
Secara tradisinya, seni corak batik Malaysia banyak berakar daripada inspirasi flora dan fauna, khususnya keindahan alam semula jadi yang mewarnai Kepulauan Melayu. Namun seiring peredaran zaman, batik tempatan kini berevolusi dengan sentuhan moden yang lebih dekat dengan cita rasa generasi masa kini melalui koleksi ready-to-wear (RTW). Pendekatan segar inilah yang menjadi identiti Kapten Batik, jenama tempatan yang diasaskan oleh Ekram Faiz dan Farhan Omar.
Untuk koleksi ORKES yang terbaru ini, Kapten Batik meneroka inspirasi baharu yang dekat dengan kehidupan seharian, yakni muzik. Jika muzik lazimnya dinikmati melalui deria pendengaran, koleksi ini mentransformasikannya menjadi bahasa visual yang boleh ‘dirasai’ melalui mata, dihidupkan dalam bentuk corak dan warna di atas helaian batik.


Motif-motifnya diinspirasikan daripada instrumen moden seperti saksofon, gitar elektrik dan synthesiser, serta instrumen tradisional termasuk gong, sape, gambus, serunai, seruling dan elemen terpilih daripada set gamelan. Setiap rekaan membawa identiti tersendiri dalam siri signature Kapten Batik, termasuk Masterpiece yang dihasilkan menggunakan teknik lilin tembaga, Maharaja dengan sentuhan ukiran kayu, serta Nusantara yang meraikan kebebasan rekaan tanpa batasan. Koleksi ini turut dilengkapkan dengan rangkaian linen khas dan set Kurung Kedah baharu. Siluetnya ditawarkan dalam pelbagai potongan termasuk Modern Fit dan Slim Fit, bersama pilihan lengan pendek yang lebih versatil.
Lebih istimewa, koleksi ini turut diperakui oleh OEKO-TEX®, pensijilan tekstil bertaraf global yang menjamin keselamatan kesihatan, pengeluaran yang bertanggungjawab serta ketelusan rantaian bekalan untuk pengguna.

Untuk kempen koleksi ORKES pula, Kapten Batik menyatukan dua dunia kesenian, batik dan muzik dalam satu naratif visual yang harmoni. Barisan pemuzik moden dan klasik daripada Agal Musik disatukan untuk menghidupkan koleksi ini sambil mempersembahkan karya berinspirasikan funk Nusantara berjudul Suzanne, Gemerlapan, Awan, serta reinterpretasi baharu Dendang Perantau.
Terokai koleksi ORKES di butik Kapten Batik atau di kaptenbatik.com.my

