
Bermain dengan penghasilan saiz berbeza menjadikan Cartier sebagai rumah arloji yang sentiasa menghasilkan sesuatu yang ikonik. Ia cukup sinonim dengan visi jenama ini dalam meneroka keterujaan dunia horoloji bagi penciptaan yang lebih bervariasi.
Tahun ini di Watches and Wonders, Cartier mengembangkan repertoir rekaannya dengan lebih pesona. Daripada penciptaan asas sehingga aturan penuh ekspresi, kemahiran pertukangan menjadi nadi pada reka bentuk yang tersendiri. Pentafsiran semula ini direalisasikan hasil daripada kepakaran yang bertumbuh seiring disiplin, kreativiti dan penggayaan.

Santos-Dumont
Penciptaan agung dalam dunia reka bentuk membawa Cartier meneroka semula ilham vintaj Santos-Dumont dalam satu pentakrifan semula. Tenaga pakar Cartier Manufacture menyatukan ilham warisan dengan inovasi yang cukup moden.
Bersadur emas, mata terpana pada crown yang cukup menyerlah dan ilham penuh classy keseluruhan penghasilannya. Dengan ketebalan senipis 0.3 mm ia menjadi penciptaan halus yang menjadi cabaran buat tenaga mahir maison menghasilkannya.

The Roadster
Comeback yang paling dinanti. Sejak diperkenalkan pada tahun 2002, The Roadster menjadi penciptaan khusus yang berfokus pada proposi rekaan, bentuk dan garis yang membentuk satu ilham seni reka yang menyeluruh. Disifatkan sebagai sesuatu yang ergonomik, penghasilannya kali ini lebih bold dengan mekanisme baru.
Berlandaskan arkib rekaan asal, ia dihasilkan bagi menciptakan sesuatu yang harmoni dan seimbang. Hal ini jelas jika diperhatikan pada penghasilan bezel dan bekasnya. Penyatuan kristal dan keluli tahan karat menyepadukan bentuk keseluruhan dengan penekanan pada crown dan dail yang seiring.

Baignoire
Ibarat maharani dalam koleksi lengkap Cartier, Baignoire elegan tiada tandingan. Kali ini lebih menarik ia disatukan dengan nadi motif Clou de Paris yang menjadi sebahagian daripada kamus rekaan sejak 1920-an. Dikraf penuh ketelitian dalam simbahan emas monokrom yang memancarkan kemewahan.
Dipandu kepakaran dalam penciptaan, reka bentuk ikoniknya diperkemas setiap sisi dan pergelangannya memberi nyawa berbeza edisi kali ini untuk menjadi satu penciptaan yang lebih menyerlah. Dengan tatahan permata brilliant cut pada bahagian dail dan bekasnya. Ia menjadikan rekaannya menyeluruh.

Myst de Cartier
Meraikan kesinambungan pada penyatuan horologi dan adicipta barang kemas, Myst de Cartier datang penuh keanggunan. Rekaan geometri yang menyatukan kristal yang dibingkai dalam saiz kecil namun cukup menyerlah sebagai penciptaan penuh simetri.
Gelang yang disepadukan dalam batu berbeza disatukan dengan prinsip seni reka. Ia unik sebagai penciptaan yang memiliki estetika serta ceritera yang tersendiri. Tanpa cangkuk, ia dihasilkan sempurna mengikut ilham gelang mewah yang menuntut masa selama 112 jam untuk disiapkan.

Crash Skeleton
Saban tahun Privé menawarkan interpretasi baru yang seiring dengan warisan Cartier. Bagi edisi kesepuluhnya, penciptaan asimetri menemukan hayat baru dengan rangka yang direka untuk mengikut gerakan MC Manufacture 1967. Apa yang terhasil adalah kejutan baru pada ilham yang cukup harmoni.
Angka roman pada relung waktu menjadi komponen penting yang menyatukan setiap sisi dail dengan bekasnya. Ia dicipta menggunakan teknik dekorasi tradisi yang menuntut ketelitian penghasilan yang memakan masa lebih kurang dua jam setiap satunya.
