Langgan

Laporan NYFW: Pejuang Semangat Amerika Yang Menggambar Silam Dalam Konteks Semasa Di Coach Fall 2026

Coach Musim Luruh/Dingin 2026 berlokasi di seni bina bersejarah New York.
3 minit untuk membaca
Published: February 14, 2026
coach fall 2026

Jenamanya makmur di negara orang, identiti kendiri berkepal erat dalam jiwa. Dalam erti kata lain, jangan mati adat. Sejujurnya, Stuart Vevers adalah seorang realis kerana dia tahu landasan rekaan-rekaannya adalah benteng perkukuhan yang memelihara warisan, yang pasti bersinggungan dengan siapa dirinya sebenar. Itulah DNA Coach, yang tidak mungkin mengubah jurusan langkahnya – segalanya maha bangga dengan Amerika, Amerika dan Amerika.

Stuart dan Coach memilih The Cunard Building New York yang ‘berjiran’ dengan tugu Charging Bull sebagai lokasi panggung pementasan kali ini. Menduga kecerdasan audiens tentang mengapa seni bina neoklasik yang menaruh sejarah tersebut menjadi pilihan dan mengundang jawapan pasti kepada persoalan itu. Bangunan yang memvisualkan mural laluan perkapalan pada bahagaian dalaman rotunda, yang menjadi ruang pertunjukan musim luruh/dingin barangkali adalah keberlanjutan idea Stuart menggaulkan warisan Amerika dengan teterapang kemodenan gen Z? 

coach fall 2026
coach fall 2026
coach fall 2026

Amelia Henderson, selaku delegasi Malaysia yang diundang oleh Coach, malah terpesona dengan pemilihan lokasi Coach ini. Selorohnya, “Bayangkan kalau ada yang berkahwin di dalam bangunan ini, memakai gaun kahwin dengan ekor skirt meleret panjang. Stunning!” Kelihatan juga duta global jenama Coach, Elle Fanning bertamu sebagai undangan utama yang duduk sebaris dengan Omar Apollo dan Odessa A’zion. Avantika, McKenna Grace, Quen Blackwell serta Caleb McLaughlin turut membuat kemunculan dan kehadiran mereka yang sememangnya mentamsilkan ‘peradaban’ Coach berkiblatkan gen Z.

coach fall 2026

Berbalik menghala kepada himpunan Coach musim luruh/dingin 2026, jelas Stuart, “Peralihan filem berona hitam putih sepia kepada aspek Technicolour ala Oz, musim ini mencemerlangkan semangat optimis yang bertumbuh mengikuti pengembaraan generasi masa kini.” Kemenangan lebih sedasawarsa Stuart mereformasi Coach menyuburkan kotak fikirannya melewati jejambat waktu, memandang masa hadapan sebagai paksi ilham. 

Pengalaman peribadinya berbicara. Dia melihat budaya saingan serta geografi berdekad-dekad lalu, merenda segalanya dengan penjangkaan – menjadi dialog dalam menghubungkan rekaan-rekaan musim luruh/dingin menerusi kesejarahan dan nilai kraf. Stuart tidak berundur setapak dan melanjutkan gagasan pembaharuan ini dalam ilustrasi wawasan generasi semasa dan daya kreatif fesyen Amerika.

Justeru, oleh seba itulah dia memilih seni bina bersejarah untuk mementaskan himpunan berpremiskan pasaran kekininan. Kontradiksi dua perkara menggemakan temanya – yang lampau yakni warisan Amerika dan yang baharu yakni pengembaraan masa hadapan gen Z. 

Sebarisan model Coach nampak mentah dan muda. Dari gen Z ke gen Alpha? Gen Alpha melambangkan masa hadapan itu? Mungkin! Naratif rekaan-rekaannya bervariasi. Tailored sportswear menemukan kesenadaan dengan budaya sukan yang sinonim dengan Amerika. Seperti sports coat atau kot sukan tanpa padanan seluar yang diubah pola serta Teknik jahitannya. Lengan tangan dijahit membentukkan gathers agar kelihatan seakan-akan disingsing dan cantuman panel pada badan baju kot yang menyatukan material klasik (seperti wool) dengan material sifon bercorak (merupa lining).

Kolar berganda – think of 70s rockstar vibe – yang memperlihatkan kolar lebar jaket kulit flight bertindih atas lapel kot di luar. Fragmen gaya retro ini tidak terhambar di pertengahan. Stuart menyambung aspek tersebut pada gaun-gaun malam yang memimik siluet dress prairie, namun mengubahnya dengan kesengajaan menampakkan jahitan overlock pada bahagian luar. Material gaun-gaun malam ini malah dibiarkan berkedut sedikit, lantas mencerminkan konsep pakaian lusuh. 

Kehalusan rasa ‘patriotik’ Amerika Coach juga terbukti pabila Stuart menggunakan denim sebagai material utama musim ini. Dia tidak menolak idea denim repurposed, dengan mengolah denim-denim tersebut kelihatan bercemabai dan bercantuman pula dengan denim yang ronanya berbeza-beza. Distressed, kumal dan bersahaja. Dan berbicara tentang kumal, Stuart mensintesiskan gagasan itu pada pakaian-pakaian sedia pakai, seperti baseball tee yang terarah kepada konsep vintaj. 

Kerongsang serta subang telinga berbentuk hati diperkenalkan sebagai aksesori utama. Manakala, kasut-kasut kali ini membangkitkan tafsiran audiens yang pasti berfikir, “Kasut penuh cabik-cabik dengan kotoran… kasut lama yang diperbaharui?” Stoking-stoking turut diberi treatment yang sama – bercarik-carik sehingga memperlihatkan kulit betis. 

Rekaan-rekaannya mengukir suatu pandangan yang secara harfiah menghubungkan kita kepada pertembungan fesyen Amerika yang bersifat universal. Coach tidak menoktahi mendewasa, bergerak bertumbuh mengikut pengelanaan anak-anak muda yang selama ini menjadi pasaran utamanya, namun memakukan umbi kaki pada kelamaan. Musim luruh/dingin ini, Stuart mahu menngaduk-aduk khazanah fesyen vintaj dengan pemakaian generasi semasa dan ini adalah bentuk laungannya tentang “masa hadapan”. Pakaian lama, walau bagaimanapun, akan sentiasa diperturunkan dari generasi ke generasi seterusnya dan menjadi saksi revolusi generasi itu. 

ADVERTISEMENT
Topics:
Baca Artikel Seterusnya
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down