
Rangka mentafsir naskhah sastera ke skrin tahun ini berterusan dengan perkhabaran sebuah lagi novel klasik karya Sylvia Plath berjudul 'The Bell Jar' yang akan mula memasuki set penggambaran tidak lama lagi. Pemenang Oscar iaitu Sarah Polley yang dikenali menerusi filem Women Talking dan siri Alias Grace bakal mengemudi projek filem cereka ini.
Bakal menampilkan Billie Eilish sebagai pemeran utama, skrip filem ini turut diadaptasi daripada novel ikonik ini juga akan ditulis sepenuhnya oleh Sarah Polley.
The Bell Jar merupakan satu-satunya novel nukilan Sylvia Plath. Diterbitkan pertama kali pada tahun 1963, karya semi-autobiografi ini menyelami perjalanan watak Esther Greenwood, seorang wanita muda yang perlahan-lahan mengalami tekanan mental ketika cuba memenuhi harapan dan tuntutan masyarakat yang semakin membuntukannya.

Lebih daripada sekadar sebuah karya fiksyen, The Bell Jar sering dianggap sebagai cerminan paling dekat dengan kehidupan Plath sendiri. Ia tentang perjuangannya berdepan depresi dan kemurungan sebagai wanita. Ironinya, hanya sebulan selepas novel ini diterbitkan di United Kingdom, Plath dilaporkan meninggal dunia akibat bunuh diri, sekali gus menjadikan naskhah ini antara karya sastera paling membekas dalam sejarah moden.
Di Amerika Syarikat, The Bell Jar mencetuskan fenomena sebagai buku terlaris sebaik sahaja diterbitkan dan telah diterjemah lebih 40 bahasa. Menerusi adaptasi filem ini, Billie Eilish bakal menghidupkan watak Esther Greenwood, figura yang menjadi nadi kepada kisah kehilangan, pencarian identiti dan kerapuhan jiwa yang masih kekal relevan hingga ke hari ini.

