
Bakatnya semakin diraikan di persada perfileman seberang. Aktor prolifik tempatan iaitu Bront Palarae meneruskan sebuah kelangsungan berkarier yang awal diciptakan lewat kemunculan di filem "Pengabdi Setan" bersama pengarah Joko Anwar. Setelah itu Bront melakar perjalanan dan meluaskan bakat lakonannya dalam beberapa filem lain seperti Gundala dan yang terbaru tahun ini, "Ghost in the Cell".
Perkhabaran terkini dikongsi Bront lewat posting di Instagram akan penglibatannya menerusi filem pengerah legenda Indonesia iaitu Garin Nugroho. Filem yang diberi judul "Merah Sebelum Senja" ini menjadi lebi menarik pabila menyaksikan Bront bersama aktor terkemuka seberang, Nicholas Saputra yang mengemudi watak utama filem ini.
Membawa kisah kepada gambaran setelah kemerdekaan Indonesia lewat kisah lima perwatakan dengan latar berbeza dalam melunaskan satu tanggungjawab iaitu menyampaikan dokumen penting. Dalam perjalanan ini, konflik dan tekanan menjadikan plot yang disusun Garin menjadi lebih kompleks dan penuh persoalan.

Selain Bront Palarae dan Nicholas Saputra filem ini turut menampilkan beberapa lagi pelakon yang sudah menerima pengiktirafan tertinggi perfileman Indonesia antaranya ialah Laura Basuki yang membawakan watak Kamila. Turut berlakon bersama Tissa Biani dan Nagra Pakusadewo.
Perkhabaran terkini, filem "Merah Sebelum Senja" dikhabarkan memasuki pertandingan di acara Tokyo Film Festival yang terpilih daripada lebih seribu filem yang mendaftar daripada 30 buah negara. World premier filem ini bakal ditayangkan di Tokyo International Film Festival berlangsung pada 26 Oktober hingga 4 November 2026 ini.
Garin Nugroho menyatakan rasa bangganya filem ini dapat sama bersaing di TIFF 2026. Dalam pernyataan media dia menyebut bahawa ada kisah menarik pasca kemerdekaan yang jarang dikulik oleh pembikin filem Indonesia. "Saya tertarik kembali ke tahun-tahun awal kemerdekaan kerana masih banyak pengalaman manusia ketika itu yang belum hadir di layar," ujarnya.
Menerusi karya filem ini, Garin ingin menggambarkan kembali kejadian awal kemerdekaan menerusi satu pengalaman cukup peribadi daripada para setiap peranan yang dicipta untuk dipertontonkan bersama penonton. Ini merupakan kali kedua Garin mengarahkan Nicholas Saputra yang sebelum ini sama-sama terlibat dalam penikinan filem "Siapa Dia".

