Nama ‘Pelikat’ sering dikaitkan dengan Palaiyakat atau Palayakadu, nama yang secara sejarahnya mempunyai hubungan dengan Pulicat di Tamil Nadu, India, sebuah kawasan yang terkenal sebagai pusat perdagangan tekstil. Melalui perdagangan dan pertukaran budaya, tekstil ini menemukan tempatnya dalam tradisi pakaian masyarakat Melayu dan berkembang menjadi kain pelikat yang kita kenali hari ini.
Namun, motif kotak ini bukanlah milik budaya orang Melayu semata-mata. Di serata dunia, ia hadir dalam pelbagai siluet, teknik dan nama. Di Scotland, ia dikenali sebagai tartan yang mencerminkan sejarah dan identiti budaya negara tersebut. Di India pula, Madras Checks tampil dengan motif petak serta kombinasi warna yang terang dan berani. Sementara itu, di Britain dan Amerika Syarikat, plaid berkembang melalui gaya Ivy League dan kemudiannya meresap ke dalam pelbagai subbudaya fesyen.
Daripada latar budaya dan tradisi yang berbeza, lahir satu bahasa visual yang dikongsi bersama. Kini, motif ini terus berkembang dalam landskap fesyen moden, mengukuhkan kedudukannya di pentas peragaan musim Luruh/Dingin 2026 sebagai salah satu trend yang hangat. Louis Vuitton tampil berani dengan set padanan plaid berskala besar, diperkaya perincian kotak geometri yang hadir sebagai aksen dekoratif. Chanel pula bermain dengan pertembungan motif, menyusun pelbagai corak plaid dalam padanan yang elegan dan sofistikated. Sementara itu, Chloé menghidupkan motif ini melalui gaun berpotongan kembang, dilengkapkan dengan perincian ropol yang memberikan sentuhan feminin dan romantik.
Fenomena ini bukan hanya berlaku di pentas fesyen antarabangsa. Di Malaysia, kain pelikat atau motif kotak turut menemui momentumnya sendiri. Jika dahulu usaha memodenkan kain pelikat lebih ketara melalui inovasi pada pakaian lelaki, seperti seluar longgar yang diperbuat daripada kain pelikat, kini penggunaannya semakin meluas. Kain ini diterjemahkan ke dalam skirt, set padanan, skaf, beg dan pelbagai bentuk busana kontemporari. Dan yang lebih menarik, kini ia turut digayakan oleh wanita.
Adakah perkembangan ini dipengaruhi populariti plaid dan tartan di pentas fesyen global? Mungkin. Namun, apa yang lebih penting adalah bagaimana generasi hari ini mula melihat semula kain pelikat sebagai tekstil yang mempunyai potensi, bukan sekadar kain yang disarungkan untuk ke surau.
Perubahan ini jelas kelihatan di pentas Kuala Lumpur Fashion Week 2026, apabila motif kotak dan kain pelikat muncul dalam beberapa koleksi tempatan melalui interpretasi yang berbeza. Uzair Shoid menjadikan kain pelikat sebagai salah satu fabrik utama dalam koleksi Bayu, digabungkan bersama renda, songket dan manik kayu. MSYD pula bereksperimen dengan pelbagai variasi corak kotak, termasuk gingham, tattersall dan tartan dalam keseluruhan koleksinya. Plaza menggunakan kain pelikat sebagai lapisan dalam untuk jaket labuh yang dipadankan bersama blaus dan seluar renda.
Jenama tempatan juga tidak ketinggalan untuk meneroka potensi motif ini. Nelissa Hilman x Henne Made mengetengahkan interpretasi pelikat yang lebih dekat dengan gaya hidup moden menerusi helaian kontemporari daripada fabrik deadstock. Hanya pula mengangkat motif kotak menerusi padanan corak plaid menerusi siluet lembut dan feminin, manakala Hari menampilkan beg Nuk dalam edisi plaid serta pilihan skaf bermotifkan kotak. Saoi turut meneruskan eksplorasi ini dalam koleksi terbaharunya, ‘Palm Springs’ yang menampilkan motif plaid dalam pilihan jaket trench, kardigan dan blaus.
Daripada helaian sarung yang menjadi sebahagian daripada budaya Melayu, pelikat kini merentas zaman, menemukan nafas baharu di mata generasi muda. Eksplorasi ini bukan sekadar mengangkat kembali tekstil warisan, tetapi memberi ruang untuk helaian bercorak kotak ini terus berakar bersama budaya kita sambil memberi kebebasan dan ruang untuk ia terus berevolusi, tanpa melupakan asal-usulnya.

