Meraikan sebuah legasi berpanjangan seni dan warisan, Cartier membawakan acara Melbourne Winter Masterpieces® 2026 yang berlangsung di Victoria & Albert Museum. Pameran yang menampilkan hampir 400 barang kemas, jam tangan dan objek berharga yang luar biasa ini membawa pengunjung akan ceritera sejarah dan warisan jenama ini turut menampilkan lukisan asal, lakaran dan bahan fotografi yang menjadi sebahagian sejarah.
Lebih menarik lagi, sebanyak hampir 300 karya yang tidak pernah dipamerkan sebelum ini turut menjadi tarikan utama di acara yang berlangsung 12 Jun lalu. Setiap pengunjung dibawa meneroka ketelitian penciptaan dan reka bentuk yang menjadi identiti Cartier sebagai jenama penuh prestij.
Menjadikan pameran ini cukup istimewa adalah kerana ia turut menampilkan aksesori mewah Cartier yang dimiliki dan pernah digayakan oleh ikon ternama. Antaranya ialah Elizabeth Taylor, Grace Kelly, Rihanna, Andy Warhol, Princess Margaret, The Duchess of Windsor, Dame Nellie Melba, Maharaja of Patiala dan Begum Aga Khan III.
Pameran ini juga turut menampilkan kalung yang dihadiahkan kepada Elizabeth Taylor oleh penerbit filem Mike Todd pada tahun 1951. Barang kemas milik Grace Kelly selepas perkahwinannya bersama Rainier III, Prince of Monaco serta karya-karya penting Cartier yang mempunyai kaitan dengan Dame Nellie Melba, Princess Margaret, The Duchess of Windsor, Daisy Fellowes dan María Félix turut menjadi teraju pada pameran ini.
Pilihan karya ikonik Tutti Frutti Cartier berwarna-warni turut dipamerkan, termasuk kalung yang diinspirasikan dari budaya India yang ditempah oleh sosialit Paris, Daisy Fellowes, pada tahun 1936. Selain itu, pengunjung juga berpeluang melihat koleksi jam tangan luar biasa, Mystery Clocks yang terkenal, ciptaan berhiaskan opal serta karya-karya bersejarah daripada Koleksi Cartier.
Ilham reka bentuk pameran ini dihasilkan dengan kerjasama National Gallery of Victoria (NGV), Studio Sabine Marcelis dan CLOUD. Inspirasi utamanya adalah warna, cahaya dan material yang menjadi elemen penting penciptaan barang kemas Cartier.

