Ternampak seting Alice + Olivia di Surrogate’s Courthouse hari itu di Minggu Fesyen New York iras-iras ‘Era Keemasan’ akhir abad ke-19. Seperti bertamsil terbayangkan watak Marian Brook dan Bertha Russell (terutamanya, watak-watak dalam siri ‘The Gilded Age’) yang memberikan seribu satu perhitungan dalam cepu kepala.

Sejujurnya, memang Gilded Age yang terbit menjadi titik kepastian Stacy Bendet sebagai ilham. Matlamatnya bergema ke serata ruang Surrogate’s Courthouse, membibit ke susunan model-model yang begitu utuh berlengkap dalam rekaan-rekaan yang berlambangkan elemen era Victoria, Sulaman mewah, material renda, kain sutera dan tapestri. Model-model melapangkan pergerakan masing-masing, seakan-akan bermaharajalela di perkarangan rumah agam yang ‘memimik’ stail Châteauesque.
Gilded Age daripada Stacy Bendet untuk Alice + Olivia
Setiap rekaan-rekaannya tidak terlindung di balik kehalusan cerminan Gilded Age. Dengan pemikiran ini, Stacy jelas menyemat segala apa yang menggambarkan era materialism itu. Namun, Stacy membelah sendi gaya Gildeed Age ini dengan aspek kontemporari, yang barangkali menata ungkapan “evolusi”. Jelas Stacy, “Gilded Age adalah era keindahan seni pemakaian dan juga tempoh manusia agak bersifat keterlaluan dengan kekayaan serta Pembangunan Perindustrian. It feels relevant now.”

Apakah ada keduaan makna yang dieskpresikan oleh Stacy untuk Alice + Olivia musim ini? Kemewahan berlebihan namun tidak melara kejauhan dek kealpaan mewah? Stacy tida membelakangkan makna pemerkasaan serta kehebatan Wanita.
46 rekaan dipersembahkan oleh Alice + Olivia kali ini. Sebilangan besar rekaannya sarat dengan sulaman, seni kraf pada material dan butiran-butiran yang melambangkan era Victoria. Skirt gaun labuh yang menudungi lantai dan dress-dress slip menjadi tumpuan, termasuklah rekaan-rekaan korset – korset dan seni rekaannya adalah fokus utama musim ini. Malah jaket Victoria panjang dikemaskan dengan renda berona gading, digayakan bersama blaus dan skirt.
Panggung persembahan himpunan Alice + Olivia memperlihatkan kemodenan yang diterapkan oleh Stacy dari aspek suai padan. Contohnya, ceraian-ceraian korset yang dilapis atas blaus dengan kelim berenda dimadukan bersama seluar denim, bagi mendukung idea penerapan kebebasan kuasa wanita. Mainan rona-rona seperti hitam, gading, perak, merah kundang serta keemasan pula umpama menyuburi jiwa glam rock, melanjutkan idea kemodenan Stacy.
kendatipun begitu, keketaraan semangat Gilded Age disimbah oleh himpunan rekaan gaun-gaun dengan skirt labuh, bustle shape, skirt sulaman paillette, material baldu, material metalik dan perincian perhiasan kristal. Apa yang membumbui kehebatan seni reka Stacy lagi adalah sulaman tiga dimensi motif flora dan fauna dan kecerdasan teknologi (AI) untuk melakar semula fotorealistik yang mereplikakan corak asal.








