Langgan

Oasis Kesejahteraan di URSPA, The RuMa Hotel & Residences

Sebuah oasis kesejahteraan di tengah kota, The RuMa menghidupkan warisan Malaysia menerusi pengalaman URSPA.
4 minit untuk membaca
Published: August 31, 2026
Gambar daripada URSPA

Di tengah-tengah kesibukan Kuala Lumpur yang tidak pernah berhenti, URSPA di The RuMa Hotel & Residences menawarkan ruang untuk memperlahankan langkah seketika. Terletak di tingkat enam hotel, spa ini menjadi tempat untuk mengembalikan tenaga kepada diri sendiri menerusi rawatan yang menumpukan kepada ketenangan serta mengangkat tradisi dan ritual yang telah lama menjadi sebahagian daripada budaya kesejahteraan Malaysia.

Pendekatan ini selari dengan identiti The RuMa sendiri. Dianugerahkan One MICHELIN Key atas reka bentuk yang cukup tersendiri seta layanan yang intuitif, nama hotel ini diinspirasikan daripada perkataan Melayu “rumah”. Di setiap ruangnya, warisan dan seni pertukangan Malaysia diterjemahkan dalam gaya kontemporari menghasilkan suasana yang berakar kuat pada identiti tempatan. Di URSPA, nilai ini diterapkan menerusi pendekatan terhadap wellness. Rawatan istimewa seperti Urutan Malaysia mengambil inspirasi daripada amalan penyembuhan tradisional serta bahan-bahan tempatan, membawa warisan kesejahteraan Malaysia ke dalam pengalaman spa yang lebih moden.

Ketika berkunjung ke URSPA, ELLE berkesempatan menyelami falsafah di sebalik rawatan-rawatan ini bersama Amna Talip, Pengarah URSPA, yang telah bersama The RuMa selama empat tahun. Kami berbual tentang kepentingan memelihara amalan penyembuhan tradisional serta pengaruh pelbagai budaya dalam Urutan Malaysia.

Gambar daripada URSPA
ELLE: Kongsikan bersama kami falsafah URSPA.

Amna: URSPA memberi tumpuan kepada tradisi penyembuhan yang telah diamalkan sejak dahulu namun kami menggabungkannya dengan pendekatan wellness moden dan kebijaksanaan tradisional. Bagi kami, kemewahan sebenar adalah apabila kita dapat mewujudkan sebuah ruang yang membolehkan tetamu berhenti seketika, kembali kepada diri sendiri dan menjauhkan diri daripada kesibukan rutin harian. Sebagai sebahagian daripada The RuMa, sebuah hotel mewah yang dianugerahkan MICHELIN Key, wellness menjadi elemen penting dalam pengalaman keseluruhan tetamu. Kami mahu pengalaman ini bukan sahaja menyeluruh tetapi juga mempunyai nilai dan makna tersendiri. Sebab itu kami membawa tradisi penyembuhan tempatan ke dalam rawatan kami, supaya setiap tetamu dapat merasai sesuatu yang berbeza dan istimewa. Kami bukan sahaja menawarkan urutan malah kami mahu mencipta pengalaman yang meninggalkan kesan dan diingati. Kadangkala, perkara kecil yang kita lakukan itulah yang membuatkan seseorang ingin kembali dan membawa pulang sesuatu yang bermakna daripada pengalaman mereka bersama kami.

E: Apakah yang boleh dijangkakan tetamu apabila berkunjung ke URSPA?

A: URSPA adalah sebuah ruang dimana tetamu boleh menjauhkan diri seketika daripada kesibukan Kuala Lumpur dan memberi ruang untuk diri mereka berehat. Setiap pengalaman disesuaikan mengikut keperluan individu. Juruterapi kami akan menilai keadaan tubuh tetamu dan mengenal pasti bahagian yang mungkin memerlukan lebih perhatian. Daripada situ, rawatan boleh disesuaikan agar lebih tepat dengan keperluan mereka. Kami menggabungkan teknik penyembuhan tradisional dengan pendekatan wellness moden, dengan matlamat untuk membantu tetamu memulihkan tenaga dan menyegarkan kembali tubuh serta minda. Paling penting, kami mahu mereka meninggalkan URSPA dengan perasaan bahawa mereka benar-benar dijaga dan diberi perhatian oleh pasukan kami.

Gambar daripada URSPA
E: Ceritakan tentang rawatan tradisional Urutan Malaysia yang ditawarkan di URSPA.

A: Urutan Malaysia merupakan gabungan beberapa tradisi penyembuhan yang mencerminkan kepelbagaian budaya negara kita. Kami mahu mencipta satu rawatan yang menggabungkan amalan Melayu, Cina dan India dalam satu pengalaman.

Rawatan dimulakan dengan ritual tradisional Melayu iaitu merendam kaki di dalam air suam yang dicampurkan dengan halia dan daun pandan. Tujuannya adalah untuk membantu tubuh lebih tenang dan bersedia menerima rawatan. Halia secara tradisinya dikaitkan dengan elemen kehangatan dan pembersihan manakala air suam membantu menenangkan serta merehatkan kaki.

Selepas itu, kami menggabungkan teknik pernafasan Qigong daripada tradisi Cina. Tetamu akan dibimbing untuk memberi perhatian kepada pernafasan sepanjang rawatan. Ini membantu mereka memperlahankan rentak, lebih menyedari keadaan diri dan menikmati relaksasi yang lebih mendalam.

Rawatan ini turut merangkumi urutan kepala daripada tradisi India. Inilah yang menjadikan Urutan Malaysia begitu istimewa – tradisi Melayu, Cina dan India disatukan dalam satu rawatan yang mencerminkan kepelbagaian budaya Malaysia.

Selepas urutan kepala, tetamu akan berbaring di atas katil rawatan dan kami meneruskan dengan teknik urutan tradisional Melayu. Fokusnya adalah untuk melegakan ketegangan dan membantu tubuh berasa lebih seimbang. Kami turut membuat urutan pada bahagian perut, khususnya untuk membantu tetamu berasa lebih selesa sekiranya mengalami kembung atau ketegangan di bahagian abdomen. Setiap elemen dalam rawatan ini dirancang dengan teliti supaya beberapa bahagian tubuh dapat diberikan perhatian, sambil mewujudkan pengalaman relaksasi yang menyeluruh.

Gambar daripada URSPA
E: Apakah elemen utama dalam rawatan urut tradisional?

A: Antara elemen penting ialah penggunaan herba dan bahan semula jadi. Kami menggunakan minyak kelapa sepanjang rawatan untuk melembapkan dan melembutkan kulit, selain membantu minyak meresap ke dalam kulit. Kami turut menggunakan daun pandan yang dipotong dan dimasukkan ke dalam minyak ketika rawatan berlangsung. Aromanya memberikan suasana yang menenangkan dan membantu tetamu berasa lebih relaks. Secara asasnya, tujuan urutan adalah untuk membantu melegakan ketegangan, merehatkan otot dan memberikan rasa kesejahteraan yang lebih mendalam.

E: Adakah terdapat teknik khusus yang diterapkan dalam rawatan ini?

A: Kami tidak hanya bergantung kepada teknik urutan tradisional. Kami turut memasukkan elemen regangan, khususnya pada bahagian tubuh yang mungkin mengalami pergerakan terbatas atau otot yang tegang. Selain halia, daun pandan dan minyak kelapa, kami turut menggunakan kain suam sebagai sebahagian daripada rawatan. Ia membantu memberikan rasa nyaman pada bahagian tubuh yang tegang serta menjadikan pengalaman lebih menenangkan.

Perincian seperti inilah yang menjadikan rawatan kami berbeza. Kami mahu tetamu menikmati sesuatu yang menenangkan dan tersendiri di URSPA, sambil memperkenalkan pendekatan kami terhadap penyembuhan tradisional secara lebih menyeluruh.

Bagi kami, penting untuk memastikan tradisi seperti ini terus dikenali dan dihargai. Dengan membawanya ke dalam suasana spa kontemporari, kami berharap dapat memperkenalkan lebih ramai orang kepada warisan penyembuhan yang berasal daripada Malaysia sendiri.

Gambar daripada URSPA
E: Adakah terdapat perkara yang perlu dielakkan selepas menjalani rawatan?

A: Biasanya, kami menasihatkan tetamu supaya tidak mandi sekurang-kurangnya sejam selepas rawatan. Ini memberikan masa kepada tubuh untuk terus berehat dan membolehkan minyak yang digunakan sepanjang rawatan kekal lebih lama pada kulit.

Bagi saya, Urutan Malaysia merupakan antara rawatan kami yang paling istimewa kerana tidak ramai yang berpeluang merasai gabungan pelbagai tradisi Malaysia dalam satu pengalaman. Kami mahu tetamu memahami nilai di sebalik setiap elemennya daripada urutan kepala India, teknik pernafasan Qigong hinggalah kepada amalan urutan tradisional Melayu. Ini merupakan tradisi yang telah diwarisi turun-temurun, dan kami menyatukannya dalam satu rawatan yang lebih tersusun serta sesuai dengan pengalaman wellness masa kini. Saya fikir itulah yang menjadikan Urutan Malaysia begitu istimewa untuk dikongsi bersama tetamu.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down