Langgan

Laporan NYFW Tory Burch S/S 2026: Tafsiran Ikon Sportswear Amerika

Tory Burch di NYFW
2 minit untuk membaca
Published: September 25, 2025

Lokasi ikonik 1 Hanson Place di Brooklyn, New York menjadi saksi mega kepada pementasan Tory Burch untuk musim bunga/panas 2026 bersempena NYFW.

Tory Burch NYFW

Bergegas menaiki tren subway menuju ke Brooklyn merentasi East River. Melangkah masuk, lokasi ikonik 1 Hanson Place ini mencuri pandangan dengan dekorasi dan seni bina agung yang kaya dengan sejarah. Satu demi satu barisan tetamu jemputan hadir, temasuk selebriti ternama yang cantik menggayakan rekaan Tory Burch. Antara yang hadir termasuklah Naomi Watts, Jessica Alba, Emma Roberts, Ciara dan ramai lagi. 

“Untuk musim bunga/panas 2026, kami memikirkan tentang kompleksiti wanita dan pelbagai sisi gaya mereka. Feminin dan kekuatan, ketepatan dan ketidak sempurnaan. Pertembungan antara potongan jahitan rapi dengan bunga-bunga naif, hiasan manik halus dengan kulit lusuh.

Kami terus mentafsir semula sportswear Amerika, dipadankan dengan sentuhan romantik, sentimental dan hasil kraftangan. Rekaan blazer berbingkai diinspirasikan oleh ayah saya, dan kami merujuk kepada sulaman antik untuk monogram menggunakan inisial pasukan reka bentuk kami.” — Tory Burch

SILUET

Tory Burch kembali kepada ikon sportswear Amerika menerusi polo, kot trench dan kemeja jalur. Sebuah kontras segar kepada gaun drop-waist romantik yang mengimbau era 1920-an. Potongan tailoring beralih lebih rendah dengan seluar pinggang jatuh dan skirt kulit. Jaket menampilkan zip tersembunyi di jahitan belakang tengah untuk mengubah bentuk, dan beberapa rekaan memberi penghormatan kepada ayah Tory sendiri, Buddy. Termasuk blazer berbingkai yang diinspirasikan daripada rekaan asalnya.

FABRIKASI

Wool halus dan kanvas berlapis lilin yang sporty diseimbangkan dengan material mewah yang kelihatan lusuh dan usang. Antaranya lamé berkedut, viscose remuk juga sutera koyak. Jika diperhatikan lebih rapat, ‘ketidak sempurnaan’ ini dilakukan dengan cara paling sempurna iaitu berjumbai tepi direka supaya kekal utuh, manakala polo jarang ‘ditampal’ dengan manik halus.

HIASAN & TEKNIK

Musim ini, fokus baharu tertumpu pada perincian. Kardigan dan gaun mesh sepenuhnya dijahit tangan dengan manik halus, sifon sutera dilipat tangan, viscose dijahit smock dengan tangan. Monogram keseluruhan diinspirasikan daripada sulaman antik. Dan setiap satunya mewakili ahli pasukan reka bentuk kami.

BEG TANGAN

Beg Lee Radziwill, yang asalnya direka pada 2018, diolah semula lebih ringkas dan ringan. Beberapa juga menampilkan pemegang logam atau hiasan manik. Beg bakul Romy kembali dengan kulit lusuh, sementara beg tote rantai mesh dan crochet memberikan aura santai dan kasual.

KASUT

Sepatu low pumps dan sandal diinspirasikan daripada gaya vintaj 1950-an. Ia dihiasi dengan labuci, mutiara dan manik halus dalam palet pastel rococo. Kasut kulit lusuh dan slingbacks mengambil inspirasi daripada perincian kasut lelaki, dengan rantai logam bercampur di bahagian vamp.

BARANG KEMAS & AKSESORI

More is more! Subang dan rantai seakan sepadan dengan kasut, dihiasi mutiara, bunga kaca dan manik halus melilit rantai berpilin. Kerang-kerangan disulam pada celahan tersembunyi jaket. Pin dipasang pada pakaian, tali dan beg, sentuhan klasik lama yang digandingkan dengan kaca mata hitam balut futuristik.

PERTUNJUKAN

Pementasan kali ini berlakosi 1 Hanson Place di Brooklyn. Sebuah mercu tanda ikonik di kota New York. Muzik pula dihasilkan oleh Wladimir Schall, termasuk lagu ‘Climbatize’ oleh The Prodigy; ‘Up All Night’ oleh SAULT, ‘Home’ (Tom Scarlett Edit) oleh LCD Soundsystem;, ‘I Am a Timebomb’ oleh Peta Lily dan Michael Process serta ‘All I Do Is Work’ oleh Kurtis Perrie.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down