Jenama-jenama global kini semakin menunjukkan komitmen yang lebih tinggi terhadap kelestarian. Bukan sahaja melibatkan penggunaan bahan mesra alam, malah dalam merangka strategi kitaran bagi mendorong pilihan lestari secara menyeluruh. Begitu juga dengan syarikat gergasi global UNIQLO, mereka tidak ketinggalan dalam hal ini.
Segalanya bermula daripada falsafah agung LifeWear UNIQLO itu sendiri. Ia merupakan asas yang menjadikan jenama ini tampil luar biasa dan berbeza daripada jenama pakaian lain. Berdiri atas dasar kesederhanaan, kualiti dan ketahanan, setiap helaian dicipta untuk kekal abadi namun moden melalui inovasi. Lebih daripada fesyen, konsep LifeWear turut membawa kepada nilai kelestarian, yang kini menjadi nadi dalam setiap aspek kitaran pengeluaran.
Tahun 2020 menandakan pelancaran rasmi program kelestarian LifeWear, RE.UNIQLO. Dengan matlamat menjadikan planet ini lebih baik melalui pakaian, UNIQLO menumpukan usaha kepada pengurangan pembaziran dengan mengutamakan nilai setiap helaian, serta penggunaan semula dan kitar semula pakaian.
ELLE diterbangkan ke Jepun untuk menyaksikan sendiri keajaiban di sebalik RE.UNIQLO. Berikut adalah antara usaha menarik yang ingin saya kongsikan bersama pembaca dan sebagai nota tambahan, ini hanyalah sebahagian daripada kitaran lestari mereka yang lebih besar.
Recycled Down Jacket
Antara produk pertama yang dihasilkan daripada pakaian yang dikumpul melalui kotak RE.UNIQLO di seluruh dunia ialah Jaket Down kitar semula. Dengan kerjasama Toray Industries dan kepakaran teknologinya, UNIQLO berjaya melancarkan jaket pertama yang menggunakan bulu terpakai daripada jaket down lama.
Pada awalnya, proses pengasingan bulu dilakukan secara manual, namun kaedah ini terbukti tidak efisien dan turut menjejaskan kesihatan pekerja. Toray Industries kemudian membangunkan mesin pengasingan bulu automatik khas dalam tempoh dua tahun. Menurut Naoki Oka daripada Toray Engineering Development Center, mesin ini mampu memisahkan sehingga 90 peratus bulu secara automatik.
Proses pemisahan ini menggunakan teknik udara, iaitu kaedah yang memanfaatkan perbezaan berat antara bahan. Hanya bulu yang ringan akan disedut naik, manakala bahagian keras seperti zip, butang dan kain jatuh ke bawah. Setiap bilah pemotong mesin diperhalusi dengan teliti agar mampu memotong bahagian keras tanpa merosakkan bulu lembut di dalamnya. Dalam tempoh sejam, mesin ini mampu memisahkan kira-kira 10 kilogram bulu.
RE.UNIQLO Studio
RE.UNIQLO Studio pertama diperkenalkan pada tahun 2022 di stor Regent Street, London, sebagai usaha untuk menggalakkan pengguna memanfaatkan pakaian UNIQLO mereka sepenuhnya. Studio ini menawarkan perkhidmatan membaiki helain yang sudah terkoyak serta memberi nafas segar pada pakaian lama.


Gaya baharu boleh dicipta melalui sulaman mesin atau sulaman tradisional Jepun yang dikenali sebagai sashiko, dijalankan oleh tenaga kerja terlatih. Benang berwarna-warni dijahit membentuk corak geometri dengan garisan putus-putus, bentuk grid atau silang menggunakan tangan. Selain itu, teknik patching turut digunakan untuk menampal bahagian yang koyak. Setiap hasil bukan sahaja unik dan istimewa, malah menggalakkan amalan lestari kepada pelanggan.
Sehingga kini, RE.UNIQLO Studio telah berkembang dengan 66 lokasi dibuka di 23 negara dan wilayah. Di Malaysia, konsep RE.UNIQLO Studio ini boleh didapati di stor cawangan The Exchange TRX dan Fahrenheit88.
UNIQLO Pre-owned Clothes Project
Semasa lawatan ke Stor UNIQLO Setagaya Chitosedai, saya juga sempat menyelami bahagian UNIQLO Pre-Owned Clothes Project, sebuah inisiatif inovatif yang masih dalam fasa percubaan di Jepun. Setiap pakaian terpakai yang dikumpul daripada pelanggan diperiksa dengan teliti sebelum melalui proses menyeluruh seperti dibaiki, dibasuh atau diwarnakan semula.

Pakaian yang siap diproses kemudian dijual semula sebagai reuse item pada harga lebih berpatutan. Dengan rekaan sederhana, minimalis dan timeless, setiap helaian kekal relevan sepanjang musim, menjadikannya pilihan bijak dan lestari. Pada masa yang sama, ia memberikan kehidupan baharu kepada pakaian yang mungkin tidak lagi diingini, memanjangkan hayat setiap helaian yang masih berguna.

