Ikon skuasy Malaysia, Datuk Nicol Ann David, telah mengubah legasi sukan legendanya menjadi satu misi berimpak melalui Nicol David Organisation. Yayasan ini menggunakan kuasa sukan sebagai pemangkin perubahan, mempromosikan aktiviti fizikal, kesedaran kesihatan mental dan psikologi positif. Sehingga kini, program-program yayasan telah menjangkau lebih 1,600 kanak-kanak, berserta keluarga, sekolah dan komuniti di sekeliling.

Bagaimanakah rutin harian anda dari pagi hingga malam?
Kebiasaannya, hari saya bermula seawal jam tujuh pagi. Saya akan bersiap dan menuju ke pejabat di yayasan saya, biasanya tiba antara jam 9.30 hingga 10 pagi untuk memantau dan menyelaras program-program yang sedang dijalankan. Itu selalunya mengisi separuh pertama hari saya. Namun, banyak juga urusan yang berlaku di luar pejabat. Saya dan pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Mariana de Reyes, kerap bertemu dengan rakan strategik dan penaja untuk berkongsi perkembangan terkini serta membincangkan perancangan seterusnya. Usaha pengumpulan dana juga merupakan tanggungjawab utama kami, jadi sebahagian besar masa dihabiskan di luar pejabat.
Apakah perkara yang anda tetap lakukan setiap hari walaupun jadual sangat sibuk?
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya sedar bahawa saya perlu memperuntukkan masa untuk diri sendiri. Jika tidak, ia akan terus digantikan dengan komitmen lain dan akhirnya saya akan keletihan seperti yang saya alami tahun lalu. Tahun ini, saya bertekad untuk menetapkan dua sesi senaman tetap dari jam lima hingga tujuh petang. Sesi ini bukan sahaja melibatkan latihan fizikal, tetapi juga pemulihan seperti fisioterapi dan rehat yang berkualiti. Badan saya benar-benar memerlukan keseimbangan itu. Apabila saya tidak konsisten bersenam, saya dapat merasai kesannya secara fizikal dan ia turut mempengaruhi keadaan mental saya.
Bagaimana anda menggambarkan leadership style anda dalam tiga perkataan?
Encouraging. Positif. Telus. Saya berusaha untuk bersikap terus terang dan menyatakan dengan jelas apa yang sedang berlaku, menangani isu seawal mungkin daripada membiarkannya berlarutan. Bagi saya, komunikasi yang terbuka membina kepercayaan serta memperkukuh kerjasama dalam pasukan.
Kepada siapa anda mendapatkan pandangan atau nasihat apabila berdepan keputusan penting?
Mariana de Reyes. Kami bekerja rapat dan berkongsi visi serta matlamat yang sama dalam membangunkan yayasan ini. Pada masa yang sama, kami membawa perspektif yang berbeza, dan perbezaan itulah yang saling melengkapi antara satu sama lain. Kebiasaannya, Mariana mempunyai gambaran menyeluruh serta pelan yang jelas, selain sangat kreatif dalam merangka idea dan hala tuju. Saya pula cenderung memberi perhatian kepada aspek yang lebih terperinci, memastikan segala perancangan selari.
Pada pandangan anda, apakah makna kejayaan hari ini berbanding sepuluh tahun yang lalu?
Secara peribadi, saya melihat kejayaan sebagaikeupayaan untuk memberi kesan yang bermakna kepada seramai mungkin orang. Kini, saya mengetuai pasukan seramai 16 orang dan tanggungjawab tersebut memperkukuhkan lagi pemahaman saya tentang erti kejayaan.
Pada pendapat anda, apakah yang menjadi ‘jiwa’ kuala lumpur hari ini?
Bagi saya, ‘jiwa’ Kuala Lumpur terletak pada rakyatnya dan kekayaan budayanya. Kini, terdapat usaha yang sedar dan berterusan untuk menghidupkan kembali rasa cinta terhadap bandar ini melalui seni, budaya serta pemulihan bangunan-bangunan bersejarah. Kita sedang kembali kepada akar dan identiti kota ini, sambil menyuntik semula tenaga tersebut ke jantung Kuala Lumpur.
Jika seorang wanita muda di Kuala Lumpur mengikuti perjalanan kerjaya anda, apakah nasihat yang ingin anda berikan?
Saya ingin mereka tahu bahawa wanita dan gadis Malaysia mempunyai kemampuan yang sangat besar untuk mencapai apa sahaja yang mereka impikan. Saya sendiri berjaya merealisasikan impian saya dalam sukan skuasy, dan pengalaman itu kini diterjemahkan ke pelbagai aspek kehidupan saya, termasuk menguruskan yayasan sendiri dan memimpin pasukan. Jangan sesekali meremehkan kekuatan yang ada dalam diri anda. Kita semua mempunyai kuasa dan potensi yang besar untuk mencipta perubahan dan mencapai kejayaan dalam banyak cara.
KREDIT
FOTOGRAFI: AARON LEE / LENSWORKS PRODUCTION
KONSEP DAN PENYELARAS: SARAH HANI JAMIL
ARAHAN SENI: IERA NADZLIM DIBANTU AMIRA AZMAN
PENATAAN GAYA: MUZAMMIN MUZLAN DAN ATHIRAH ZAHRA
SOLEKAN: CAT YONG DAN AHMADANI MENGGUNAKAN CHANEL BEAUTY
DANDANAN: JUNO KO DAN MAY WOO
PAKAIAN DAN AKSESORI: CHANEL

