Dengan kehadiran barisan selebriti dan duta jenama, Coach mementaskan koleksi musim bunga 2026 yang membiaskan tenaga dan semangat kota New York bersempena NYFW.

Matahari memancar terang menyambut kehadiran tetamu jemputan. Berlokasi di Pier 36, New York City yang berhadapan dengan East River, Coach mempersembahkan koleksi musim bunga 2026 dengan pertunjukan fesyen yang dinanti-nantikan. Bab baharu ini menandakan kesinambungan eksplorasi Pengarah Kreatif, Stuart Vevers terhadap gaya Amerika di NYFW. Dengan koleksi yang menolak sempadan estetik rumah fesyen ini melalui penekanan pada kemasan yang bersih, bentuk yang murni, serta renungan mendalam tentang bagaimana generasi hari ini mentakrifkan semula gaya peribadi, di jalanan New York City dan di seluruh dunia.
“Untuk musim bunga, saya memikirkan keseimbangan halus antara kemasan rapi dan kilauan dengan ‘grit’, sesuatu yang saya anggap sangat New York. Dan dengan grit, maksud saya adalah ketahanan, dan keindahan bagaimana bandar ini kembali hidup setiap pagi,” kata Stuart. “Glamor keluli dan kaca menjadi lebih indah di bawah cahaya matahari yang terang, patina masa, serta kesan calar dan kilau kehidupan di bandar kita bersama.”
Inspirasi Energi dan Semangat Jalanan New York City




Diinspirasikan oleh tenaga dan vitaliti jalanan New York City. Coach musim bunga 2026 di NYFW menampilkan variasi kulit yang diproses indah dalam suede dan nappa. Ada kemasan lembut berlapis lilin, ada juga dengan kesan lusuh dan elemen foil. Ia digandingkan dengan seluar besar daripada denim kitar semula dan fabrik kerja, serta seluar dan skirt berpotongan rapi. Palet musim ini condong ke arah rona cerah, gabungan putih, perang madu dan tan, dengan hitam pudar. Kontras hadir melalui biru pastel lembut, kuning, hijau dan sentuhan metalik.
Pakaian luar termasuk jaket moto berstruktur elegan, vest, blouson dan jaket potongan pendek dalam suede, nappa serta kulit lilin yang menjadi fokus utama koleksi. Kot moleskin menambah variasi tekstur. Manakala jaket moto hitam daripada kulit kitar semula dengan perincian logam minimum mengukuhkan penerokaan bentuk ringkas. Dipadankan di dalamnya ialah kemeja -t poket washed dan sun-faded, serta kemeja-t tanpa lengan dalam ton perang madu. Menambah elemen grafik, terdapat kemeja-t cenderamata yang menampilkan lokasi ikonik Amerika yang istimewa dalam dunia Coach.
Dua siri knitwear meneruskan penerokaan rumah fesyen ini terhadap helaian “loveworn” yang sarat sejarah. Pilihan cashmere sweater dengan kesan lusuh penuh karakter, serta sweater dengan corak wajah haiwan yang menyerlahkan pesona rajutan tangan kanak-kanak. Elemen romantis hadir melalui gaun tulle dan organza dalam pastel, putih dan hitam. Dihias dengan motif bintang, belon, hati dan awan yang manis dan playful, dipadankan di atas gaun kemeja-t.
Definisi Baharu Koleksi Beg Tangan dan Aksesori




Koleksi beg musim ini didefinisikan oleh bentuk ringkas dan perincian Kisslock yang sinonim dengan rumah fesyen ini. Paling menonjol pada beg Kisslock Frame yang popular. Kisslock Barrel Bag menampilkan siluet duffel silinder dengan kompartmen Kisslock. Hadir dalam variasi bahan termasuk kulit pebble, suede, foil metalik, denim kitar semula dan fabrik kerja. Versi baharu Bleecker Bucket Bag juga hadir dengan kompartmen Kisslock dalam suede dan kulit pebble, serta kemasan Tamponato yang diwarnai tangan, menonjolkan gradasi tona pada kulit. Buat pertama kali, beg ikonik Tabby ditawarkan sebagai clutch dengan siluet lebih lembut dalam kulit nappa dan suede mewah. Koleksi dilengkapkan dengan beberapa Round Kisslock Pouch dalam nappa dan suede.
Bagi kasut, Soho Sneaker kekal sebagai peneraju. Musim ini ditafsir semula dengan tali strap menggantikan tali kasut, ditawarkan dalam kulit dan suede, cetakan Dalmatian, serta kemasan foil metalik. Beberapa rekaan turut dihias aplikasi kulit berbentuk hati, langit dan belon yang merujuk kembali kepada gaun organza koleksi ini. Koleksi juga menampilkan but kerja bertapak tebal, derby rata lembut, serta sandal lace-up rata. Sentuhan akhir termasuk Kisslock neck pouch serta pilihan anting-anting dan rantai berinspirasi azimat dan token cinta era Victoria. Ia berbentuk sampul surat kecil, buku mini, loket hati, dan syiling kecil dihiasi nota cinta tulisan tangan.
Nadhir Nasar dan Tetamu Jemputan

Tetamu pertunjukan dibawa melalui ruang gelap ke kawasan utama yang dikelilingi tirai kanvas sepia bergambar fasad agung dan panorama terbuka New York City. Disinari cahaya dan bayangan dramatik, latar itu menghadirkan model seolah-olah berjalan di jalanan kota. Menjadi sebahagian daripada perarakan berterusan kehidupan urban.
Tetamu khas termasuk bintang kempen baharu Coach “Revive Your Courage”, Elle Fanning dan Soyeon. Mereka turut disertai pelakon Korea Selatan, Chae Soo-bin, pelakon/penyanyi Thailand, Nanon Korapat, pelakon Indonesia, Syifa Hadju dan pemuzik, El Rumi. Juga pelakon Malaysia, Nadhir Nasar serta pempengaruh media sosial, May Ho, bersama pemuzik Singapura, Estelle Fly dan pencipta kandungan, Atiqa Dar.

