Langgan

Istimewa Hari Wanita Sedunia: Eksklusif ELLE Bersama Shermaine Wong

Mempercayai bahawa kejayaan sebenar terletak pada keseimbangan kerjaya dan keluarga
3 minit untuk membaca
Published: March 7, 2026

Shermaine Wong ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Cult Creative Asia, sebuah platform creator-first dari Malaysia yang menghubungkan jenama dengan rangkaian pencipta kandungan yang dinamik. Dia memimpin dengan keberanian serta berusaha memperkasakan komuniti pencipta dalam industri digital. Selain sebagai usahawan, Shermaine juga seorang ibu dan isteri yang menitikberatkan keseimbangan antara kerjaya dan keluarga. Baginya, kejayaan bukan lagi sekadar pencapaian material tetapi merangkumi kesihatan, kebahagiaan dan masa berkualiti bersama insan tersayang.

Gambar: Aaron Lee / Lensworks Production

Bagaimanakah rutin harian anda dari pagi hingga malam?

Saya memulakan hari seawal jam enam pagi dengan rutin yang teratur seperti minum air suam dan melakukan senaman ringan untuk mengawal stress. Saya juga mengelakkan daripada penggunaan telefon pada awal pagi supaya dapat memberi fokus kepada diri sendiri dan keluarga. Selepas menghantar anak ke sekolah, saya memulakan kerja dengan memberi tumpuan kepada tugasan kreatif sebelum menghadiri mesyuarat.

Sebagai ibu dan pengasas syarikat, saya menetapkan sempadan yang jelas antara kerja dan keluarga. Selepas jam 6 petang, saya tidak lagi membawa kerja pulang dan memberi sepenuh perhatian kepada keluarga dan saya memilih untuk tidur awal kerana mahu memastikan diri sentiasa berada pada tahap terbaik setiap hari.

Bagaimana anda menggambarkan gaya kepimpinan anda dalam tiga perkataan?

Gaya kepimpinan saya berasaskan niat, keaslian dan keberanian. Pasukan sentiasa diingatkan tentang misi kami sambil dipimpin dengan tujuan yang jelas. Pada masa yang sama, saya percaya kepada menjadi diri sendiri serta berani bersuara. Emosi bukan kelemahan dan setiap individu perlu berani mengambil ruang serta berkongsi idea dengan yakin dan profesional.

Apakah tanggapan salah yang sering orang ada tentang wanita dalam jawatan kepimpinan tertinggi?

Saya kurang bersetuju dengan label seperti woman founder atau woman leader. Pada saya, kepimpinan tidak bergantung kepada jantina. Lelaki dan wanita mempunyai tanggungjawab yang sama sebagai pemimpin, jadi tidak perlu membezakan peranan tersebut berdasarkan gender.

Kepada siapa anda mendapatkan pandangan atau nasihat apabila berdepan keputusan penting?

Suami saya ialah individu utama yang saya rujuk kerana dia sentiasa mengingatkan saya supaya melihat sesuatu dengan empati dan keseimbangan. Sebagai seorang leader, saya rasa penting untuk tidak terlalu keras terhadap diri sendiri dan sentiasa mengekalkan keseimbangan antara ketegasan dan kelembutan.

Pada pandangan anda, apakah makna kejayaan hari ini berbanding 10 tahun yang lalu?

Sepuluh tahun lalu, saya melihat kejayaan dari sudut pencapaian material seperti wang dan gaya hidup. Saya lebih mengejar kerjaya dan kemewahan. Kini, kejayaan bagi saya ialah kesihatan, kebahagiaan, masa bersama keluarga dan ketenangan hidup. Mempunyai masa untuk perkara yang bermakna adalah definisi kejayaan sebenar bagi saya.

Bagaimana anda membina ketahanan diri sebagai seorang wanita dalam leadership role?

Saya percaya cabaran adalah sebahagian daripada kehidupan. Kita perlu menerima bahawa hidup mempunyai turun naik. Apabila menghadapi masa sukar, kita perlu bersabar dan yakin bahawa ia hanya sementara. Sokongan daripada orang sekeliling juga sangat penting untuk melalui fasa tersebut.

Adakah anda lebih membuat keputusan berdasarkan gerak hati atau analisis data?

Saya seorang yang sangat intuitif. Saya percaya pada gerak hati, tenaga positif dan konsep manifestasi. Namun keputusan juga bergantung kepada situasi. Secara umumnya, mungkin sekitar 70 peratus berpandukan intuisi dan 30 peratus berdasarkan data.

Apakah keputusan paling sukar yang pernah anda buat sebagai leader, dan apakah pengajaran yang anda peroleh?

Pada tahun 2023, rakan pengasas saya meninggal dunia secara mengejut pada usia 34 tahun. Itu merupakan tempoh paling sukar dalam hidup saya kerana beliau bukan sahaja rakan perniagaan tetapi juga sahabat karib saya. Saya perlu mencari kekuatan dalaman untuk terus melangkah demi beliau dan demi mereka yang mempercayai syarikat kami. Ia pengalaman yang sangat mencabar, namun mengajar saya tentang ketabahan dan tanggungjawab.

Pada pendapat anda, apakah yang menjadi ‘jiwa’ Kuala Lumpur hari ini?

Bagi saya, jiwa Kuala Lumpur terletak pada masyarakatnya serta kafe-kafe kecil dan studio seni yang semakin berkembang. Itulah yang membentuk esen dan identiti kota ini.

Jika seorang wanita muda di Kuala Lumpur mengikuti perjalanan kerjaya anda, apakah nasihat yang ingin anda berikan?

Saya mahu dia tahu bahawa dia boleh menjadi dirinya sendiri. Jangan takut dengan pandangan masyarakat atau jangkaan orang lain, termasuk keluarga. Hiduplah mengikut acuan sendiri dan sedar bahawa nilai diri itu penting. Tidak salah untuk menjadi wanita yang bercita-cita tinggi. Anda boleh menjadi pemilik perniagaan, pengasas syarikat, ibu, isteri, sahabat dan ahli keluarga dalam masa yang sama.

KREDIT

FOTOGRAFI: AARON LEE / LENSWORKS PRODUCTION

KONSEP DAN PENYELARAS: SARAH HANI JAMIL

ARAHAN SENI: IERA NADZLIM DIBANTU AMIRA AZMAN

PENATAAN GAYA: MUZAMMIN MUZLAN DAN ATHIRAH ZAHRA

SOLEKAN: CAT YONG DAN AHMADANI MENGGUNAKAN CHANEL BEAUTY

DANDANAN: JUNO KO DAN MAY WOO

PAKAIAN DAN AKSESORI: CHANEL

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down