
Meraikan kelangsungan dunia kreatif tempatan yang semakin luas landskapnya, ELLE meneruskan inisiatif meraikan bakat-bakat dalam bidang berbeza yang telah menciptakan impak dalam kembara karier mereka. Melewati kembali dua tahun sebelumnya, bakat-bakat dalam bidang filem, muzik, seni visual, sastera fesyen dan kecantikan telah diraikan lewat lembaran istimewa yang kami ciptakan.
Nama-nama seperti Sofia Haron, Uzair Shoid, Jasmine Wong, Pamela Tan dan Nadiah Ramli antara yang telah diraikan sebagai legasi kreatif yang bakal memiliki hayat panjang dalam karier mereka. Setiap satu daripada mereka memiliki momen yang cukup istimewa dalam kembara kreatif yang dilalui.
Tahun ini landskap kreatif berpaksi pada sebuah sudut pandang yang menjadi sebuah kelangsungan. Zulaikha Zakaria menjadi pengarah filem wanita yang mendominasi dunia lelaki lewat naratif 'Kudrat' yang mencipta fenomena tahun ini. Sehingga artikel ini ditulis filem tersebut sudah mencatat kutipan RM12 Juta.
M. Shaffuan seorang lagi bakat dalam bidang penceritaan visual kreatif yang mencuri perhatian. Penglibatannya dalam siri filem cereka pendek dalam pesona visual yang puitis semakin disenangi. Dunia fesyen pula semakin mengujakan dengan bakat baru bernama Akmal Hakim Ajirul yang dilihat sebagai bakat pelapis yang bakal menciptakan impak baru dalam bidang ini.
Lira Jamaluddin pula memiliki cerita berbeza dengan pengalaman dalam bidang media yang membawanya menciptakan impak dalam bidang kecantikan. Fenomena KL Beauty Week yang menyatukan komuniti kecantikan tempatan menjadi fokusnya kini. Dalam dunia seni visual, Anisa Abdullah mengangkat ilham kreatif kolaj dalam membentuk identiti seninya.
Dunia penerbitan radio dan pengisian digital tempatan pula semakin menyenangi Daniel Cheang dalam mencorakkan dunia kreatif dengan kebijaksanaan yang dia miliki. Naratif Nas Addina dalam menyajikan sesuatu yang segar menciptakan 'Generasi Perfect 10' yang diangkat sebagai Drama Bersiri TV Terbaik di Anugerah Sri Angkasa yang lalu.
Kesemua mereka punya cerita dan aspirasi buat semua pembaca. ELLE membawakan Creative Council - Class of 2026.
Editor Rencana: Hafizan Mohd
Fotografi: Edmund Lee (HEXA Studio)
Arahan Seni: Nabihah Nizam
Penataan Gaya: Athirah Zahra
Solekan: Razzi Musa dan Sahir Sabri
Dandanan: Yusof Ruzaimi dan HairbyLala
Pelatih Amali: Nur Zulaikha Najwa




