Langgan

Ulasan Filem: Mencari Ramlee

"Mencari Ramlee" lakonan ELLE cover girl yang pertama - Mimi Lana
2 minit untuk membaca
Published: June 23, 2025
Mimi Lana sebagai Yasmin

Pasaran filem tempatan berjalan cukup laju tahun ini. Setelah kejayaan "Blood Brothers", "Ejen Ali 2" dan "Kluang Man" yang baru saja menamatkan tayangan, beberapa judul lain seperti "Gayong" lakonan Beto Kusyairi, "Telaga Suriram" lakonan Maya Karin antara yang telah mencuri tumpuan penonton filem.

Tidak terhenti di situ, sebuah lagi filem yang baru masuk panggung beberapa hari lalu, "Mencari Ramlee" lakonan ELLE cover girl yang pertama - Mimi Lana bersama Sofia Jane, Tony Eusoff dan Megat Sharizal meneruskan kelangsungan pasaran filem tahun ini.

Berbekal cerita yang mengambil konsep berbeza dengan apa yang pernah kita tonton, "Mencari Ramlee" memberi satu variasi untuk penonton memilih dan menonton sesuatu yang berbeza daripada klise kisah-kisah gangster dan cerita seram.

Tony Eusoff sebagai Zakaria

Sinopsis

Filem ini mengisahkan Zakaria, seorang peniru gaya P. Ramlee yang bergelut dengan masalah kewangan dan sukar mendapatkan pekerjaan. Zakaria turut menjaga adiknya, Yasmin, yang masih menuntut di universiti. Untuk meneruskan hidup, Zakaria berhutang dengan seorang gangster tempatan bernama Yusuf.

Bagi melangsaikan hutang ini, Zakaria harus meyakinkan kakak kepada Yusuf iaitu Zaiton (lakonan hebat Sofia Jane) bahawa dia adalah P. Ramlee yang sebenar. Konflik terjadi di tengah cerita yang mengubah naratif yang mahu disusun Zakaria menjadi kacau dan mengancam adiknya, Yasmin (Lakonan Mimi Lana).

Sofia Jane Sebagai Zaiton

Lakonan Hebat Sofia Jane

"Mencari Ramlee" menawan di tangan Sofia Jane yang mengemudi filem ini dengan begitu bersahaja sekali. Bahasa tubuh, pengucapan dan emosinya benar-benar dirasai tanpa ada momen yang kelihatan canggung. Menerusi Zaiton juga Sofia benar-benar mengubat rindu peminatnya yang mehu melihat lakonan hebatnya di layar perak.

Mimi Lana semakin meyakinkan dengan lakonannya di filem ini. Babak yang melibatkan lakonannya bersama Tony Eusoff sebagai abang di filem ini benar-benar dirasai chemistry kedua-duanya. "Mencari Ramlee" lebih istimewa pabila banyak nama besar pemain industri filem tempatan seperti Vanidah Imran, Bront Palarae, Sharifah Amani dan Nadiya Nisaa tampil sebagai cameo.

Mengikut naratif dalam latar 70-an, filem ini memberi sesuatu yang berbeza untuk penonton. Filem ini banyak dibantu dengan kerja teknikal yang cukup terperinci hasilnya. Arahan seni, skor muzik dan wardrobe yang ada di setiap perincian filem ini benar-benar terhasil cemerlang.

Sebagai sebuah filem tempatan, "Mencari Ramlee" berjaya menzahirkan sesuatu yang berbeza daripada segi cerita, lakonan yang mantap dan kerja teknikal yang kemas dan meyakinkan. Seharusnya diraikan kesemua penonton tempatan

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down