Sebuah beg yang bergaya bukan sekadar pelengkap penampilan tetapi mampu mengubah keseluruhan stail anda. Musim Luruh/Dingin 2026 menyaksikan rumah fesyen memperkenalkan pelbagai rekaan baharu daripada bentuk klasik yang diberi nafas segar hinggalah siluet lebih istimewa dengan perincian tersendiri. Ada yang cukup ringkas untuk digayakan setiap hari manakala ada juga yang sukar dilepaskan daripada pandangan. Berikut adalah lima beg pilihan kami yang patut anda kenali musim ini.
Beg Whisker, Loewe

Antara rekaan yang cukup unik musim ini ialah Whisker, beg terbaharu LOEWE di bawah arahan kreatif Jack McCollough dan Lazaro Hernandez. Garisan lembut dan melengkung yang diinspirasikan daripada bentuk biomorfik memberikan Whisker karakter tersendiri sementara bukaan zip dengan penarik memanjang menjadi perincian yang cukup menonjol. Diperbuat daripada kulit lembut dengan kilauan halus, pembinaannya membolehkan beg ini mengikut bentuk tubuh pemakai secara semula jadi, sekali gus menghasilkan lipatan berkarakter sama ada ketika dipakai, diisi atau dibiarkan kosong.
Beg Simone, Saint Laurent

Terinspirasi daripada beg berpotongan sampul surat era 1970-an hingga 1980-an, Simone membawa kembali pesona rekaan klasik dengan sentuhan yang lebih kontemporari. Siluetnya yang ringkas, kemasan kulit lembut dan struktur yang kemas menjadikannya pilihan ideal untuk kegunaan harian. Perincian Double Cassandre menjadi titik tumpuan pada bahagian hadapan, dilengkapi perkakasan berwarna gangsa yang memberikan sentuhan elegan tanpa kelihatan berlebihan. Di sebalik penampilannya yang minimal, Simone cukup praktikal dengan dua kompartmen dan satu poket berzip untuk menyimpan keperluan harian.
Beg Hourglass Avenue, Balenciaga

Di bawah arahan kreatif Pierpaolo Piccioli, Balenciaga memperkenalkan Hourglass Avenue sebagai interpretasi baharu kepada siluet Hourglass yang ikonik. Kali ini, beg tersebut tampil dengan pendekatan visual yang lebih lembut, diserlahkan menerusi tekstur kulit dan kemasan separa berkilat.
Beg Clash de Cartier, Cartier

Cartier membawa identitinya ke dunia aksesori menerusi Clash de Cartier Tote Bag, sebuah rekaan yang membuktikan bahawa kemewahan juga boleh hadir dalam bentuk yang praktikal. Hadir dalam saiz sederhana, beg ini diperbuat daripada kulit anak lembu hitam yang lembut dengan dua pengancing stud sebagai perincian utama. Logo Cartier yang dicetak menggunakan teknik hot-stamping pada bahagian hadapan dan dalam beg memberikan sentuhan eksklusif yang cukup understated.
Beg Sublima, Swarovski

Bagi mereka yang gemarkan aksesori yang mampu menjadi tumpuan, Sublima daripada Swarovski sememangnya sukar untuk diabaikan. Membawa kepakaran maison ini dalam seni kristal ke dunia beg mewah, setiap rekaan diperbuat daripada kulit Itali dan dihiasi kira-kira 4,850 kristal Swarovski yang dipasang secara manual. Hasilnya ialah permukaan yang memantulkan cahaya dengan begitu mempesona, diinspirasikan daripada potongan kristal serta kilauan koleksi barang kemas Sublima. Ditawarkan dalam empat pilihan warna monokromatik: Silver, Pink, Gold dan Green

