Ada trend kecantikan yang kita sangka sudah lama ditinggalkan, tetapi akhirnya kembali menghiasi radar fesyen dan kecantikan. Kali ini, giliran concealer lips untuk mencuri perhatian sekali lagi. Solekan bibir berona pucat yang cukup popular sekitar era 2000-an ini kembali menjadi bualan, membuktikan bahawa dunia kecantikan sememangnya tidak pernah kehabisan inspirasi daripada masa lalu. Daripada skinny brows hingga ke frosted eyeshadow, estetika Y2K kini kembali mendapat tempat dalam dunia kecantikan.

Trend Y2K Yang Kembali Menghiasi Dunia Kecantikan
Tidak hairanlah apabila gaya bibir nude yang pernah menjadi kegemaran ramai turut menerima perhatian baharu. Bagi yang mungkin kurang familiar, concealer lips merujuk kepada teknik solekan bibir menggunakan concealer atau produk bibir berwarna nude yang hampir menyerupai tona kulit. Hasilnya, bibir kelihatan lebih pucat seolah-olah warna semula jadinya disamarkan. Trend ini pernah menjadi pilihan ramai selebriti dan ikon fesyen pada awal 2000-an.

Mengapa Concealer Lips Kembali Popular?
Tidak dinafikan, kebangkitan estetika Y2K memainkan peranan besar dalam membawa semula trend kecantikan era 2000-an. Selain itu, populariti solekan minimalis dan clean girl makeup turut membuka ruang kepada bibir berona nude. Penampilan yang ringkas, segar dan tidak terlalu sarat dengan warna menjadikan concealer lips pilihan menarik untuk mereka yang gemarkan solekan bersahaja.

Media sosial juga menjadi platform yang menghidupkan semula trend ini menerusi pelbagai inspirasi solekan daripada pempengaruh digital kecantikan. Namun, berbeza dengan versi asalnya yang sering menghasilkan bibir terlalu pucat, versi terbaharu hadir dengan pendekatan lebih lembut dan mudah disesuaikan mengikut gaya masing-masing.
Cara Menggayakan Concealer Lips Dengan Lebih Moden
Jika anda ingin mencuba trend ini, rahsianya adalah pada keseimbangan warna. Mulakan dengan menyediakan bibir menggunakan lip balm supaya permukaannya kekal lembap dan tidak kelihatan merekah. Kemudian, gunakan sedikit concealer atau produk bibir berona nude untuk menghasilkan warna asas yang lebih neutral.
Untuk hasil yang lebih berdimensi, tambahkan sedikit lip liner berona coklat atau nude pada bahagian tepi bibir. Teknik ini bukan sahaja memberikan definisi, malah membantu mengelakkan bibir kelihatan terlalu rata. Akhiri dengan sapuan lip gloss untuk mendapatkan kemasan berkilau yang cukup sinonim dengan estetika Y2K
Trend Lama, Beauty Statement Baru

Seperti kebanyakan trend kecantikan yang kembali popular, concealer lips membuktikan bahawa gaya lama sentiasa mempunyai ruang untuk berevolusi. Tidak semestinya perlu mengikut gaya asal sepenuhnya, sebaliknya anda boleh menyesuaikannya mengikut tona kulit, pilihan warna dan personaliti sendiri. Siapa sangka, trend yang pernah kita tinggalkan ini bakal menjadi pilihan baharu dalam beg solekan?

