Langgan

ELLE Women in Music: Ara Johari

Tuah 'Menjaga Jodoh Orang Lain'.
4 minit untuk membaca
Published: February 16, 2026
Ara Johari menyarung blaus daripada MSYD dan seluar HER The Series.

Tahun ini sedar tidak sedar sudah sedekad Ara Johari melayari sebuah perjalanan panjang sebagai seorang penyanyi. Percubaan demi percubaan dia lakukan dalam terus mencuri perhatian pendengar pada lagu-lagunya berbaloi dengan momen besar lagu ‘Menjaga Jodoh Orang Lain’ yang memberi satu kelangsungan baik untuk karier muziknya.

Tanpa lagi perlu bergantung pada ‘Warkah Buat Kekasih’ dan ‘Bunga’ yang sudah sekian lama menjadi lagu cari makannya, hari ini Ara Johari hari ini memiliki sebuah lagi lagu yang akan begitu diingati penikmat muzik tempatan khususnya. Menerusi lagu ‘Menjaga Jodoh Orang Lain’ yang sehingga hari ini sudah ditonton lebih 28 juta tontonan di YouTube rasmi Universal Music Malaysia dengan jumlah strim di Spotify yang didengarkan melebihi 22 juta kali.

Setelah itu pasti cabaran baru menanti dan Ara cukup positif melaluinya tanpa sebarang tekanan atau ekspektasi yang tinggi. Percaya pada karya yang baik akan datang pada waktu yang tepat dia meneruskan satu lagi hayat panjang sebagai seorang penghibur yang semakin jelas arahnya.

ELLE: ‘Menjaga Jodoh Orang Lain’ menjadi nadi baru untuk Ara kembali diraikan dalam persada muzik tempatan. Apa yang ditawarkan itu sesuatu yang menepati cita rasa pendengar dan mengena dengan masa. Tapi musically adakah itu yang mentafsir jiwa Ara Johari?

Ara Johari: Kalau diikutkan ramai tahu bahawa Ara sangat sukakan sesuatu dengan elemen Rock. Lagu-lagu yang Ara bawakan sebelum ini pun kesemuanya ada elemen tersebut walaupun ia Balada tetapi masih memiliki sentuhan muzik Rock yang mengena dengan karakter vokal.

‘Menjaga Jodoh Orang Lain’ hanya percubaan sebenarnya. Ia bukanlah begitu dirancang dan Ara dengan team pun tidaklah mencari tapi masa dapat lagu tu kita rasa ia sebuah naskhah yang baik so, kita rakam dan edarkan macam biasa. Mula-mula ada doubt kalau lagu ini boleh pergi atau tidak. Tapi lepas ia diedarkan respons yang kita dapat sangat baik dan Ara rasa pendengar suka dengan direction muzik sebegini.

E: Masa lagu itu dikeluarkan ada expectation ya ia akan jadi massive hits sebegitu sekali?

AJ: Sejujurnya tak ada expectation langsung lagu itu akan jadi hits yang sangat luar biasa. Macam Ara cakap tadi awalnya ia memang sekadar sebuah eksperimentasi untuk lihat adakah pendengar suka kalau Ara bawakan lagu-lagu galau. Tapi sekarang lagu ini dah jadi kesukaan ramai membuatkan Ara fikir Ara kena teruskan dan ramai sebenarnya pendengar jaluran muzik sebegini di Malaysia.

E: Kalau diberi peluang tanpa memikirkan apa yang pendengar mahukan, muzik bagaimana yang kita dapat daripada seorang Ara Johari?

AJ: Kalau nak ikut keselesaan dan kesesuaian of course Ara mahu semua lagu yang ada elemen Rock tapi dengan kehadiran lagu ‘Menjaga Jodoh Orang Lain’ buat Ara lebih terbuka untuk explore genre berbeza. 

E: Kolaborasi bersama komposer Ilham Baso diteruskan menerusi ‘Terlalu Bodoh’. Ia dipilih setelah kejayaan ‘Menjaga Jodoh Orang Lain’ atau sudah diputuskan lebih awal?

AJ: Ia dihasilkan selepas melihat kejayaan ‘Menjaga Jodoh Orang Lain’. Ara bersama team menunggu sebenarnya masa yang sesuai untuk mengedarkan ‘Terlalu Bodoh’ tapi populariti lagu ‘Menjaga Jodoh Orang Lain’ begitu kuat walaupun sudah dua tahun ia diedarkan. Jadi Ara rasa kita tak boleh nak tunggu sampai orang bosan dengan lagu tu so kita kena juga lepaskan ‘Terlalu Bodoh’ tahun lalu sebagai kesinambungan kejayaan lagu ‘Menjaga Jodoh Orang Lain’. 

E: Untuk tahun ini akan ada single lain atau masih mahu fokus pada ‘Terlalu Bodoh’?

AJ: Kita dah lagu yang akan menjadi kesinambungan untuk menjadikan ia sebagai tiga lagu yang berkait. Tapi fokus buat masa sekarang masih mahu melihat sejauh mana single ‘Terlalu Bodoh’ mampu pergi dengan respons daripada pendengar. Selepas itu barulah kita akan fikirkan masa yang tepat untuk mengedarkan single yang seterusnya pula.

E: Sudah sedekad bermuzik saya kira Ara sudah siap untuk memiliki sebuah album penuh. Ada dalam perancangan atau penghasilan album bukanlah fokus utama?

AJ: Sebenarnya memang ada perancangan untuk album tapi sekarang masih dalam proses mencari material yang sesuai. Susah sebenarnya sebab kalau boleh Ara tak nak hasilkan album yang sekadar tangkap muat – okey ada lagu masuk je dalam album. Kita nak yang terbaik pastinya dan harus mengena dengan konsep dan vokal Ara. Cuma kalau ditanya bila album itu akan menjadi kenyataan bila, Ara tak boleh nak jawab. Semuanya bergantung pada kesesuaian masa dan keadaan.

E: Dalam bekerja Ara ada timeline sebagai panduan atau Ara jenis mengikut masa dan keadaan yang bersesuaian?

AJ: Boleh dikatakan lebih kepada follow the flow. Perancangan sentiasa perlu ada tapi Ara rasa penting untuk bermain dengan masa. Kalau kita rasa masa yang tepat itu sampai kita terus keluarkan. Pada masa yang sama kena tengok juga keadaan trend semasa, apa yang orang suka dan apa yang bersesuaian untuk Ara persembahkan pada pendengar. Daripada situ kita rangka apa yang sepatutnya kita lakukan seterusnya.

E: Sedekad dalam lingkungan muzik tempatan, ia berjalan seperti apa yang Ara harapkan atau ada struggle yang kita tak nampak?

AJ: Tipu kalau Ara cakap semuanya berjalan seperti yang Ara harapkan. Struggle sentiasa ada untuk sustain terutamanya sangat sukar. Perkara paling mudah untuk dikaitkan adalah penghasilan lagu baru. Setiap kali nak dapatkan lagu yang sesuai dan mengena dengan cita rasa pendengar itu bukan hal mudah. Ada lagu yang kita hasilkan menjadi ada lagu yang tidak. Sebelum ‘Menjaga Jodoh Orang Lain’ Ara dah hasilkan beberapa single selepas fasa pandemik terutamanya tapi respons tidak sebaik lagu ini. Daripada situ Ara belajar untuk faham apa yang pendengar suka dan sesuaikan dengan kekuatan yang Ara ada sebagai penyanyi.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down