
Park Chan-wook membuat saya resah. Resah memikirkan jika fungsi manusia di masa depan diambil alih sepenuhnya sistem teknologi dan manusia perlahan-lahan kehilangan kerja dan harus membunuh sesama sendiri hanya untuk mempertahankan dan mendapatkan peluang.
Setidaknya itu yang membekas di fikiran saya setelah menonton "No Other Choice" - sebuah persembahan baru filem pengarah prolifik ini. "Decision to Leave" yang menjadi filem terakhirnya sebelum yang ini sudah membuat saya berfikir-fikir persoalan what if? Dia meneruskan ilham serupa di filem ini.
"No Other Choice" membawa kisah watak utamanya, Man-su yang digambarkan sebagai seorang lelaki yang paling bahagia di dunia berubah takdir atas desakan hidup yang membawanya ke lembah kekejaman yang bukan lagi menjadi sesuatu yang absurd tetapi pilihan akhir.
Industri percetakan dan kertas yang diterajuinya lebih dua dekad dengan pengalaman dan kepakaran menemukan jalan hujung apabila teknologi mendominasi perindustrian. Man-su satu daripada ramai karyawan di syarikat tersebut yang dibuang kerja. Namun dia masih percaya, nilai yang ada padanya akan membuatkan dia kembali bekerja dalam bidang tersebut.
Malangnya tidak semudah apa yang dia bayangkan. Peluang semakin sempit, competition is getting tougher. Untuk mendapatkan kembali pekerjaan itu dia hanya memiliki satu jalan akhir sahaja - Menghapuskan kesemua pesaingnya.
Di sini peranan Park Chan-wook dalam memberi kritikan sosial bermula. Pabila desakan hidup beralih menjadi sebuah brutalism - manusia semakin hilang waras dan sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan diri dan kerana ego.

Watak Man-su lakonan Lee Byung-hun dipotretkan sebagai lelaki normal. Melalui hari-harinya seperti biasa tetapi itu hanyalah topeng yang disarung bagi menidakkan segala hal-hal jahat yang dilakukan itu tidak kelihatan sebagai satu jenayah.
Ini adalah ketakutan sebetulnya. Apa yang digambarkan dalam watak ini sebenarnya sudah menjadi satu normalisasi manusia hari ini. It's okay to do this, it's okay to do that - sekali pun caranya jelas salah. Dan ini yang mahu dikongsi Park Chan-wook menerusi filem ini. Kita manusia membenarkan hal-hal yang salah menjadi kebiasaan dan perlahan-lahan kebiasaan itu menormalisasikan banyak hal yang salah.
Park Chan-wook merungkai persoalan what if? Andai kata satu hari nanti kita semua kehilangan kerja kerana teknologi AI mendominasi dan atas desakan persaingan yang kuat untuk mendapatkan kerja pilihan yang tinggal adalah dengan membunuh pesaing kita? No other choice than that.
Filem ini cukup sarat pengisian, pemikiran dan keresahan. Park Chan-wook seorang yang cukup sensitif dalam perihal sosial dan masa depan. Dia seperti mampu melihat satu masa depan yang menakutkan bakal kita hadapi sebagai manusia. What if, anda ialah Man-su - would you kill your competitors just to survive?

