Pada hari Isnin, American Music Awards memberi penghormatan kepada artis-artis daripada seluruh industri muzik. Antara calon yang tersenarai, Taylor Swift menyerlah dengan lapan pencalonan, termasuk kategori 'Artist of the Year' dan 'Best Female Pop Artist'. Albumnya untuk tahun 2025, 'The Life of a Showgirl' turut dicalonkan bagi kategori 'Album of the Year' dan 'Best Pop Album'. Lagunya 'Fate of Ophelia' pula menerima pencalonan untuk 'Best Pop Song', 'Song of the Year' dan 'Best Music Video', manakala lagu 'Elizabeth Taylor' dicalonkan dalam kategori baru, 'Song of the Summer'.
Namun begitu, bintang pop itu tidak akan menghadiri acara yang bakal berlangsung di MGM Grand Garden Arena di Las Vegas. Taylor kebelakangan ini banyak meluangkan masa di kota New York bersama tunangnya, Travis Kelce, termasuk menghadiri majlis perkahwinan dan juga beberapa temu janji makan malam. Pasangan itu dilaporkan sedang membuat persiapan untuk perkahwinan mereka selepas bertunang pada bulan Ogos tahun lalu. Mereka masih merahsiakan rancangan majlis tersebut, namun Taylor pernah berkata bahawa dia mahu mengadakan majlis perkahwinan di lokasi percutian.
"Orang mungkin fikir saya sejenis individu yang terlalu obses memikirkan tentang perkahwinan sepanjang hidup saya,” kata Taylor Swift. “Tetapi sebenarnya, saya tidak pernah memikirkan bagaimana majlis itu akan diraikan… sehinggalah saya bertemu dengan pasangan yang tepat.”
Selain mempunyai jadual yang sangat padat, pasangan itu juga dilaporkan sedang melancong pada hujung minggu sebelum acara tersebut berlangsung. Mereka dilihat menghadiri perlawanan antara Cleveland Cavaliers menentang New York Knicks di Cleveland.
Bintang NFL itu merupakan peminat tegar Cleveland Cavaliers kerana dia dibesarkan di Ohio. Walaupun New York Knicks akhirnya berjaya menewaskan Cleveland Cavaliers dalam perlawanan tersebut, pasangan itu tetap menikmati malam temu janji yang romantis sambil berkongsi beberapa momen mesra di hadapan umum.
Artikel diterjemah daripada ELLE USA

