Senaman yoga bukanlah satu bentuk senaman yang baharu. Amalan ini telah wujud sejak ribuan tahun lalu dan mempunyai akar sejarah yang kuat di India. Namun, apabila ditelusuri dengan lebih dekat, sejarah yoga ternyata jauh lebih menarik dan kompleks daripada yang disangka.
Asal-usul yoga masih menjadi perdebatan dalam kalangan sejarawan dan sarjana. Antara penemuan yang sering dikaitkan dengan sejarah awal yoga ialah artifak daripada Tamadun Lembah Indus, sekitar 3000 sebelum Masihi. Tamadun purba yang berkembang di sekitar lembangan Sungai Indus ini merupakan antara tamadun awal terbesar di dunia, meliputi kawasan yang kini sebahagian besarnya berada di Pakistan serta barat laut India.

Menariknya, beberapa penemuan arkeologi daripada tamadun ini, termasuk mohor batu yang memaparkan figura dalam posisi tertentu yang menyerupai meditasi, sering dikaitkan dengan kemungkinan wujudnya amalan yang mempunyai persamaan dengan yoga. Posisi tersebut dilihat mempunyai unsur kawalan tubuh dan meditasi yang kemudiannya menjadi antara komponen penting dalam tradisi yoga.
Namun begitu, persoalan ini masih diselubungi misteri. Hal ini kerana tulisan atau skrip masyarakat Lembah Indus sehingga kini masih belum berjaya ditafsirkan sepenuhnya. Justeru, hubungan secara langsung antara masyarakat Lembah Indus dengan amalan yoga seperti yang difahami pada hari ini masih belum dapat disahkan secara muktamad.
Apa yang lebih jelas ialah istilah dan konsep yoga kemudiannya muncul dengan lebih kukuh dalam teks Sanskrit India kuno. Perkataan yoga berasal daripada akar kata Sanskrit “yuj”, yang membawa maksud seperti menggabungkan, menyatukan atau mengikat. Daripada sinilah konsep yoga berkembang dan dihuraikan dalam pelbagai teks serta tradisi pemikiran India.
Yoga Bukan Sekadar Posisi Fizikal
Pada hari ini, yoga sering dilihat sebagai satu bentuk senaman yang menggabungkan pergerakan dan posisi fizikal, teknik pernafasan, meditasi serta dalam sesetengah tradisi, unsur kerohanian.
Dalam kehidupan moden, yoga diamalkan bukan sekadar untuk melakukan regangan atau membina kekuatan tubuh. Ia turut menjadi satu pendekatan untuk menghubungkan minda, tubuh dan jiwa di samping menyokong kecergasan serta kesejahteraan diri.
Dan jangan salah anggap untuk bermula dengan yoga, anda tidak perlu mempunyai tubuh yang sangat fleksibel. Fleksibiliti bukan syarat untuk mengamalkan yoga sebaliknya, ia merupakan salah satu aspek yang boleh dibangunkan melalui latihan yang konsisten. Pergerakan dalam yoga juga boleh membantu meningkatkan julat pergerakan dan keupayaan tubuh melakukan pergerakan fungsional dalam kehidupan seharian.
Pelbagai Wajah Yoga Moden

Hari ini, yoga hadir dalam pelbagai bentuk dan pendekatan. Setiap gaya mempunyai teknik, tempo dan posisi yang berbeza, bergantung pada matlamat serta keperluan individu.
Daripada yoga asas hinggalah kepada yoga pranatal mahupun yoga aeriel, pilihannya semakin pelbagai. Ada yang mencari yoga untuk kecergasan, ada yang mahukan fleksibiliti dan mobiliti yang lebih baik, manakala sebahagian yang lain memilihnya sebagai ruang untuk memperlahankan rutin harian dan mencari ketenangan.
Walaupun penyelidikan menunjukkan yoga mempunyai pelbagai potensi manfaat terhadap kesihatan dan kesejahteraan, ia tetap perlu dilakukan dengan teknik yang betul. Bagi pemula, khususnya mereka yang mempunyai keadaan fizikal tertentu, mendapatkan bimbingan daripada pengajar yang berkelayakan merupakan langkah yang baik bagi mengurangkan risiko kecederaan.
Dalam dunia kesejahteraan hari ini, pilihan yoga semakin berkembang mengikut keperluan manusia moden. Jika dahulu tumpuan mungkin lebih kepada fleksibiliti, kekuatan dan penguasaan sesuatu posisi, pendekatan masa kini semakin bergerak ke arah kesedaran tubuh, pengurusan tekanan dan kesejahteraan minda.
Antara pendekatan yang semakin mendapat perhatian pada 2026 ialah yoga somatic dan bentuk yoga berasaskan pergerakan seperti walking yoga.
Apa Itu Somatic Yoga?
Somatic Yoga memberikan tumpuan kepada sensasi dan pengalaman tubuh ketika bergerak, bukannya semata-mata berusaha mendapatkan posisi yang sempurna. Dalam pendekatan ini, seseorang diajak untuk lebih peka terhadap apa yang dirasai oleh tubuh, bagaimana otot bergerak, bagaimana pernafasan berubah dan bagaimana tubuh bertindak balas terhadap sesuatu pergerakan. Fokusnya bukan tentang sejauh mana seseorang itu boleh membengkokkan tubuh atau kelihatan sempurna, tetapi tentang bagaimana tubuh itu sendiri mengalami pergerakan tersebut.
Apa Itu Walking Yoga?
Yoga jenis ini menggabungkan aktiviti berjalan bersama elemen yoga yang memfokuskan pada teknik pernafasan, postur, langkah juga pergerakan tubuh. Ia bukanlah sekadar berjalan seperti biasa tetapi ia melibatkan kepada fokus minda dan kepekaan terhadap setiap langkah yang dilakukan. Untuk teknik yoga ini, tidak semestikan seseorang itu perlu memiliki tahap kecergasan atau fleksibiliti yang tinggi. Ia boleh menjadi satu pilihan yang mudah dan praktikal dalam rutin harian tanpa perlu melakukan di atas tikar yoga.
Ini Yoga Paling Lazim Diamalkan!
1) Yoga Acro
Amalan yoga tradisional berposisi downward dog bersama pasangan. Ini sering dilakukan bersama pasangan untuk membantu membina kemahiran komunikasi serta mengeratkan hubungan intim.
2) Yoga Aerial

Menggabungkan posisi yoga tradisional bersama sokongan buai fabrik yang kuat dan lembut digantung dari silling. Sesuai buat yang ingin memulihkan fleksibiliti, kekuatan, keseimbangan serta ketenangan.
3) Yoga Pranatal
Khusus untuk wanita hamil. Yoga jenis ini memberi tumpuan kepada pergerakan dan latihan yang dapat membantu untuk mengurangkan rasa badan tidak selesa dalam fasa kehamilan termasuk sakit dibahagian bawah belakang.
4) Yoga Sound Bath

Yoga yang memberi rasa ketenangan yang mendalam menggunakan instrumental seperti mangkuk dan gong. Posisi yoga ini juga adalah di dalam keadaan berbaring. Selain memberi ketenangan minda, ia juga mampu menyeimbangkan kadar degupan jantung juga mengurangkan tekanan darah tinggi.
Gambar: pexels

