Langgan

MNL Fashion Week 2026 Dari Barisan Hadapan

Menyelami bakat lokal yang kini mewarnai landskap fesyen Filipina.
3 minit untuk membaca
Published: October 31, 2026


Tahun ini, MNL Fashion Week kembali untuk edisi kedua, berlangsung selama empat hari di SMX Convention Center, SM Aura Premier. Meraikan kreativiti tempatan, edisi kali ini menampilkan 11 pereka fesyen Filipina menerusi pertunjukan fesyen serta galeri pop-up yang memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat lebih dekat, malah mendapatkan helaian pilihan mereka.

Bakat Lokal Filipina

Membuka tirai MNL Fashion Week 2026 ialah ‘Flow State’ daripada Nicolò. Koleksi ini terbahagi kepada tiga bab dengan setiap naratif yang berbeza. “Pertunjukan ini bergerak daripada sesuatu yang lebih berstruktur dan utilitarian kepada sesuatu yang semakin beralun, bebas dan ekspresif. Menjelang kemuncak koleksi, saya mahu ia terasa hampir seperti euforia – seperti saat anda berhenti memikirkan tentang kerja dan benar-benar tenggelam dalam proses berkarya,” jelas perekanya, Nicolò Perez.

Nicolò, gambar ihsan @troyang

Keseluruhan helaian terasa santai dan mudah didekati. Namun, tetap sarat dengan perincian teknikal yang teliti, termasuk panel beralun yang memimik elemen air serta inspirasi gaya pelayar. Permainan fabrik sheer, denim, aplikasi, manik dan labuci menambah dimensi pada setiap helaian, menjadikan koleksi ini mempunyai daya tarikan visual yang unik.

Yong Studio, gambar ihsan @xian.img

Meneruskan pertunjukan, Yong Studio antara label yang turut mencuri perhatian. Siluet romantik bertemu inspirasi alam semula jadi, menghidupkan setiap helaian dengan corak yang diilhamkan daripada flora dan fauna. Persembahan ini kemudian ditamatkan dengan sebuah kapsul khas daripada material deadstock dan bahan upcycled. “Saya suka melihat potensi pada perkara yang mungkin dilepas pandang oleh orang lain,” ujar Yong Davalos, pereka dan pengasas Yong Studio.

Lorico, gambar ihsan @renzylaurel
Lorico, gambar ihsan @renzylaurel

Fokus kemudian beralih kepada pereka fesyen rajut, Jerome Lorico yang berasal dari Albay, Bicol. Semenjak kecil, Jerome sudah mengenali kehalusan seni kerja tangan menerusi ibu bapanya yang merupakan penganyam bakul. Hari ini, pengalaman tersebut diterjemahkan ke dalam helaian rajut yang menyerupai arca kontemporari. Bagi jenama Lorico, material bukan sekadar medium untuk membentuk pakaian. Tetapi sebenarnya mempunyai kehidupan dan suara yang tersendiri jika diberikan perhatian yang secukupnya. “Sehingga kini, saya masih terpesona melihat bagaimana sehelai material tenunan mampu mengekspresikan dirinya dalam pelbagai bentuk dan olahan,” katanya.

Lorico, gambar ihsan @renzylaurel

“Memahat pakaian rajut ibarat membentuk air,” tambahnya lagi. Metafora itu kemudian dibawa ke pertunjukan apabila paparan skrin LED menampilkan alunan ombak sebagai latar, sementara pasir halus membentangi lantai pentas peragaan. Ia berubah menjadi sebuah landskap yang terasa jauh daripada hiruk-pikuk kota, “Ini adalah sebuah perjalanan untuk kembali kepada sesuatu yang semula jadi, primitif dan lebih sederhana,” katanya.

Proudrace, gambar ihsan Jasonthejman
Proudrace, gambar ihsan Jasonthejman

Tirai kemudiannya diakhiri dengan Proudrace, jenama fesyen kontemporari yang diasaskan oleh Rik Rasos menerusi koleksi streetwear yang sarat dengan identiti dan budaya Filipina. Daripada iklan lama, gambar keluarga dan imej zaman kanak-kanak hinggalah langsir, televisyen dan karaoke, setiap elemen membangkitkan nostalgia kehidupan seharian masyarakat Filipina. Fabrik dan helaian pula diolah menerusi teknik dekonstruksi dan draping, selain penggunaan material yang diberi nafas baharu. 

Ringkasnya, fesyen Filipina hadir dalam pelbagai bahasa visual, merangkumi ekspresi berani dan eksperimental, seni kraf warisan serta intrepretasi kontemporari terhadap streetwear. Setiap pereka membawa perspektif tersendiri, memperlihatkan bagaimana warisan, budaya kontemporari dan ekspresi kreatif terus membentuk naratif fesyen Filipina hari ini.

Siapa Yang Hadir?

Antara bintang yang #spotted di MNL Fashion Week 2026, sama ada sebagai tetamu di barisan hadapan ataupun model kejutan untuk memperagakan koleksi di atas pentas peragaan.

1. Anne Curtis-Smith

Gambar ihsan @xian.img

Bintang antarabangsa Filipina, Anne menghadiri pertunjukan koleksi Randolf pada hari ketiga, menggayakan jaket berstruktur dengan gabungan material bersama skirt dan seluar pendek hibrid rekaan custom Randolf.

2. Nadine Lustre

Gambar ihsan no_name_ph

Nadine membuat kemunculan sulung di pentas peragaan secara mengejut pada hari pembukaan selepas diumumkan sebagai duta jenama terbaharu JAG Jeans

3. ‘Boss’ Chaikamon Sermsongwittaya dan James Reid

Gambar ihsan @xian.img

Pelakon Thailand, Boss serta pelakon dan penyanyi berdarah Australia-Filipina, James Reid hadir di barisan hadapan untuk menyaksikan pertunjukan koleksi Yong Studio.

4. Michelle Dee

Gambar ihsan @xian.img

Pemegang gelaran Miss Universe Philippines 2023, Michelle mencuri perhatian menerusi beberapa kemunculan di pentas peragaan - membuka pertunjukan Proudrace di hari penutup, memperagakan koleksi Yana Kalaw Studios serta membuka koleksi Antonina.

5. Lookmhee Punyapat Wangpongsathaporn dan Sonya Saranphat Pedersen

Gambar ihsan @xian.img

Charlotte Folk menyuntik aura star power ke pentas peragaan apabila menampilkan bintang Thailand, Lookmhee dan Sonya sebagai model pembuka dan penutup pertunjukan.

Baca artikel penuh di ELLE Malaysia isu Oktober 2026

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down