Langgan

KL Festival Malaysia Menghidupkan Kembali Kuala Lumpur

Titik temu kreativiti, komuniti dan budaya!
3 minit untuk membaca
Published: April 21, 2026

Denyut nadi kreativiti Kuala Lumpur yang bersejarah kembali digamatkan dengan lebih bererti. Bermula 6 hingga 31 Mei 2026, KL Festival Malaysia menghidupkan semula pusat bandar dengan transformasi besar-besaran. Merentasi bangunan warisan, jalanan dan ruang awam. Segalanya menjadikan kota ini sebuah kanvas hidup yang meraikan seni, budaya dan pengalaman sivik yang inklusif. Cukup terangkum dan sebahagian besarnya percuma untuk semua.

Sebagai platform kebudayaan utama ibu kota, KL Festival mengajak warga kota untuk melihat semula Kuala Lumpur sebagai latar harian dan ruang naratif yang sentiasa boleh berubah. Segalanya penuh lapisan sejarah, suara komuniti dan imaginasi masa depan yang belum selesai ditulis.

Selama 26 hari, festival ini berlangsung di 25 lokasi terpilih dengan lebih 80 acara yang menjangkau hingga 700 jam pengisian. Dengan sekitar 90 peratus program ditawarkan secara percuma dan terbuka kepada umum, festival ini memperluaskan akses kepada seni, sambil memperkukuh budaya penyertaan bandar yang lebih aktif dan demokratik.

Dianjurkan oleh Think City dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dengan sokongan Kementerian Kewangan serta Jabatan Wilayah Persekutuan (Jabatan Perdana Menteri), KL Festival turut bernaung di bawah inisiatif Tahun Melawat Malaysia, Warisan KL serta pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Bandar Kreatif Reka Bentuk UNESCO. Lebih daripada sebuah festival, ia adalah usaha strategik menghidupkan semula pusat bandar melalui budaya sebagai pemangkin ekonomi, sosial dan identiti sivik.

Edisi 2026 berteraskan tema “Ingatan & Masa Depan (Memory & Tomorrow)” sebuah refleksi tentang bagaimana memori kolektif membentuk imaginasi masa depan. Dari warisan tradisi yang terus hidup hingga suara generasi baharu yang lebih eksperimental, KL Festival menjambatani pelbagai lapisan masa dan perspektif melalui program yang merentasi teater, tarian, muzik, pemasangan seni, wayang pacak dan pengalaman imersif yang tersebar di seluruh kota.

Antara sorotan utama termasuk tayangan perdana karya Malaysia dan Asia yang dibawa ke pentas tempatan buat julung kalinya. Sekali gus mengukuhkan Kuala Lumpur sebagai hab dialog seni serantau. Antaranya Fragments of Tuah oleh Mark Teh & Faiq Syazwan Kuhiri (ASWARA), Pending oleh January Low (Chan She Shu Yuen), Origin of a Tale oleh Collectif Kahraba (Lubnan di Rumah Tangsi), Chapter 2 oleh Pichet Klunchun (Thailand di ASWARA), serta Lessons of Silence oleh Agnes Christina (Indonesia di Godown Arts Centre).

Di samping itu, KL Festival turut menghidangkan program yang lebih dekat dengan komuniti dan keluarga:

  • Siapa Cacat? – teater oleh produksi OKU (GMBB)
  • Jogeton – joget lambak dan pertandingan tarian (Dataran Merdeka)
  • Irama Pusaka – tiga malam perayaan muzik warisan Malaysia bersama orkestra dan ensembel tradisional (Auditorium Bandaraya)
  • Warung Terang – transformasi ruang jalan melalui cahaya dan penceritaan oleh Filamen
  • The Wayang Women – kebangkitan semula wayang kulit melalui perspektif wanita
  • Tayangan filem hujung minggu bersama FINAS
  • Artskap ASWARA – bengkel, studio terbuka dan persembahan
  • Seni pemasangan awam bersama KL Architecture Festival Competition
  • Berkelah di Bawah Layar – pengalaman wayang pacak di bawah langit malam
  • Planet KL – eksplorasi ekologi bandar bersama River of Life
  • The Making of Merdeka Textile Museum – perjalanan kreatif di Stadium Merdeka Foyer

Menurut Dato’ Hamdan Abdul Majeed, Pengarah Urusan Think City, KL Festival membuktikan bahawa budaya bukan sekadar hiasan bandar. Ia nadi yang menghidupkan ruang awam dan menghubungkan manusia dengan kota. “Bandar yang hidup bukan hanya dibina melalui struktur fizikalnya, tetapi melalui bagaimana masyarakatnya mengisi dan berkongsi ruang tersebut,” jelas beliau.

Sementara itu, Pengarah Seni KL Festival, June Tan, menegaskan bahawa festival ini adalah jemputan untuk melihat Kuala Lumpur dengan lebih teliti. Terbuka untuk membaca semula cerita yang tersembunyi di celah jalan, bangunan dan komuniti. “Dengan tema Ingatan & Masa Depan, kami mengangkat artis yang membawa sejarah bersama mereka, sambil membayangkan masa depan yang ingin kita bina bersama,” katanya.

Sejarah Penganjuran

Edisi pertama pada tahun 2024 telah menarik lebih 140,000 pengunjung, mengaktifkan 26 lokasi dan menjana lebih 800 peluang pekerjaan kreatif membuktikan bahawa budaya bukan sahaja memperkaya jiwa kota, tetapi juga menggerakkan ekonominya.

Dengan gabungan warisan, eksperimen dan keterangkuman, KL Festival 2026 bukan sekadar acara seni. Ia adalah perayaan kota di mana masa lalu. Masa kini dan masa depan bertemu di jalanan Kuala Lumpur, untuk diceritakan semula oleh semua. Lawati KL Festival MY untuk info lengkap.

ADVERTISEMENT
Baca Artikel Seterusnya
ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down