Menjadi seorang penghibur yang bakat serta keberadaannya direstu seluruh pendengar kadang membawa satu jalan yang panjang untuk sesetengahnya. Ada yang harus menghasilkan lagu bersilih lagu dan menunggu bertahun lamanya hanya kerana mahu melangkaui fasa pembuktian agar bakat mereka diperakui. Namun saya kira perjalanan yang harus dilalui Mahalini nyata berbeza. Biar tidak mendapat tempat tiga teratas di pertandingan Indonesia Idol, Mahalini melalui satu transisi mudah dan penuh restu pendengar nusantara.
Berawal dengan ‘Melawan Restu’’ bersilih ganti single yang memanjat carta muzik. ‘Fabula’ is a killer album kata saya padanya memulakan bicara. Dengan barisan hit seperti ‘Sial’, ‘Sisa Rasa’,‘Bohongi Hati’, ‘Kisah Sempurna’ dan ‘Bawa Dia Kembali’ menjadikan Mahalini sebagai the most streamed artist di Indonesia pada tahun 2023 dan sehingga hari ini dengan lebih sembilan juta pendengar di Spotify menjadi bukti keutuhannya. ‘Fabula’ an instant classic, sebuah persembahan Pop yang tidak hanya meraih jutaan pendengar malah diiktiraf di majlis penganugerahan muzik Indonesia sebagai salah sebuah album terbaik.
Hanya dalam masa enam tahun dan mengecap sebuah lapangan karier yang cukup stabil menjadikan dia antara yang cukup diraikan. ‘Koma,’ sebuah album yang meneruskan kelangsungan ini datang dengan visi yang lebih besar dan cerita yang lebih personal. Peluang yang saya miliki untuk berbual dengannya tidak saya siakan kerana pada saat dan ketika ini she’s at her peak of life tidak hanya sebagai pemuzik malah sebagai wanita yang paling bahagia melewati hari-hari sebagai seorang isteri dan ibu.

ELLE: Kurang lebih enam tahun setelah ‘Indonesian Idol’ saya kira Lini sudah mencipta satu momen besar dalam karier. Dengan barisan hits, one concert after another dan pengikut yang besar. How do you see yourself now?
Mahalini: Sangat bersyukur dan beruntung. Sejujurnya saya tidak pernah membayangkan apa yang saya miliki hari ini dulu namun saya percaya pada setiap usaha itu akan ada jalan keberuntungannya. Kadang rasa bagai mimpi kerana saya hampir tidak meneruskan keinginan dalam bidang muzik setelah mula kuliah dalam bidang kedoktoran namun peluang yang datang untuk menjadi sebahagian daripada program Indonesian Idol mengubah cerita hidup saya.
E: Pada usia semuda ini juga Lini sudah bergelar isteri dan ibu. Perjalanan ini sesuatu yang Lini bayangkan dulu atau tidak sebenarnya?
M: Sejujurnya saya tidak pernah membayangkan diri saya menikah sehingga bertemu Iky (panggilan untuk Rizky Febian). Dia merubah pandangan saya dan membuat saya percaya bahawa ada insan yang mampu melengkapkan dan paling penting memiliki satu sudut pandang yang seiring tentang banyak hal. Selina (anak sulungnya) hadir juga tidak pernah saya bayangkan namun saya selalu percaya apa yang tuhan selalu berikan itu lebih baik daripada apa yang saya rencanakan.
E: Adakah bergelar isteri dan ibu mengubah cara Lini melihat dunia?
M: Sangat merubah banyak hal sebetulnya. Saya lebih peka dalam menjaga hati dan perasaan orang lain kerana saya tidak mahu hati dan perasaan saya atau anak saya disakiti jadi banyak hal yang lebih diberi perhatian dan dijaga. Itu antara hal yang begitu saya jaga sekarang.


E: Bercakap tentang Selina, wajahnya masih dirahsiakan daripada umum. Ada alasan mengapa?
M: Sebenarnya saya mahu Selina membesar seperti anak-anak yang biasa. Tiada gajet, tiada media sosial dan saya tidak mahu dia membesar dengan exposure yang terlalu besar. Saya banyak melihat anak-anak selebriti yang membesar dengan exposure media daripada usia kecil dan banyak yang saya belajar daripada melihat cara mereka dibesarkan. Menjadi anak kepada selebriti ada harga yang harus dibayar dan saya tidak mahu Selina terbeban dengan hal itu. Sampai satu masa yang bersesuaian nanti saya dan Iky pasti akan kongsikan.
E: Okey kita berbual tentang Iky, kita sebagai pendengar mengenalnya sebagai seorang pemuzik yang berbakat. Jika sebagai suami bagaimana keperibadian sebenar Rizky menurut Lini?
M: Aduh, bagaimana ya (tertawa). Iky saya kira seorang yang begitu supportive. Sejujurnya saya tidak pernah bertemu dengan sosok laki-laki yang begitu menyokong dan memahami sebelum saya bertemu Iky. Kebanyakan lelaki yang saya kenal sebelum bertemu Iky ada jurang pemikiran dan pemahaman yang tidak seiring. Berbeza pabila mengenali Iky saya melihat dia sebagai sosok laki-laki yang sentiasa cuba memahami, menyokong dan meringankan banyak hal.
E: Kita berbual kembali tentang muzik, apa impian terbesar seroang Mahalini?
M: Tentu saja untuk kekal stabil dan jika boleh saya mahu lagu-lagu saya sentiasa diperdengarkan sampai bila-bila pun. Biar sekalipun saya sudah tiada lagi nanti saya berharap lagu-lagu saya terus didendangkan oleh generasi berbeza. Saya mahu jadi seperti Almarhum Chrisye yang sehingga hari ini semua orang masih mampu menikmati muziknya.

E: Ada hal yang masih Lini manifest dalam bidang muzik?
M: Saya ingin sekali bekerjasama dengan Erwin Gutawa dalam sebuah konsert atau lagu. Namun antara cita-cita terbesar saya sekarang adalah untuk dapat peluang bekerjasama dengan Bruno Mars. Jika tidak dapat menyanyi bersama sekali pun cukup dapat menghasilkan lagu bersamanya.
E: ‘Koma,’ saya sifatkan penghasilannya lebih besar sifatnya daripada segi kemasan muziknya berbanding ‘Fabula’. Itu yang Lini mahukan?
M: ‘Koma,’ sebetulnya dihasilkan bersifat lebih peribadi. Kebanyakan lagu-lagu di album ini diciptakan daripada satu sudut pandang berbeza terhadap hidup. ‘Untuk Yang Bersamanya’ saya ciptakan khusus almarhum ibu saya. Jadi muziknya lebih intimate dan personal. Muziknya juga bermula dengan rasa sepi sebelum berhujung dengan lebih grand kemasan muziknya. Banyak lagu di album ini lebih beragam kisahnya berbanding ‘Fabula’ yang lebih banyak cerita cinta dan patah hati.

E: Kalau saya sebagai pendengar, ‘Bohongi Hati’ itu saya letakkan sebagai all-time favourite. Jika Mahalini meletakkan diri sebagai pendengar Mahalini, lagu yang mana personal favourite?
M: Pasti semua (tertawa). Susah ya tapi kalau perlu dipilih satu saya harus memilih ‘Rindu Ku Rindu’ daripada album ‘Koma,’. Lagu itu saya tulis daripada sudut pandang seorang perantau awalnya. Kisah saya sendiri sebagai seorang yang berasal dari Bali yang ke Jakarta untuk satu kehidupan baru dan ia juga sebuah dedikasi kerinduan saya terhadap keluarga.
E: Ada tak lagu yang Lini tulis merubah perspektif Lini seiring masa berjalan?
M: Oh ya, tetap ‘Rindu Ku Rindu’ kerana seperti saya share awal tadi lagu ini sebuah lagu kerinduan terhadap Bali. Tapi pemaknaan lagu ini menjadi lebih besar setelah saya melakukan tawaf di Mekah. Doa saya ketika itu semoga saya diizikan untuk kembali ke sini, ke tanah-Mu dan izinkan saya untuk menciptakan lagu tentang Engkau agar setiap kali saya mendengarkan lagu ini saya ingin kembali pada-Nya. Itu sebuah lagu yang cukup personal dan maknanya menjadi lebih spiritual setelah saya menunaikan umrah.

E: Boleh ceritakan proses kreatif seorang Mahalini itu berkarya?
M: Prosesnya begitu random. (tertawa). Kebanyakan lagu-lagu yang saya ciptakan terhasil dalam situasi yang tidak dirancang. Sebagai contoh, lagu ‘Kemarilah Tenang’ saya ciptakan setelah melahirkan Selina dan ada fasa yang buat saya rasa begitu lelah dan membutuhkan satu ketenangan. Transisi daripada seorang isteri menjadi ibu itu membuat saya belajar banyak hal sebenarnya. Ada lagu yang ideanya saya dapat dalam kamar mandi. Idea dan proses kreatif itu datang secara random dan tidak dirancang.
E: Kalau diikutkan apa yang Mahalini hasilkan adalah sesuatu yang Lini mahukan atau ia masih lagi berpaksi pada apa yang pendengar mahukan sepenuhnya?
M: Boleh dikatakan seiring. Apa yang saya mahukan dengan apa yang pendengar mahukan. Tapi sebenarnya kalau diberi pilihan saya mahu terus hasillkan lagu-lagu yang lebih santai tanpa belting dan high note. Namun itulah, kalau namanya penyanyi Balada pasti pendengar mahukan yang sebegitu.
E: Bercakap pasal belting dan high note, saya baru menonton video persembahan lagu ‘Sadis’ Lini bersama Afgan. Itu belting yang gila ya.
M: Oh iya, di konsert Afgan yang lepas itu saya hanya ada masa dua hari untuk mendengar, menghafal dan latihan untuk arrangement yang baru. Erwin Gutawa yang menyusun kembali melodinya dan seperti semua tahu jika susunan muzik Erwin pastinya sangat besar sifatnya dan akan ada hal yang ekstra dalam persembahan live, jadi terhasillah persembahan yang sebegitu.
E: Ada yang mula request versi studionya.
M: Oh, no thanks. Hahaha… It’s not an easy song. Sangat susah untuk saya bawakan lagu itu. Cukup sekali.
Baca temu bual penuh menerusi ELLE isu Ogos 2026.
KREDIT:
PEMBANTU PENATA GAYA: LIFANG
PRODUSER: GREY CHIN DAN SHU HANN
PEMBANTU PRODUKSI: CHIA KE XIN DAN SHANE LING
PEMBANTU FOTOGRAFI: ZI XIN, EUGENE TEOH, EDISON LIEW DAN HAN TAN

