Langgan

The Merdeka Edit: Mengenali Seni Batik

Bersama Batik Boutique.
2 minit untuk membaca
Published: September 3, 2026
Gambar ihsan Batik Boutique

Apa yang kita kenali sebagai batik sebenarnya lebih daripada sekadar seni rekaan. Di sebalik setiap motif terdapat proses yang panjang, kemahiran tangan dan ketelitian yang menjadikan setiap helaian unik. Bersama Tyraa dan Hanim daripada Batik Boutique, ELLE mengenali dengan lebih dekat seni dan proses di sebalik penghasilan batik, daripada proses pembuatannya hingga bagaimana ia terus berevolusi dalam dunia fesyen kontemporari.

Apakah yang mendorong anda untuk menghasilkan batik sehingga kini?

T: Saya telah lama mendalami bidang tekstil, khususnya reka bentuk tekstil dengan pengkhususan dalam batik ketika belajar di UiTM. Bagi saya, penting untuk kita memelihara warisan yang kita ada di Malaysia. Itu yang mendorong saya untuk terus menghasilkan dan memperkenalkan batik kepada lebih ramai orang.

Jenis-jenis batik di Malaysia?

H: Secara umumnya, terdapat tiga teknik utama batik di Malaysia. Pertama ialah batik canting atau batik lukis, kedua batik blok, dan ketiga batik skrin.

Terangkan proses menghasilkan batik.

T: Proses menghasilkan batik bermula dengan melakar rekaan yang ingin dihasilkan. Selepas itu, barulah kita mulakan proses mencanting, blok atau menggunakan teknik batik skrin, sebelum masuk ke proses mewarna. Bagi saya, mencanting merupakan bahagian yang paling mencabar kerana ia memerlukan fokus yang tinggi, terutama ketika mengendalikan lilin. Mewarna pula ialah bahagian yang paling menyeronokkan kerana kita boleh bermain dengan pelbagai warna.

Selepas proses mewarna, kita akan melalui proses silikat untuk mematikan warna supaya ia tidak mudah luntur. Kemudian, lilin akan direbus atau dicuci keluar daripada fabrik untuk menampakkan corak yang telah dihasilkan. Di Batik Boutique, fabrik akan dibasuh dua hingga tiga kali terlebih dahulu bagi memastikan ia benar-benar kecut sebelum dijadikan pakaian atau produk. Langkah ini penting untuk memastikan saiz dan bentuk produk kekal konsisten selepas dicuci.

Cara mengimbangi motif tradisional dengan cita rasa moden?

T: Itulah yang cuba kami lakukan di Batik Boutique. Semua rekaan batik kami dihasilkan secara in-house dan mempunyai identiti tersendiri. Kami mahu batik menjadi sesuatu yang boleh dipakai oleh semua orang, bukan hanya untuk majlis tertentu tetapi juga dalam kehidupan seharian. Kami cuba menghasilkan rekaan batik yang lebih moden supaya ia boleh digayakan dalam pelbagai suasana, mengikut slogan kami “Batik Anytime, Batik Anywhere.”

Nasib batik kita jika tidak dipelihara generasi kini?

H: Jika generasi muda tidak meneruskan seni ini, lama-kelamaan batik boleh semakin tenggelam dan akhirnya pupus. Siapa lagi yang akan meneruskan warisan ini kalau bukan generasi muda? Bagi saya, batik sebenarnya sesuatu yang menyeronokkan untuk dipelajari dan diterokai. Sebab itu saya juga mahu berkongsi ilmu ini.

Bagi yang ingin mengenali dan mencuba sendiri seni batik, Batik Boutique turut menawarkan workshop yang memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari asas menghasilkan batik, daripada proses mencanting hingga mewarna. Lebih menarik, hasil karya yang dihasilkan boleh dibawa pulang sebagai kenangan. Layari laman web Batik Boutique untuk maklumat lanjut mengenai workshop yang ditawarkan.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down