Langgan

Feminin Mewah Bertemu Pragmatisme Amerika Di Tory Burch

Tory Burch Spring/Summer 2027
2 minit untuk membaca
Published: September 12, 2026

Bersempena New York Fashion Week, Tory Burch mempersembahkan koleksi Musim Bunga/Panas 2027 dengan menyaksikan kehadiran barisan selebriti seperti Heart Evangelista, Gong Hyo-jin dan ramai lagi.

Tory Burch

Untuk Musim Bunga/Panas 2027, Tory Burch meneroka bagaimana wanita menggabungkan kecantikan, fungsi dan individualiti melalui keseronokan dalam berpakaian. Berlangsung sempena New York Fashion Week, barisan selebriti hadir menghangatkan kerusi baris hadapan dengan gaya Tory Burch yang chic. Antaranya Heart Evangelista, Gong Hyo-jin, Amanda Seyfried, Sandra Ng dan ramai lagi. 

“Feminin yang mewah bertemu dengan pragmatisme Amerika, dilihat melalui mata seorang pengumpul. Musim Bunga/Panas 2027 meneroka psikologi bagaimana wanita menyatukan pelbagai elemen dalam gaya mereka. Mereka mahukan kecantikan, fungsi dan humor serta kegembiraan dalam berbusana.” - Tory Burch

Siluet Moden

Rekaan berinspirasikan gaya atletik, skirt berpotongan rendah, seluar bertali cerut dan kemeja berpoket tampal menjadi kanvas untuk palet warna kaya serta perincian ornamen musim ini. Kot opera hadir dengan potongan santai seperti kot trench kegemaran, sementara tailoring berstruktur diberikan sentuhan sedikit tidak konvensional.

Fabrik Mewah

Alexa Chung

Eksplorasi tekstur, kedalaman dan corak menjadi fokus utama. Fabrik wool berinspirasikan menswear diringankan dengan campuran sutera. Kapas paper cotton diberi teknik tie-dye dan cucian khas. Manakala jacquard bermotif seakan kertas dinding dilapisi sutera kontras serta fils coupés. Fabrik terrycloth yang santai dan berjiwa pantai diterjemahkan dalam chenille. Sementara crêpe de chine diberikan kemasan berkilau yang menghasilkan jatuhan lembut dan seakan cair.

Palet Warna Terang

Warna hadir dengan semangat optimistik menerusi kombinasi yang tidak dijangka. Pada spektrum yang lebih terang, koral, biru turquoise, ungu violet, mint, vermilion dan kuning mentega dipadankan dengan rona coklat gelap serta tona neutral yang dingin.

Kemasan Perincian

Dalam koleksi ini, prinsip lebih itu lebih diterjemahkan menerusi sulaman metalik, kardigan flocked dengan kemasan berinspirasikan serta benang bermotif polka dot. Bulu buatan tangan yang dilukis seperti sapuan berus pada kanvas. Dianyam dan dikumpulkan menjadi selendang serta pompom, kemudian disusun di bahu atau pada beg sebagai sentuhan akhir yang penuh ekspresi.

Beg Tangan Baharu

Lee Radziwill Shopper baharu mengambil inspirasi daripada beg kertas yang ringkas, namun diberikan tali yang ultra-nipis untuk penampilan lebih elegan. Beg bahu berstruktur lembut pula diapit oleh pouch dengan penutup kiss-lock. Manakala kerjasama berterusan bersama artisan India dari Marasim diteruskan menerusi Handwoven Basket Tote. Ia hadir dalam pilihan warna dan corak yang segar.

Tory Burch

Langkahan Kasut

Dengan inspirasi daripada cara fabrik dililit dan jatuh mengikut bentuk tubuh, kasut peep-toe pumps dan selipar gaya Venetian membalut serta melipat di sekeliling kaki dengan kemasan yang elegan. Tali kulit dianyam tangan untuk menghasilkan kasut slingback yang sofistikated, manakala sandal thong halus dihiasi himpunan mutiara tiruan, manik dan gigi jerung imitasi. Pada beberapa rekaan, tapak kasut yang dilukis tangan memanjang dan berpusing mengelilingi tumit. Sebuah interpretasi baharu terhadap perincian berpilin yang pernah menjadi ciri koleksi musim-musim terdahulu.

Barang Kemas dan Aksesori

Rantai manik klasik diberi interpretasi baharu menerusi susunan manik resin bertindan, nilon berikatan serta bebola loyang bersegmen yang boleh dibuka untuk menyingkap batu hiasan di dalamnya. Cermin mata hitam pula mengambil inspirasi daripada dunia sukan, diterjemahkan melalui bingkai logam berprofil laju serta kaca mata keselamatan yang hadir dengan karakter lebih quirky dan eksperimental.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down