
Percaya tiada mimpi yang terlalu besar jika ada keinginan dalam mencapainya, Daniel Cheang menjadi pelapis dunia showbiz yang memiliki sesuatu yang besar buat sebagai wakil generasinya.
ADAKAH APA YANG ANDA LAKUKAN HARI INI SEBAHAGIAN DARIPADA IMPIAN MASA KECIL?
Cita-cita sentiasa berubah, daripada mahu menjadi seorang saintis kemudian juruterbang. Namun satu yang pasti saya sentiasa mahu melibatkan diri dalam bidang kreatif. Seiring kedewasaan saya sedar yang saya mahu berada di situasi yang membolehkan saya bercakap dan berkarya pada masa yang sama. Saya menemukan ia dalam bidang kerja saya sekarang. Saya mahu mencipta pengalaman untuk orang lain.
HAL TERBAIK TENTANG KERJAYA ANDA?
Menjadikan imaginasi ke dunia nyata dan paling menarik apabila pengalaman itu dapat dikongsikan dengan orang lain. Bekerja dalam bidang kreatif mengajar saya bahawa satu perkara yang kelihatan biasa mampu menjadi luar biasa. Kreativiti tidak hanya tentang idea tetapi bagaimana ia terhasil menjadi sesuatu yang orang lain dapat rasakan pengalamannya.
BILA ANDA YAKIN INI MENJADI SEBAHAGIAN DARIPADA APA YANG ANDA MAHU LAKUKAN?
Saya sebenarnya pelajar jurusan sains tapi guru di sekolah dulu nampak kecenderungan saya dalam bidang media mencadangkan saya untuk sambung belajar dalam bidang ini. Ia satu proses yang membuat saya lihat bidang ini bukan sahaja tempat ‘beraksi’ namun ia mampu menjadi satu platform untuk saya membina sesuatu. Itu menjadi detik awal yang menyedarkan saya bidang ini mampu menjadi medan dalam menentukan cerita apa yang harus dikongsikan.
PROSES KREATIF
Bermula dengan persoalan ‘What if?’ daripada situ ia berkembang menjadi satu idea untuk menciptakan sesuatu yang luar daripada kebiasaan. Inspirasi boleh datang secara rawak dan daripada situ saya membentuk identiti serta mencari tahu apa yang menjadikan orang peduli dengan satu-satu isu. I enjoy big and massive crazy ideas, tetapi saya juga belajar bahawa kreativiti bukan hanya tentang idea yang hebat. It’s about execution.

CABARAN
Bekerja dalam bidang kreatif menuntut saya untuk mencari satu keseimbangan antara bajet, masa, tenaga kerja dan juga expectation orang. Kadang-kadang idea yang hebat itu datang dengan kekangan dan ada cabaran dalam menjadikan ia satu realiti. Jika di depan kamera pula saya harus bijak mengawal emosi. Ada hari pabila mood tidak berapa baik, saya masih harus tersenyum.
PENGARUH
Saya sukakan estetika seni Wong Kar Wai. Budaya Pop Hong Kong dan Hollywood banyak mempengaruhi dan saya sentiasa peka dengan trend semasa yang ada elemen nostalgia di sebaliknya. Kalau di Malaysia, saya mengagumi Datuk Aznil Nawawi. Menerusi beliau saya belajar bahawa menjadi seorang penghibur tidak hanya sekadar pandai bercakap namun menuntut disiplin kerja yang cukup tinggi.
OBSESI TERKINI
Melaksanakan projek ‘Meet Your Idol’ membuat saya semakin obses bagaimana cara sesebuah idea itu mampu membina satu dunia yang membentuk identiti, karakter, emosi dan pengalaman baru. Ia membuat saya sedar betapa menariknya proses dalam membentuk idea yang belum diteroka sepenuhnya di Malaysia khususnya.
Editor Rencana: Hafizan Mohd
Fotografi: Edmund Lee (HEXA Studio)
Arahan Seni: Nabihah Nizam
Penataan Gaya: Athirah Zahra
Solekan: Razzi Musa dan Sahir Sabri
Dandanan: Yusof Ruzaimi dan HairbyLala
Pelatih Amali: Nur Zulaikha Najwa

