
Pentafsiran dunia mewah barang kemas sering diasosiasi dengan persona yang memiliki standard tertentu. Bagi jenama Cartier hal ini sudah menjadi sebahagian daripada cara mereka menyerlahkan setiap penciptaan. Hari ini, Tilda Swinton yang cukup dikenali dengan perseonaliti yang cukup tersendiri mencipta momen bersama Cartier pabila diumumkan sebagai duta baru jenama ini.
Magnetik, tersendiri dan sarat dengan daya ekspresi menjadikan figura seni yang telah meraih pelbagai apresiasi seni lakon ini menemukan keserasian semula jadi bersama dunia fauna berharga maison. Menjadi wakilan suara yang cukup ikonik, aktres ini menghidupkan filem pendek bersiri yang penuh pesona, diinspirasikan daripada fauna Cartier.
Setiap siri filem ini menyingkap kehalusan seni seorang artisan serta warisan ketukangan yang dipelihara merentasi generasi. Ini termasuklah aliran teknik penghasilan yang rumit sehinggalah penyatuan seni mozek yang menciptakan sesuatu yang lebih istimewa.

Menerusi naratif baru bersama Tilda Swinton yang penuh karakter sebuah kisah puitis terbentang perlahan membawa penonton menyelami alam yang lahir daripada pertemuan antara imaginasi, savoir-faire dan seni penciptaan. Ini menjadi sebuah dunia seni ketukangan bertukar menjadi fantasi.
Menandakan kempen pertamanya sebagai duta maison, Swinton turut diabadikan menerusi siri potret yang memancarkan keanggunan tersendiri, mengenakan pilihan rekaan fauna liar Cartier, disempurnakan bersama koleksi ikonik Maison. Dalam setiap bingkai, kemewahan Cartier menemukan bentuk ekspresi yang bebas, berani dan penuh karakter.
Tilda Swinton dalam kenyataan rasminya berkongsi keterujaan "Saya amat berbangga menjadi duta Cartier. Di sini, kami meraikan keindahan luar biasa penciptaan seni yang langka serta dedikasi para artisan yang menghidupkannya setiap barang kemas. Dedikasi kerja mereka telah mencipta sebuah dunia imaginatif yang sempurna untuk menonjolkan savoir-faire Cartier menerusi karya fauna liar berhias permata."

