Dalam era fesyen yang semakin mementingkan kelestarian, UNIQLO turut komited untuk menjadikan dunia sebagai tempat yang lebih baik. Melalui inisiatif RE.UNIQLO, jenama ini berusaha mengurangkan pembaziran serta mempromosikan penggunaan semula dan kitar semula demi memberi impak positif kepada alam sekitar dan komuniti.
ELLE diterbangkan ke negara kelahiran UNIQLO, Jepun untuk menemu bual dan memahami dengan lebih mendalam inisiatif di sebalik RE.UNIQLO bersama Eiko Sherba.
Temu bual bersama Eiko Sherba, Pengarah Pemasaran Kelestarian, Jabatan Pemasaran Global UNIQLO

Apakah matlamat kelestarian utama khusus bagi pasaran di Asia?
Kami beroperasi di 26 negara, jadi tiada satu keutamaan tunggal untuk seluruh pasaran. Inisiatif kelestarian datang daripada ibu pejabat global sebagai konsep umum, tetapi setiap pasaran menilai dan menyesuaikannya mengikut keperluan komuniti tempatan. Konsepnya global, tetapi pelaksanaannya tempatan, itulah pendekatan strategik UNIQLO. Pasaran Asia sememangnya penting, namun pasaran lain juga tidak kurang penting.
Bagaimana reaksi terhadap inisiatif RE.UNIQLO dan adakah terdapat sebarang cabaran dalam memperkenalkannya di peringkat global?
Kami menjenamakan semula inisiatif ini sebagai RE.UNIQLO sejak 2020 supaya pelanggan dapat mengenalinya dengan jelas, sekaligus meningkatkan penglibatan mereka. Berbanding di Jepun, jumlah sumbangan pakaian terpakai di pasaran lain masih rendah kerana kami tidak menawarkan sebarang ganjaran, berbeza dengan beberapa syarikat lain. Oleh itu, kami menekankan kesan sebenar sumbangan, menunjukkan tempat sumbangan, merakam video serta gambar dan berkongsinya dengan pelanggan. Pendekatan ini berasaskan komuniti dan datang daripada hati, bukan sekadar promosi komersial. Memang agak mencabar, tetapi kami berusaha menarik perhatian pelanggan.

Selain itu, UNIQLO Studio kini dijalankan di 23 pasaran, menawarkan perkhidmatan membaiki pakaian dan sulaman. Pelanggan lebih berminat dengan sulaman kerana boleh mencipta rekaan unik pada pakaian mereka. Manakala, perkhidmatan membaiki kurang menarik perhatian. Tetapi, ia tetap penting, dan kami menekankannya melalui kempen sempena International Repair Day untuk mendekatkan pelanggan dengan budaya ini.
Banyak jenama fesyen menghadapi masalah akibat kurang telus, terutamanya mengenai rantaian bekalan. Sejauh manakah ketelusan penting untuk UNIQLO dan falsafah Lifewear?
Kami telah memulakan sistem pemantauan kilang sejak tahun 2004. Kami mengembangkan skop pemantauan bukan sahaja di kilang jahitan, tetapi juga di kilang bahan mentah untuk memastikan ketelusan. Kami juga mempunyai kira-kira 100 staf khusus, termasuk di pejabat pengeluaran, kerana hal ini sangat penting bagi industri pakaian. Kami turut mendedahkan senarai kilang di laman web Fast Retailing serta berusaha memastikan ketelusan mengikut kategori bahan seperti kapas, bulu dan bahan mentah lain. Usaha ini adalah asas dan mesti dilaksanakan.
Selain itu, kami berkongsi maklumat melalui UNIQLO Sustainability Roundtable, yang diadakan di Tokyo, London dan New York setiap tahun. Di sini, kami berkongsi perkembangan mengenai kelestarian, termasuk pelepasan karbon, rantaian bekalan dan isu berkaitan lain.

Lifewear adalah mengenai pakaian yang ringkas dan klasik. Bagaimana anda memastikan konsep itu tetap menarik bagi pelanggan yang sentiasa mahukan sesuatu yang baru?
Bagi Lifewear, kami sering menggunakan istilah ‘timeless’ atau klasik. Ini bermakna gaya mungkin berubah, tetapi pakaian yang klasik akan sentiasa menjadi bahagian penting dalam almari. Saya rasa pelanggan boleh sentiasa memilih cara untuk memadankan pakaian dengan cara sendiri.

