
Di tengah kedinginan negatif ketika mentari jatuh, bercampur deruan angin sapu-sapu lembut lewat seluruh tubuh di kota New York, Tory Burch mengundang seangkatan undangannya ke Sotheby’s Madison Avenue – lokasi pertunjukan musim luruh/dingin 2026. Amanda Seyfried, Tessa Thompson, Yuqi daripada I-dle dan Anne Nakamura hadir menyatakan dukungan.
Tory Burch tidak menganggap sepi pertunjukannya. Daripada rekaan-rekaan sehinggalah ke ruang peragaannya, yang sama benar membahasakan sesuatu. Membuatkan audiens meneladani matlamat Tory kali ini. Dengan pentas peragaan berteraskan dalaman mid-century, serta sehamparan permaidani hijau lumut meronai ruangan kalangan dan bangku hitam dilengkapi hiasan simpulan dasi.
Tory Burch menitipkan satu pertanyaan, “Apakah maksud simpulan dasi itu?” Jelas perwakilan jenama, “Simpulan dasi itu melambangkan pesona Bunny Mellon, yang menjadi tonggak inspirasi musim ini.”

Beroleh kemenangan untuk menyusur jejak-jejak waktu Bunny Mellon yang ikonik, untuk membujuk kita ke dunia kesedaran Tory Burch. Seperdua adalah tentang Bunny, seperdua lagi adalah penghargaan Tory Burch buat fesyen Amerika. Mengapa Bunny Mellon atau nama sebenar Rachel Lambert Mellon menatah semangatnya untuk dijadikan sumber ilham kali ini? Jelas Tory, “Bunny Mellon, seorang ahli hortikultur, pereka landskap serta dermawan dari Amerika yang ikonik ini pemantulan kepada karakter wanita yang mempercayai gerak hatinya dan bukan seorang penurut kepada aturan tetap. Makanya, kecirian ini mengganding seni pemakaian wanita masa kini. Dan inilah yang mendorong inspirasi Tory Burch musim luruh/dingin 2026.”
Tory umpama seorang filsuf kali ini. Alang kepalang seandainya sekadar meneropong sifat ikon Bunny Mellon dan bertolak daripada hal tersebut, Tory menerokai kehidupan Bunny. Apa yang bersembunyi dalam inti makna simpulan dasi itu adalah ilham butiran dasi pada kusyen berkuilt yang Tory ‘jumpa’ dari rumah Bunny di Antigua. “Simpulan ini adalah simbol perhubungan, kekuatan dan penyatuan.”
Look pertama keluar dengan nyalaan rona merah yang berkontra dengan atmosfera rona pentasnya yang berkonsepkan pertengahan abad itu. Dalam benak fikiran, look tersebut membicarakan sanjungan gaya Amerika. Membangkit ingatan kita pada keseluruhan gaya understated, namun serasa tidak menopengi keyakinan dalaman wanita. Dan sedikit sporty. Baju kait merah yang bersifat kekolejan, dengan kolar Peter Pan yang sengaja dibiarkan kelihatan, singsing lengan yang nampak bersahaja dan skirt material kulit yang mencerminkan slightly edgy.
Benar, ia adalah kembaraan Tory Burch yang mengimaginasikan semula sifat klasik. Tory sekehendak hati menampilkan segala helaian yang berteraskan klasik, seperti baju kait, skirt pensil, kot trenc, kot wool serta blazer, yang membelahkan penciptaan semula. Dia tidak mahu menyapu terus ‘klasik’ itu untuk diperbaharui sepenuhnya. Sebaliknya, Tory mendekatkan pengertian kita pada kanta memandang ia dari perspektif yang berbeza. Dia memberi keserupaan, namun dibayangkan secara kreatif.
Itulah yang termaksud dalam aspek Tory Burch musim ini, “Classics become interesting with your personal take.” Kekayaan ilham itu bertunas daripada inovasi atau kreativiti wanita yang percaya kepada intuisi kendiri untuk membayangkan penggayaan klasik. Dan, semua ini menirus kepada pemahaman Tory tentang prinsip Bunny Mellon yang memiliki teladan tersebut.
Tafsiran semula barangkali pada butiran-butiran. Look seperti kot double breasted yang berilhamkan military menampilkan siluet klasik serta tailoring klasik, dengan tambahan lining material kulit. Blazer dan overcoat berpotongan klasik disuntik sedikit kebaharuan dari aspek lapel berona kontra, malah kardigan tebal yang bersulamkan badla – dihasilkan oleh artisan-artisan dari India – digarap dalam aspek perincian kolar yang memimik rekaan throat latch.

Sebarisan rekaan dress Tory Burch musim luruh/dingin kali ini banyak bermain dengan manipulasi pada pola dan badan baju. Contohnya, perincian teknik ruching yang melisu jalur mendatar dan teknik draping berikat simpul. Dress-dress material satin diberi nafas kewanitaan dari segi penggunaan material satin, butiran peplum bertingkat serta kelihatan seperti ada potongan biased. Tory turut memberanikan diri untuk mengolah permukaan material, yang dari pandangan kasar, seperti menyengajakan kedutan-kedutan sebagai konsep rekaannya (kedutan pada permukaan adalah trend musim ini?).
Aksesori seperti beg satchel Charlie membuat kemunculan di atas pentas dan rekaan-rekaan beg bahunya melanjutkan kecintaan Tory pada Bunny, dengan mengintegrasikan simpulan dasi Bunny Knot. Butiran Bunny Knot ini bersambungan lagi pada rekaan-rekaan kasut yang menjelaskan ‘agenda’ Tory yang tidak mahu menepis simbol ikon Bunny Mellon. Dalam pada meladeni himpunannya lagi, terlihat juga askesori-askseori kecil seperti kerongsang dan rantai leher yang mencedok bentuk ikan sebagai dekorasi. Apakah bahasa visual yang diterapkan oleh Tory Burch, mempersonifikasikan ikan? Simbol tuah? Atau mungkin Tory mahu menyisip inti makna natural atau ada aspek kenalurian? Lantaran, idea dekorasi ikan itu menunjukkan seni pemakaian berasaskan intuisi.












