
‘Konserto Terakhir’ karya Sasterawan Negara, Abdullah Hussain yang pertama kali saya baca ketika di sekolah menengah bagi subjek Komponen Sastera menjadi naskhah terawal mendekatkan diri dengan sastera tempatan. Abdullah Hussain dalam novel tersebut menggugah ilham realisme masyarakat di latar 80-an tentang cita-cita dan pengorbanan.
Itu menjadi titik pengenalan sebetulnya, sebelum karya-karya A. Samad Said, Usman Awang dan Shahnon Ahmad menyusul dalam susur waktu meniti kedewasaan. Sastera menjadi tunjang pemikiran dalam membudayakan keperibadian dan membentuk sebuah sudut pandang kebanyakan daripada generasi yang membesar di era tersebut. Kepentingan itu dikutip daripada pendidik terdahulu yang memandang ia penting sebagai wadah fikir.
Kesusateraan tempatan bernadi dengan kisah latar masyarakat dan waktu. Jika diamati novel ‘Salina’ tulisan A. Samad Said ia tajam kritikan sosial. Kemiskinan menjadi tunjang cerita yang membentuk konflik masyarakat ketika itu dan bahan fikirnya terletak pada situasi dan desakan hidup yang dibentuk lewat pengamatan dan kreativiti Sasterawan Negara ini dalam menulis ceteranya.
Peralihan dalam arus masa dan gaya hidup meminggirkan karya sastera daripada terus menjadi rujukan. Hari ini tidak ramai generasi muda mengenal siapa Arena Wati, Baha Zain atau Keris Mas kerana keterbukaan untuk menghargai karya-karya terdahulu ini tidak lagi dilihat sebagai kepentingan. Pengaruh showbiz dan teknologi menjauhkan kita dalam tidak sedar untuk terus menghargai dan kembali pada teras sastera sebagai pegangan.
Kumpulan puisi ‘Menghadap ke Pelabuhan’ karya Sasterawan Negara ke-13, Zurinah Hassan sudah diadaptasi lebih lima bahasa sejak ia diedarkan pertama kali pada tahun 2012. Namun sebetulnya berapa ramai sebenarnya daripada kita yang pernah membaca karya tersebut? Rencana untuk meninggikan kembali kesusasteraan Melayu buat generasi kini datang dengan cabaran yang sangat besar. Banyak persoalan yang akan dibangkitkan dalam usaha membentuk satu kesedaran. Yang menyedihkan, generasi hari ini tidak lagi peduli akan kepentingan sastera dalam membentuk pemikiran dan semangat nasionalisme.

Membudayakan Bahan Bacaan Tempatan
Tahun ini sebenarnya menjadi tahun besar sastera klasik barat diraikan. ‘Wuthering Height’, ‘Odyssey’, ‘One Hundred Years of Solitude’ dan ‘Sense & Sensibility’ karya klasik yang sudah diangkat ke layar lebar sebagai sebuah dedikasi pembikin filem global mengangkat karya sastera untuk terus bernadi dan berkesinambungan pada generasi baru.
Di TikTok, Instagram dan Substack pembaca fiksyen kembali mengangkat karya-karya Fyodor Dostoevsky, Homer, Franz Kafka dan Leo Tolstoy sebagai bahan bacaan utama. Penjualan ‘Crime and Punishment’ tulisan Dostoevsky meningkat dan cari sahaja di mana-mana medium media sosial, perbincangan hangat tentang betapa realisme tulisan Dostoevsky beradaptasi dengan situasi manusia hari ini begitu terkait. Ia menjadi topik pengisian, perbincangan dan bahan fikir pencipta-pencipta kandungan digital ini.
Situasi serupa sebetulnya yang perlu menjadi ikutan kita sebenarnya. Karya-karya sastera tempatan semakin terpinggir sekali pun usaha membudayakan itu ada. Pada tahun 2019, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membukukan kembali karya-karya Anwar Ridhwan, A. Samad Said, Shannon Ahmad dan Karya Kemala antaranya menerusi projek Edisi Malaysia Membaca.

Apa yang ditawarkan adalah satu pendekatan yang sangat moden. Kulit buku diberi sentuhan lebih minimalis dan ia dijual dengan harga mampu milik bagi mendekatkan pembaca muda dengan karya sastera klasik. Buku FIXI dengan inisiatif tersendiri melebarkan usaha ini dengan pengenalan pada edisi FIXI Retro dengan menerbitkan kembali karya yang kurang diraikan sebelum ini seperti ‘Mastura’, ‘Patah Sayap Terbang Jua’ dan ‘Sitora Harimau Jadian’ antaranya.
Meluaskan landskap sastera tempatan dengan pendekatan moden itu hal yang lebih mudah jika dilaksanakan individu berpengaruh dunia digital sebetulnya. Namun sayangnya, pempegaruh yang kita ada tidak berminat dengan kesusasteraan tempatan. Sedangkan kita memiliki sangat banyak karya sastera yang penulisannya sehebat karya-karya luar. Ini belum lagi jika mahu diulas idea besar Faisal Tehrani lewat novel-novelnya seperti ‘1515’ atau ‘Manikam Kalbu’.
Mungkin ini masanya dalam kita meraikan sambutan Hari Malaysia ke-63 ini untuk kita membuka kembali rasa dan keinginan mengenal dan mendekati ilmuwan yang membentuk lapangan kesusasteraan tempatan. Beriring satu visi untuk terus memartabatkan bahasa agar teras jiwa sentiasa berarah bangga dengan karya-karya tempatan.

