Langgan

ELLE Creative Council: Arif Ed Osman

Arif Ed Osman menemukan minatnya dalam bidang rekaan permaidani yang moden yang kini sebahagian daripada pengisian hidupnya.
2 minit untuk membaca
Published: November 8, 2024
Arif menyarung blazer daripada MSGM

Fasa pandemik menemukan ramai orang dengan obsesi terbaru. Daripada minat menjadi cabang kerjaya yang tak diduga. Arif Ed Osman satu daripadanya yang menemukan minatnya dalam bidang rekaan permaidani moden yang kini sebahagian daripada pengisian hidupnya.

Ceritakan tentang diri anda

Saya seorang pereka permaidani yang memulakan jenama RifRugs sejak tiga tahun lalu. Biarpun agak sukar pada awalnya tetapi saya bertuah kerana banyak bahan rujukan daripada saluran sosial media terutamanya untuk meneruskan minat dalam bidang ini. Sepanjang tempoh ini juga saya sudah bekerjasama dengan jenama besar seperti Bvlgari, Mercedes F1 Team dan pusat beli-belah The Starhill antaranya.

Boleh ceritakan bagaimana karier anda bermula?

Semuanya bermula sebagai “Covid Hobby” ketika era pandemik. Sejak pertama kali melihat satu video di TikTok daripada situ saya begitu tertarik dengan ideanya. Pabila mendapat perhatian di Instagram dan TikTok minat ini berkembang menjadi sumber pendapatan. Bermula dengan satu tufting gun dan palet kayu saya memulakan minat ini dan setelah itu saya tidak lagi menoleh ke belakang dan memutuskan untuk meneruskannya.

Adakah apa yang anda lakukan sekarang sebahagian daripada impian masa kecil?

Saya membesar dengan banyak angan-angan. Imaginasi tidak terbatas tetapi sesuatu yang pasti saya sentiasa mahu melakukan sesuatu yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat. Hal ini saya temukan dalam bidang kreatif rekaan permaidani. 

Boleh ceritakan proses kreatif ketika bekerja?

Sebagai seorang memiliki kerja tetap di siang hari, saya hanya berkarya pada waktu malam dan selalunya sehingga jam 3 pagi. Jadi kebiasaan rutin saya bermula dengan muzik dan lampu yang dimalapkan. Kerja seperti ini menuntut masa yang panjang jadi keselesaan menjadi kunci utama proses kerja bermula sehingga ia disiapkan.

Ada rujukan tertentu atau ikon pilihan?

Agak sukar untuk menamakan satu ikon tetapi rujukan saya banyak datang daripada pemain industri yang berpengalaman dalam bidang ini antaranya Denzel Currie yang menjadi sebab mengapa saya begitu berminat menceburkan diri dalam bidang kreatif ini. 

Apa yang membezakan anda dengan pereka lain?

Sejujurnya saya rasa bidang ini tidak menuntut saya untuk bersaing dengan orang lain. Ia berteras pada minat dan kecintaan pada seni itu sendiri. Saya bermula dalam bidang ini kerana merasakan ia sesuatu yang cool dan apabila ada individu yang menyukai hasil kerja saya itu menjadi sesuatu yang penting untuk saya teruskan.

Apa yang memberi inspirasi buat anda kebelakangan ini?

Tidak terikat pada perkara tertentu. Hal-hal seharian yang berlaku di depan mata juga mampu memberi inspirasi pada saya. Sebagai contoh ketika melunaskan projek bersama Mercedes F1 Team saya banyak melihat sudut pandang daripada seorang pemandu F1 dan manipulasikan perspektif tersebut. Itu antara projek yang saya banggakan juga kerana sekarang hasil projek tersebut kini ada di Galeri Petronas. 

Jenis muzik yang anda dengarkan ketika berkarya?

Bergantung pada projek juga. Saya mendengar daripada Sainte sehingga d4vid. Selain itu saya juga suka mendengar podcast. 

Tiga perkataan yang menggambarkan estetika pada gaya rekaan anda?

Vibrant, playful, memorable.


Penulis / Penyelaras: Hafizan Mohd / Athirah Zahra Arahan Seni: Iera Nadzlim Penataan Gaya: Ardi Idewani Fotografi: Azim Mahayudin/Am Studio dibantu Adil Aqil Solekan: El Manda menggunakan YSL Beauty Dandanan: VV Chan menggunakan Shisheido Professional

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down