Langgan

Ini Apa Yang Bakal Terjadi Pada Tubuh Badan Jika Jerebu Semakin Berleluasa!

Setiap tahun pasti negara kita akan terkesan dengan pencemaran jerebu daripada negara jiran serta pelepasan daripada industri tempatan...
2 minit untuk membaca
Published: September 9, 2026

Saban tahun negara kita pasti akan terkesan dengan isu jerebu daripada hasil pembakaran negara seberang. Menurut Dr. Kam San Dhit, doktor keluarga di Alpro Clinic menjelaskan betapa pentingnya kesedaran terhadap masalah dan isu pencemaran udara ini terhadap kesihatan diri.

"Kebimbangan utama saya ialah apa yang akan berlaku kepada tubuh badan sebaik sahaja kita menarik nafas." -Dr. Kam San Dhit

Sedar atau tidak, udara yang buruk ini mampu mendatangkan bahaya kepada diri kerana kita sebenarnya sedang menyedut campuran bahan perengsa bersaiz mikroskopik. Untuk yang belum tahu, hidung bukan sahaja bertujuan untuk bernafas dan kekal hidup tetapi hidung juga bertindak sebagai penapis udara utama tubuh. Dalam keadaan biasa, saluran hidup bantu memanaskan serta melembapkan udara yang disedut. Manakala lapisan mukus yang nipis berupa rambut yang juga dikenali sebagai silia pula membantu menangkap habuk dan mikroorganisma.

Tetapi tahukah anda jerebu memiliki bahan zarah yang halus khususnya PM2.5? Partikel berdiameter kurang dari 2.5 mikrometer ini jika dikira adalah 30 kali lebih kecil daripada diameter sehelai rambut manusia. Kerana saiznya yang sangat kecil, partikel ini amat mudah untuk melepasi bulu hidung anda. Kesannya untuk saluran hidung boleh menyebabkan hidung tersumbat, bengkak dan berair.

Manakala jika hendak bercakap tentang jauh ke dalam paru-paru, partikel PM2.5 ini boleh menyebabkan dada berasa ketat, langsung batuk dan menyebabkan kekejangan pada saluran pernafasan. Bukan itu sahaja, ia juga boleh memasuki ke aliran darah secara langsung dan mencetuskan keradangan sistematik pada seluruh tubuh. Jangan sesekali memandang rendah kepada isu jerebu ini.

Siapa golongan yang paling berisiko?

Semua orang yang terdedah kepada pencemaran udara ini berisiko untuk sakit namun ada golongan yang lebih berisiko tinggi perlu diberi perhatian dan elakkan berada di luar rumah dengan kerap. Mereka adalah:

1. Pesakit asma dan penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD)

    Partikel halus boleh bertindak sebagai pencetus langsung dan menyebabkan saluran pernafasan membengkak dan mengakibatkan serangan akut.

    2. Pesakit rinitis alergi atau masalah sinus

    Keradangan hidung yang sedia ada menyebabkan lapisan hidung menjadi lebih sensitif terhadap bahan perengsa dalam jerebu.

    3. Kanak-kanak kecil

    Paru-paru anak kecil masih berkembang dan mereka ini menyedut lebih banyak udara bagi setiap kilogram berat badan mereka berbanding orang dewasa.

    4. Warga emas

    Kapasiti paru-paru yang semakin berkurangan serta masalah kardiovaskular sedia ada menjadikan mereka lebih terdedah kepada tekanan kesihatan.

    5. Pekerja luar

    Mereka ini terdedah lebih lama di luar dan menyebabkan jumlah bahan pencemar yang terkumpul di dalam saluran pernafasan menjadi lebih tinggi daripada biasa.

    Apakah langkah terbaik buat masa sekarang ini dalam mengurangkan risiko sakit akibat pencemaran udara ini? Dr. Kam San Dhit menyarankan untuk menjaga hidung secara harian dengan cara semburan dan bilasan salina.

    "Berada di dalam bangunan sambil menggunakan pembersih udara merupakan pilihan yang ideal, tetapi mengelakkan pendedahan sepenuhnya tidak semestinya boleh dilakukan. Selain memakai pelitup respirator N95 yang sesuai ketika berada di luar dan memastikan tubuh kekal terhidrat, mengamalkan penjagaan kebersihan hidung setiap hari merupakan langkah mudah dan berkesan untuk menjaga lapisan hidung."

    Penggunaan semburan hidung atau larutan bilasan salina isotonik membantu membilas jelaga, abu dan mukus yang terperangkap secara fizikal, di samping mengembalikan kelembapan pada tisu hidung yang kering dan terengsa. Namun penjagaan kendiri ini ada batasnya dan harus dilakukan dalam keadaan yang selamat dan bersih bagi mengelakkan jangkitan bakteria yang lain. Jika rasa sakit berlanjutan serta rasa tidak selesa semakin menguasai tubuh badan anda, segeralah berkunjung ke klinik untuk mendapatkan rawatan profesional.

    Sumber: Alpro Clinic

    Gambar: pexels

    ADVERTISEMENT
    Baca Artikel Seterusnya
    Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
    LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
    Subscription Form
    magnifiercrosschevron-down