Tepat jam 7 malam, ketika episod podcast yang menampilkan penampilan pertama Taylor Swift disiarkan, beliau turut sama telah mendedahkan kulit gambar album dan senarai penuh lagu terbaharunya. Album yang berjudul The Life of a Showgirl tersebut akan dilancarkan pada tanggal 3 Oktober nanti.
Kulit album studio ke-12 Swift ini memaparkan visual seolah beliau tenggelam dalam air sambil mengenakan bodysuit berkilauan. Tajuk album tersebut pula ditulis dalam font glitter berwarna oren. Ini merupakan ekspresi dan emosi yang ingin dibawanya.

Swift berkata, tema kulit album itu sebenarnya menggambarkan "penghujung hari saya”. “Kebiasaannya setelah melalui hari yang sibuk, waktu saya akan berakhir dalam tab mandi untuk berehat.”
Lagu utama bertajuk sama dengan album ini (The Life of a Showgirl) merupakan trek terakhir daripada 12 lagu dan menampilkan kolaborasi dengan penyanyi Sabrina Carpenter.
Senarai penuh lagu dalam album:
- The Fate of Ophelia
- Elizabeth Taylor
- Opalite
- Father Figure
- Eldest Daughter
- Ruin the Friendship
- Actually Romantic
- Wi$h Li$t
- Wood
- Cancelled!
- Honey
- The Life of a Showgirl (menampilkan Sabrina Carpenter)
Swift juga menjelaskan bahawa dia mengusahakan album ini semasa berada di Eropah ketika jelajah Eras Tour. Walaupun secara fizikalnya sangat letih ketika itu, tetapi secara mental Swift sangat teruja dan menemui inspirasi penuh untuk berkarya.
Seperti kebiasaannya, Swift membuat pengumuman secara penuh gaya di laman web rasminya. Laman web Swift tersebut memaparkan kulit album sebagai segi empat berwarna hijau pudina dengan ikon kunci oren dengan imej yang kemudiannya menjadi gambar profil beliau di semua platform media sosial.
Album terakhir Swift sebelum ini, 'The Tortured Poets Department' diumumkan ketika Anugerah Grammy 2024 pada Februari dan dilancarkan pada 19 April 2024. Ketika itu beliau masih dalam jelajah rekod Eras Tour yang berakhir pada Disember tahun itu.
Sejak tamatnya jelajah 21 bulan merentas lima benua tersebut, Swift lebih banyak menyepi daripada perhatian umum.
Kita tunggu 3 Oktober nanti!

