Langgan

Karisma Vialina Lemann

Setiap pencapaian memancarkan dedikasi dan ketekunan yang melentur karisma diri. 
Published: December 1, 2025
PENYELARAS SARAH HANI JAMIL PRODUSER ULYANA KALSINA PENERBIT DAN PENGARAH VLADIMIR POMUKCHINSKI DAN NUMERO ADVERTISING FOTOGRAFI DENIS NEMIACHENKO PENATAAN GAYA ANASTASIIA KUCHUKHIDZE SOLEKAN LAZOVSKAYA LIZAVETA DANDANAN MARGARITA KHANUKAEVA PENULISAN M. RIDHWAN SA’AYA

Vialina Lemann menapaki dunia peragaan hari ini dengan keyakinan yang lahir lewat daripada akar keluarga berteraskan tradisi sehingga ia membentuk peribadi. Bermula daripada langkah pertama di pentas kanak-kanak sehinggalah berjaya menghiasi beberapa muka hadapan majalah antarabangsa. Setiap pencapaian memancarkan dedikasi dan ketekunan yang melentur karisma diri. 

ELLE: Di mana Vialina dibesarkan dan apakah yang membentuk luhur diri?

Vialina Lemann: Saya dibesarkan di Uzbekistan, sebuah negara yang cukup kaya dengan budayanya, tradisi warisan teguh di samping nilai hubungan kekeluargaan yang sentiasa menjadi pegangan. Nenek saya sendiri merupakan individu yang menjadi idola kehidupan. Saya sentiasa memegang kata-katanya yakni “Teruslah melangkah ke hadapan dan jangan pernah berpatah arah ke belakang untuk kita terus maju.” Kata-kata tersebut sentiasa saya pegang. 

Latar belakang keluarga dan mereka yang membesarkan saya menjadi kekuatan diri agar tidak mudah goyah. Setiap kali tibanya saat ragu dengan apa jua keputusan yang dipilih, merekalah yang saya akan rujuk kembali. 

Baju, skirt dan but daripada Chanel. Anting-anting milik penata gaya
Dress daripada Sportmax. Kaca mata daripada Saint Laurent

E: Bila dan bagaimana bidang peragaan diceburi secara profesional? 

VL: Saya telah mula menceburi bidang ini sejak kecil lagi dengan mula masuk ke institusi peragaan kanak-kanak yang juga terletak di Uzbekistan. Keterujaan melangkah ke setiap acara memberi saya keseronokan. Namun saya hanya mula serius dalam kerjaya secara profesional dan melakukannya dengan penuh dedikasi kira-kira setahun kebelakangan ini sahaja. 

E: Kini sudah tampil menghiasi muka hadapan beberapa majalah antarabangsa. Apakah perasaannya menjadi tatapan global dunia? 

VL: Dipilih menjadi penghias muka hadapan majalah terkemuka dunia sudah tentu menjadi bukti kepada kerja keras yang tidak hanya berpaksi kepada tuah individu itu sahaja. Perasaan saya sudah pasti berbangga dengan setiap pencapaian diri dan betapa bersungguh-sungguh saya bekerja keras selama ini. Melihat wajah sendiri terpampang di muka hadapan majalah besar memberi kepuasan. Saya tidak sabar untuk terus melangkah lebih jauh dalam bidang ini!

Dress daripada Namelazz

VL: Pegangan kata yang sentiasa dipegang setiap hari. 

E: Saya berpegang dengan kepercayaan bahawa kekuatan seseorang wanita itu senantiasa terletak kepada keyakinan diri dan ketabahan yang utuh. Menjadi wanita kita harus sentiasa berimpian besar dan nyata, percaya kepada potensi diri serta jangan pernah cepat mengalah. 

E: Ikon individu kepada stail anggun atau sering dijadikan contoh tatanan gaya. 

VL: Menata gaya sendiri dengan anggun itu seringkali menjadi sebahagian daripada karakter semula jadi saya sejak kecil lagi. Tetapi bila berkata tentang siapakah ikon saya, ibu saya sendiri yang telah banyak memberi pengaruh kepada diri ini. Dia sering memberi contoh kuat untuk saya terus membawa keunikan peribadi sendiri, menghadiahkan pelbagai barangan eksklusif dari luar negara dan banyak membentuk selera peribadi saya sejak kecil lagi.   

E: Hal yang menginspirasi dan memotivasi sebelum memulakan peragaan. 

VL: Sudah tentu barisan mereka yang bergelar model berkelas dunia di luar sana. Karier profesion mereka, karisma dan pencapaian akan menjadi titik rujukan untuk saya bagi mencapai kejayaan yang sama. Saya sentiasa bertekad menjadi salah seorang daripada mereka yang terkenal dan boleh memberi impak besar dalam dunia peragaan serta industri fesyen khususnya. 

Dress dan but daripada Stella McCartney. Anting-anting daripada Nicolas Bessono

E: Perkara yang harus dilakukan di kelapangan hari tanpa kesibukan kerja. 

VL: Saya lebih suka merancang hari saya dengan lebih awal jika ada kelapangan jadual tanpa kesibukan kerja. Kebiasaannya hari lapang saya itu akan dipenuhkan dengan aktiviti gaya hidup sihat seperti ke gimnasium, bertinju, bermain tenis dan yoga. Ia tentunya akan memberi saya keseimbangan yang saya cari dan sudah pasti menjadikan badan saya lebih terasa cergas. 

E: Cara menyeimbangkan kerjaya profesional dan kehidupan peribadi. 

VL: Kalau ingin tahu, kerjaya saya yang sibuk dan kehidupan peribadi terurus dengan selari dan amat baik! Ia melengkapi antara satu sama lain. 

Saya cukup gembira mempunyai pasangan yang turut menyokong apa jua yang saya lakukan, sentiasa percaya dengan diri saya dan dapat memahami pelbagai aspek. 

Dress daripada Maison Keti-Keti

E: Perkara lain yang suka dilakukan untuk merehatkan diri. 

VL: Saya suka merehatkan diri dengan pergi mengurut badan walaupun secara peribadi agak sedikit memilih siapakah tukang urutnya serta di mana saln urut saya akan pergi (ketawa). Mencari pusat urut atau tukang urut yang terbaik tidak langsung menjadi masalah asalkan saya dapat melepaskan lelah sepenuhnya. 

E: Pesanan buat mereka yang baru menceburi bidang peragaan atau kerjaya kreatif melalui keberhasilan hasil seni Vialina. 

VL: Pesanan utama saya tentunya kepada sesiapa sahaja yang baru menceburi bidang yang penuh cabaran ini untuk terus sentiasa menjadi diri mereka sendiri. Impian saya sebenarnya sangat mudah yakni untuk menjadi contoh dalam menginspirasi siapa sahaja kepada perjalanan kerjaya kreatif serta membuktikan bahawa tidak ada apa langsung yang mustahil untuk dilakukan atas muka bumi ini.  

E: Selain peragaan, apakah minat dan impian di masa hadapan? 

VL: Dalam perancangan, saya suka untuk ingin mula menceburi industri perfileman. Saya juga kini sudah mula aktif bekerja membina empayar perniagaan dengan label pakaian sendiri. Minat dan impian itu sudah lama terbuku, kini saya sedang mengorak usaha ke arah melaksanakannya. 

Skirt dan kot daripada Namelazz dan baju daripada Amrhea
Baju dan kasut daripada Chanel

Jika disoroti, perjalanan Vialina ke dunia peragaan sebenarnya terbina jauh lebih awal daripada apa yang beliau sedari. Antara hal lain yang jarang diceritakan namun cukup diketahui umum merupakan keterlibatannya dalam sukan gimnastik. Melalui setiap lenggok gimrama, acahan disiplin yang diasah dan setiap gerak tubuh pasti telah mengajarnya memahami ritma serta estetika. 

Semua itu akhirnya menjelma sebagai kelebihan semula jadi ketika berada di hadapan kamera dan pentas peragaan. Kini apa yang menggerakkan dirinya sudah tentu kecintaan kepada seni, keindahan dan keinginan untuk terus mengenali sisi baharu diri sendiri yang lebih matang dalam kerjaya. Vialina kini tidak lagi hanya melangkah dia terus mencorak pentas karismanya.


Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down