
Siapa yang sangka individu kreatif di balik muzik video hebat Dolla, Daiyan Trisha dan Dayang Nurfaizah ini pernah bergelar Ahli Farmasi? Hari ini Jasmine Wong antara tenaga kreatif muda dalam bidang seni visual yang semakin tinggi permintaannya.
Siapa anda? Saya seorang pengarah muzik video, filem fesyen dan komersial. Kerja pengarahan saya merentasi pelbagai seni visual daripada naratif pendek sehinggalah kempen jenama berskala besar.
Adakah apa yang anda lakukan hari ini sebahagian daripada mimpi masa kecil? Saya memiliki latar pendidikan sains dan memiliki pendidikan formal dalam bidang farmasi. Saya meneroka dunia kreatif selepas mendapat hadiah berupa sebuah kamera dan setelah itu minat datang dan bertumbuh.
Hal menarik tentang kerjaya anda? Setiap projek membuka peluang untuk saya meneroka dunia baru daripada sudut pandang berbeza yang ditafsir ke bentuk visual. Setiap satu produksi memberi ruang saya melihat bagaimana idea kecil di atas kertas hidup sebagai sebuah karya kreatif.

“Setiap karya saya usahakan dengan memberi penekanan pada penceritaan, visual yang tersusun dan emosi yang tepat.”
Inspirasi? Saya banyak melihat karya daripada pengarah luar. Eksperimentasi visual, naratif dan mood berbeza memberi inspirasi dan pelajaran baru untuk saya.
Obsesi terkini? Meneroka teknologi CG dan AI bagi mengukuhkan penceritaan dan bergerak sebagai manipulasi kreatif yang berkesan. Teknologi mampu menghidupkan sesuatu yang surreal menjadi metafora visual yang tidak dapat dirakam dunia nyata.
Personaliti? Saya seorang yang berorientasikan visual, independen dan peka pada hal kecil. Dalam berkarya saya akan memastikan keseimbangan antara penceritaan dan emosi dicapai.
Proses kreatif? Penting untuk saya mendalami jiwa sesuatu projek sebelum memikirkan tentang visual. Warna, mood, sinematografi dan tempo ditetapkan hanya setelah saya memahami cerita dan emosi yang mahu disampaikan.
Life mantra? Go confidently in the direction of your dreams. Live the life you have imagined.
Current state of mind? Percaya pada proses dan teruslah berkarya dengan jujur kerana masa akan membuktikan segalanya.
Konsep / Penyelaras: Hafizan Mohd
Pembantu penyelaras: Nurhani Natasha
Arahan seni: Iera Nadzlim
Fotografi: Azim Mahayudin / A.M Studio
Penataan gaya: Athirah Zahra / Muzammin Muzlan
Solekan: Ummi Nasir / Alvin Loh menggunakan kosmetik Wardah
Dandanan: Vincent Ting Chee Chai menggunakan produk GHD

