Langgan

Realiti Algoritma: Siapakah Yang Mendominasi Minggu Fesyen Kini?

Siapakah yang benar-benar mendominasi sorotan di Minggu Fesyen kini? Busana yang diperagakan di atas pentas peragaan atau barisan selebriti di barisan hadapan?
5 minit untuk membaca
Published: March 31, 2026

Minggu Fesyen kembali, membawa bersama limpahan kandungan yang tidak dapat dielakkan di media sosial.

Model pertama melangkahkan kaki, membuka tirai pentas peragaan dengan koleksi terbaru. Setiap mata terpaku meneliti busana yang digayakan, daripada hujung rambut hingga ke hujung kaki. Ada yang merakam menggunakan telefon pintar, menyesuaikan pergerakan tangan dengan langkah model sambil meneliti setiap perincian halus. Semuanya berlaku dalam durasi beberapa minit sahaja. Jauh berbeza dengan proses penyediaannya yang boleh memakan masa berbulan-bulan untuk disempurnakan sepenuhnya.

Pertunjukan fesyen telah berubah, berkembang selari dengan dunia yang semakin pantas dan terhubung secara digital. Perjalanan pertunjukan fesyen sememangnya mengagumkan. Daripada salon Paris yang eksklusif untuk klien elit sehinggalah menjadi pertunjukan global yang boleh diakses sesiapa sahaja melalui livestream. Evolusinya bukan sekadar mencerminkan transformasi dalam industri tetapi juga menggambarkan perubahan budaya, evolusi media serta kuasa selebriti dan pengaruh digital, kesemuanya kini membentuk definisi baharu dunia fesyen.

Evolusi Pentas Peragaan

Pada penghujung abad ke-18, Charles Frederick Worth, juga digelar sebagai ‘Father of Haute Couture’ dianggap membuka jalan bagi pertunjukan fesyen intim bersama klien yang terdiri daripada golongan aristokrat dan bangsawan. Charles juga merupakan pereka pertama yang menggantikan mannequins dengan model hidup, membolehkan penonton melihat busana digayakan secara realistik. Pertunjukan kecil itu sekali gus menjadikan atelier sebagai pusat pertemuan sosial golongan elit. 

Persembahan fesyen di Paris menjadi semakin terbuka dan dramatik. Pereka mula memperagakan koleksi di acara sosial, salon dan juga di litar lumba kuda menjelang awal abad ke-19. Format rasmi ‘Fashion Week’ bermula pada tahun 1943 di New York. Publisis fesyen terkenal, Eleanor Lambert melancarkan ‘Press Week’ ketika Perang Dunia Kedua, apabila editor dan pembeli Amerika tidak dapat ke Paris untuk mendapatkan inspirasi fesyen akibat pendudukan Jerman. Walaupun pada awalnya kelihatan sebagai satu kekangan, situasi ini sebenarnya menjadi penggerak kepada kelahiran fesyen Amerika moden seperti yang kita kenali hari ini.

Selepas itu, kalendar fesyen global mulai terstruktur kepada empat kota utama dikenali sebagai ‘Big Four’, yakni Paris Fashion Week, Milan Fashion Week, London Fashion Week dan New York Fashion Week. Pada waktu itu, media sudah mendominasi ruang pertunjukkan manakala personaliti ‘supermodel’ melonjak ke tahap kemasyuran yang setara dengan bintang filem. Kulit hadapan British Vogue menampilkan Cindy Crawford, Christy Turlington, Linda Evangelista, Naomi Campbell dan Tatjana Patitz. Mereka ini diaggap sebagai ‘Original Supermodels’, membawa aura glamor yang menghangatkan pentas peragaan dan mengubah pertunjukan fesyen menjadi fenomena budaya.

Perubahan paling ketara berlaku apabila era digital mula menggugat struktur tradisional. Alexander McQueen ‘Plato’s Atlantis’ Musim Bunga/Panas 2010 menandakan pertunjukan pertama yang disiarkan secara livestream. Ia menjadi detik penting yang membuka akses global kepada pertunjukan fesyen walaupun hanya melalui skrin. Tahun yang sama menyaksikan kemunculan blogger fesyen dan pempengaruh di kerusi barisan hadapan, menyiarkan detik-detik eksklusif di pentas fesyen kepada jutaan pengikut dengan lebih pantas. Walaupun ia kini boleh diakses oleh pengikut antarabangsa secara digital, secara fizikalnya ia masih dikekalkan sebagai acara yang eksklusif. Dihadiri oleh editor, pembeli fesyen, pempengaruh, penata gaya, selebriti dan rakan pereka yang dijemput.

Kemudian, pandemik COVID-19 pada tahun 2020 memberi impak besar kepada dunia fesyen, memaksa industri beradaptasi dengan cara yang baharu. Rumah fesyen seperti Balenciaga, Gucci dan Dior beralih sepenuhnya ke format digital seperti livestream, filem fesyen dan persembahan maya kerana sekatan perjalanan dan larangan perhimpunan. Dengan pertunjukan fizikal yang terpaksa dibatalkan, barisan hadapan tradisional menjadi kurang relevan. Fokus mula beralih kepada interaksi digital, mempercepatkan peranan pempengaruh dan pencipta kandungan dalam fesyen. Platform seperti Instagram, TikTok dan YouTube menjadi medium utama untuk melihat informasi dan koleksi baharu.

Pada tahun 2023 dan tahun 2024, perlambatan ekonomi global memberi kesan besar terhadap jenama fesyen mewah. Inflasi dan dasar monetari serta perubahan struktur ekonomi dan tingkah laku pengguna (selepas pandemik) mendorong jenama mewah menilai semula kedudukan mereka. Permintaan untuk barangan mewah menjadi lebih selektif, memaksa eksekutif mempertimbangkan semula apa yang boleh dijual dan bagaimana cara menjualnya. Pada masa yang sama, kita juga menyaksikan permainan kerusi muzik di antara pengarah kreatif di kebanyakkan rumah fesyen besar. Ia turut mencerminkan gabungan strategi komersial dan pembaharuan kreatif.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jenama mewah mula menyedari kuasa selebriti Asia, didorong oleh komuniti peminat yang tersusun dan meluas di seluruh dunia. Fenomena ini diperkukuh oleh gelombang Hallyu, drama Thailand dan drama China yang menembusi pasaran global. Setiap langkah mereka di minggu fesyen, daripada gaya di lapangan terbang, rakaman paparazi sebelum pertunjukan, hingga klip dan gambar eksklusif di kota fesyen akan terus menerus membanjiri media sosial. Ia bukan sekadar mendapat jumlah tontonan yang tinggi, malah interaksi yang cukup luar biasa, dengan likes, komen dan perkongsian mencanak dengan serta merta. Kemunculan mereka di sesebuah acara akan menjadi perbualan global dan trending di seluruh platform. Pengaruh mereka melebihi ramai selebriti Hollywood.

Selebriti Asia turut dilantik sebagai duta global, bukan lagi sekadar duta serantau atau friends of the brand. Antaranya termasuk Jennie untuk Chanel, Jisoo untuk Dior, Yuqi untuk Tory Burch, Freen Sarocha untuk Maison Valentino, Milk Pansa untuk Saint Laurent and the list goes on… Kehadiran mereka di minggu fesyen memperkukuh jenama pada skala global, secara langsung menyokong prestasi komersial di pasaran Asia termasuk di China, Korea, Jepun dan Thailand. Malah, sebahagian daripada bintang Asia ini turut berjalan di pentas peragaan, seperti Jennie untuk Jacquemus, Felix untuk Louis Vuitton dan S.Coups untuk Hugo Boss.

Asia kini muncul sebagai kuasa utama dalam pasaran mewah global, di mana pendedahan digital terus menjadi penentu utama prestasi komersial. Dalam landskap ekonomi yang perlahan dan pengguna yang semakin kritikal, jenama bukan sahaja menilai semula strategi untuk kekal relevan, tetapi kini mengukur kejayaan mereka melalui perhatian, penglibatan dan interaksi digital yang mampu mencetuskan perbualan global.

Masa Depan Yang Ditentukan Perhatian

Pertunjukan fesyen hari ini bukan sekadar tentang busana atau barisan hadapan semata-mata. Ia merupakan interaksi kompleks antara kreativiti pereka, pengaruh selebriti, algoritma media dan perhatian global. Jelas, dunia fesyen telah berevolusi selari dengan dunia yang semakin pantas, berhubung secara digital, mencipta pengalaman yang bukan sahaja visual tetapi juga secara sosial dan komersial.

Namun, persoalan tetap wujud. Adakah kuasa selebriti dan interaksi digital akan mengekang kreativiti pereka atau sebaliknya membuka jalan kepada inovasi yang lebih berani? Adakah jenama semakin bergantung kepada fandom sehingga busana berisiko menjadi sekadar latar visual? 

Kita melihat jurugambar dan media mengerumuni ketibaan selebriti, sementara helaian awal di atas pentas peragaan kurang mendapat perhatian dalam dunia digital. Ruang komen lebih rancak membincangkan siapa yang duduk di barisan hadapan dan apa yang dipakai oleh mereka, berbanding perbincangan mengenai potongan, fabrik atau konsep koleksi yang dipersembahkan.

Sama ada kita menilai fesyen daripada sudut reka bentuk koleksi itu sendiri atau barisan hadapannya, ekosistem fesyen akan terus menyesuaikan diri dengan peredaran zaman. Mungkin soalan sebenar bukan lagi terhadap selebriti yang hadir, tetapi siapa yang mengawal perhatiannya. Dan dalam permainan perhatian itulah masa depan pertunjukan fesyen sedang ditentukan.

Saya teruja untuk melihat ke mana evolusi dunia fesyen akan membawa kita seterusnya, dan bagaimana kreativiti serta teknologi yang semakin pesat akan terus bersatu membentuk dunia baru fesyen.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down