
Sejak diperkenalkan pada 2019, koleksi Artycapucines menjadi ruang buat rumah fesyen Louis Vuitton meneroka hubungan antara seni kontemporari dengan kraftangan mewah. Mengambil nama daripada beg Capucines yang dinamakan sempena Rue Neuve-des-Capucines di Paris, lokasi butik pertama rumah fesyen ini dibuka pada 1854, koleksi ini telah menampilkan interpretasi lebih 35 seniman kontemporari sepanjang tujuh edisi terdahulu termasuk Takashi Murakami, Beatriz Milhazes, Ugo Rondinone dan Zhao Zhao. Bagi bab terbaharu ini, Louis Vuitton mengangkat karya Keith Haring, seniman Amerika yang terkenal dengan semangat serta mesej tentang kemanusiaan dan kesedaran sosial. Dihasilkan dengan kerjasama Keith Haring Foundation, 13 rekaan edisi kelapan ini membawa dunia visual Keith Haring ke dalam siluet Capucines.

Kolaborasi ini turut meneruskan hubungan kreatif yang diperkenalkan menerusi koleksi Cruise 2027 oleh Nicolas Ghesquière yang dipersembahkan di Frick Collection, New York, bulan Mei lalu. Ketika itu, karya dan karakter Keith Haring menghiasi pilihan busana serta beg, mempertemukan semangat seni jalanan New York dengan kehalusan fesyen maison ini. Kini komposisi grafiknya menemukan dimensi baharu pada Capucines dengan setiap motif diolah mengikut karakter dan material beg.

Antara yang menarik ialah Capucines MM Genesis yang mengambil inspirasi daripada beg pakaian Louis Vuitton yang diubah suai sendiri oleh Keith Haring pada 1984, sekali gus menghubungkan warisan pengembaraan maison dengan legasi artistiknya.

Capucines Mini Symbols pula dihiasi rantai dekoratif berinspirasikan barang kemas, lengkap dengan loket tiga dimensi berwarna-warni yang menampilkan karakter ikonik seniman tersebut. Melalui pertemuan ini, Artycapucines memperlihatkan bagaimana karya Keith Haring terus hidup dalam medium berbeza tanpa kehilangan karakter asalnya. Kesemua beg dalam koleksi edisi terhad ini akan dipasarkan di butik Louis Vuitton seluruh dunia pada Januari 2027.

