kreativiti jenama Coach. Di bahagian menu The Raw Bar, restoran ini mempersembahkan seleksi tiram Amerika segar, koktel udang jumbo dan hidangan playful seperti Black and White Bagel berlapiskan kaviar sebagai reinterpretasi kreatif biskut hitam-putih terkenal New York. Untuk pembuka selera, Maryland-Style Crab Cakes, Penne alla Vodka dan Caesar Salad menambah keseimbangan tekstur dan rasa.

Di sini, tumpuan utamanya adalah pada potongan daging berkualiti tinggi iaitu USDA Prime, Wagyu Satsuma Jepun A5 dan porterhouse yang digelar sebagai kemuncak pengalaman. Dipotong tebal, berperisa dan cukup ideal untuk dikongsi. Dari dapur gril pula, pengunjung boleh menikmati Dover Sole bersama mentega perang sitrus-kaper, Lemon Thyme Roasted Chicken serta Lobster Maine dengan black pepper hollandaise yang mana turut menjadi pilihan yang memukau.

Coach Restaurant

Menambahkan lagi jiwa New York apabila anda menginjak ke restoran ini, anda boleh merasa aura Street Eats yang unik seperti hidangan piza gaya New York, hot dogs juga Coach Cheeseburger. Ini amat menarik kerana ia memperkenalkan sebuah interpretasi moden yang pastinya paling digemari pengunjung. Manakala untuk pemanis, menu di sini menawarkan seleksi dramatik yang turut membuatkan kami terpegun di mana hidangan seperti 20 lapis Chocolate Cake dengan ganache coklat pekat! Selain itu, terdapat juga menu pemanis mulut seperti PB&J Baked Alaska, New York Cheesecake juga sundae ais lembut.

Senarai wain 100 botol semuanya khasi di bawa dari Amerika disusun indah oleh Head Sommelier, Jane Yoon, yang mengimbangi watak dan cerita dalam setiap pilihan pengunjung. Program koktel restoran ini turut diraikan dengan kreatif dan penuh gaya.

Fesyen Bertemu Gastronomi

Terletak bersebelahan butik Coach di Jewel, restoran ini meraikan naratif gaya hidup jenama tersebut dalam satu ruang serba lengkap. Pengunjung kini boleh menikmati pengalaman unik di mana mereka boleh membeli-belah, bersantai dan menikmati hidangan berkualiti tinggi di bawah satu bumbung disatukan oleh tema komuniti, ekspresi diri dan pertukangan. The Coach Restaurant SIngapura ini bertempat di Jewel Changi Airport, 78 Airport Boulevard, #01-207, Singapore 819666 dan beroperasi setiap hari bermula 11.30 pagi hingga 10 malam. 

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down