Ada satu ketertarikan yang kuat pada Gracie Abrams yang membuat orang selalu dekat dengannya. Baik lewat penghasilan muzik sehingga caranya membawa diri sebagai seorang public figure, banyak hal yang sungguh menyenangkan tentang persona ini. Menerusi muzik dia berevolusi dengan emosi dalam bait lirik yang cukup jujur mentafsir penceritaan. Melayani muziknya bagai melewati sebuah diari jiwa yang galau dalam sebuah seriosa yang mentafsirkan sisi rapuh yang cukup personal.
‘I’m Sorry, I Miss You’ menjadi pengenalan buat kita semua jatuh cinta dengan kelembutan suaranya. Sejak itu nama Gracie Abrams disebut-sebut sebagai pelapis bintang Pop yang memiliki masa depan yang cukup cerah. Kurang lebih lima tahun bermuzik nyata percaturan yang dia lakukan dalam mencuri perhatian pencinta irama Pop global cukup menjadi. Hal ini terbukti lewat kejayaan album ‘The Secret of Us’ yang beredar kira-kira dua tahun lalu.
‘Daughter From Hell’ menjadi pertaruhan terbaru yang menjadikan perjalanan bermuziknya semakin utuh. Single ‘Daughter From Hell’ dan ‘Hit the Wall’ meneruskan kelangsungan hit yang amat diperlukan untuk dia kekal relevan di radar Pop semasa. Bekerjasama dengan dua produser yang banyak membentuk muziknya iaitu Aaron Dessner dan Dan Nigro, landskap Pop yang datang dengan infusi Folk juga akustik menyatu dalam jiwa bermuzik Gracie yang tersendiri.
Keupayaan Gracie dalam membuktikan bakat yang dimiliki diterima terbuka tidak hanya dengan jumlah penstriman yang tinggi malah terbukti lewat pencalonan Grammy menerusi kategori Artis Baru Terbaik. Lebih manis dia turut membawa pulang trofi Artis Baru Terbaik di acara American Music Award tahun lalu. Hari ini, dengan jumlah pendengar lebih 36 juta di Spotify dan lebih 6 juta pengikut di Instagram, Gracie Abrams menjadi wakilan suara generasi kini yang mentafsir muzik Pop moden.
Ada pesona yang penuh daya tarik padanya. Setiap kali melihat kelibatnya baik di media sosial mahupun media massa, kita akan terikat tidak hanya pada kecantikan yang dia miliki namun aura yang penuh pesona. Atas alasan itu jugalah ketika Chanel Beauty memutuskan untuk memilihnya sebagai muse dalam penciptaan aroma terbaru jenama ini, Coco Mademoiselle ‘Crush Absolu’. Ia ibarat sebuah penyatuan yang sempurna mentafsir haruman dalam sebuah kelalang yang menjadi dambaan bersama seorang figura yang begitu disenangi.
Baju dan aksesori daripada CHANEL
Visi ini nyata seiring yang membentuk sebuah ikon baru dunia aroma yang mentafsir emosi sejak pertama kali diperkenalkan. Penciptaan terbaru yang dirungkai kembali oleh Oliver Polge ini merupakan interpretasi baru ilham awal Coco Mademoiselle yang begitu senang dengan sebuah eksplorasi cukup kontras yang menciptakan sesuatu yang lebih segar dan distingtif.
Bahan utamanya yang diadun daripada buah-buahan seperti laici dan anggur membuka aroma ‘Crush Absolu’ sebagai sebuah komposisi kuat sifat feminin sebelum melalui satu peralihan pada sesuatu yang berkarakter menerusi ilham woody dan amber menerusi bahan seperti mawar dan jasmin. Melengkap ia sebagai sebagai aroma yang cukup ikonik adalah komposisi hangat vanilla dan vetiver sebagai lapisan yang sempurna membentuk sifat ‘Crush Absolu’.
Penciptaannya bernadi sebagai sebuah dimensi yang beragam namun memiliki karakter kuat mentafsir idea sebenar frasa feminin. Kelalang dalam siluet geometri diinspirasikan daripada pemandangan atas Place Vendôme di Paris. Kaca botolnya bersegi membingkai cairan aroma dalam rona merah jambu yang cukup lembut. Dalam bahasa yang serupa ia membaluti aroma penuh kelembutan ‘Crush Absolu’ sebagai nuansa segar yang menjerat setiap yang menghidunya.
Dalam kelembutan yang mahu ditampilkan tercipta satu pertembungan yang menjadikan ia sebagai penegasan penciptaan. Label hitam berbalut rona keemasan yang menjadi ciri khas Gabrielle Chanel bernadi sebagai sebuah refleksi yang cukup kompleks namun ikonik. Apa yang terhasil adalah gabungan sesuatu yang elegan, berani dan bebas dalam berekspresi yang menjadi nilai dan semangat Chanel. Ini adalah bahasa paling halus dalam mengungkap sebuah pemikiran dan jiwa Gracie Abrams dalam temu bual istimewa ini.
Kemeja, baju dalam, tali pnggang, seluar jeans dan kasut, kesemuanya daripada CHANEL

ELLE: Wangian Chanel sering dikaitkan dengan identiti, warisan dan penceritaan daripada seorang figura yang cukup berkarakter. Bagaimana rasanya menjadi sebahagian daripada babak baru koleksi Coco Mademoiselle?
Gracie Abrams: Ia sebuah penghormatan yang cukup besar untuk saya. Melangkah ke dunia Coco menjadi satu pengalaman yang cukup membahagiakan kerana wangian ini memiliki sejarah yang cukup panjang sebagai sebuah penciptaan yang ikonik. Aromanya cukup memikat biar dalam satu semburan dan apa yang paling penting adalah ia menjadi cerminan Chanel sendiri. Bagi saya ia juga sebuah pentafsiran untuk saya menjadi lebih percaya diri atau untuk terus selesa dengan diri sendiri.
E: Bagi mereka yang baru ingin menelusuri ‘Crush Absolu’, boleh anda ceritakan pengalaman emosi anda saat pertama kali menghidu aromanya?
GA: Aroma daripada wangian ini memiliki begitu banyak sisi berbeza. Ia cukup lembut saat semburan pertama lantas menciptakan sesuatu yang saya tafsirkan sebagai sesuatu yang romantis. Namun ia berubah dengan lapisan yang lebih kontras bagi menciptakan sesuatu yang berkarakter. Apa yang terhasil adalah sesuatu yang begitu memikat dengan aliran yang mencipta sesuatu yang berani. Saat kali pertama menghidu aromanya saya pasti ia akan menjadi babak baru dalam kehidupan saya. Seperti sebuah penciptaan yang menyambut satu masa depan yang lebih meyakinkan.
E: Bagaimana ‘Crush Absolu’ mempengaruhi cara anda mengekspresikan diri baik sebagai seorang pemuzik mahupun dalam momen kecil yang lebih personal dalam kehidupan seharian?
GA: Apa yang saya perhatikan saat kala pertama memakai haruman ini adalah kepercayaan diri yang semakin tinggi. Aromanya menjadi rutin harian saya dalam membentuk personaliti diri. Hari ini tanpa putus ia menjadi item yang sentiasa saya bawa kemana-mana sahaja yang saya sematkan dalam tas tangan setiap hari.
Dress dan anting-anting daripada CHANEL
E: Di momen mana yang perjalanannya menjadi lebih bermakna sejak anda menjadi sebahagian daripada wanita ‘Crush Absolu’?
GA: Kolaborasi ini menjadi sesuatu yang cukup personal buat saya kerana sejak kecil saya sudah diperkenalkan dengan pesona ikonik haruman ini. Coco Mademoiselle telah menciptakan satu babak bermakna untuk setiap wanita. Ia menjadi sesuatu yang cukup saya kagumi dengan karakternya cukup kuat membentuk sebuah identiti. Saya menyenangi wanita yang seperti itu – memiliki karakter yang kuat, penuh rasa ingin tahu dengan jiwa seorang petualang yang berani.
Apa yang saya terapkan adalah semangatnya dalam menjalani kehidupan sebagai seorang wanita di dunia lebih moden. Kolaborasi ini sebuah kesempatan yang mewujudkan saya sebagai sebahagian wanita yang memiliki visi serta jiwa yang serupa. Menghidupkan hayat baru haruman ini bagai sebuah mimpi apa lagi dapat menjadi sebahagian daripada kempen terbaru Chanel yang akan saya banggakan sampai bila-bila.
Dress dan anting-anting daripada CHANEL
Bahasa Aroma
Sesuatu yang tidak dapat dinafikan adalah siluet Gracie Abrams begitu mengingatkan kita pada sosok legenda Gabrielle Chanel itu sendiri. Struktur wajah, kulit berseri, gaya rambut sehingga aura bagai menghidupkan kembali Gabrielle Chanel di era kini. Namun ia hanyalah pentafsir ansecara harfiah sedangkan Chanel sebagai sebuah jenama cukup dikenali dengan lapisan cerita yang cukup kompleks dalam penciptaan.
Ia sebuah tanda keberadaan, keberanian dan pencitraan yang cukup tersendiri. Sebagaimana Gracie menyusun bait-bait liriknya sebegitu jua Gabrielle Chanel menggugah ilham dalam sebuah kelalang haruman yang cukup berkarakter. Apa yang dibuka adalah sebuah jalan untuk Gracie sebagai generasi kini berlari dalam membebaskan auranya.
Blazae, kemeja, seluar dan kasut, kesemuanya daripada CHANEL
Biar wujud satu pertentangan jelas di antara memutlakkan kewanitaan dan keberanian – ia terhasil bersahaja kerana sifat dan adunannya sendiri sudah menggabungkan sesuatu yang cukup elegan namun berani. Ini adalah sebuah karakter baru, semangat baru yang digerakkan sebuah naluri yang bebas berekspresi. Semangat ini dipcipta semula dengan sempurna oleh Gracie Abrams.
Sifat semula jadinya menzahirkan semangat Chanel sama seperti apa yang diserlahkan Gabrielle Chanel satu ketika dulu. Didorong sebuah rasa yang ingin bebas tanpa keterikatan atau kepura-puraan maka lahir sebuah kehalusan dalam diri yang mengingatkan kita kepada keperibadian Gabrielle Chanel. Ia bukan sekadar soal siluet namun bergerak atas sikap dan pendirian. Gracie Abrams hadir di tempat yang tidak pernah dijangka namun sentiasa bergerak ke hadapan dalam mencipta arahnya yang tersendiri.

