Dalam dunia penjagaan kulit yang semakin sarat dengan pelbagai pilihan, cukup menyegarkan apabila ada jenama yang benar-benar berjaya menghasilkan sesuatu yang tepat. Produk yang dimaksudkan? Anua Collagen + Retinol Refining Cream.
Krim K-beauty ini sebenarnya sudah berada di pasaran sejak Mac lalu, namun popularitinya yang semakin meningkat membuatkan ia sukar untuk ditemui.
Selepas Anua baru-baru ini dilancarkan di Space NK, krim ini terus habis terjual di kedai-kedai sekitar UK. Tidak hairanlah, memandangkan ramai mula menyedari keupayaannya untuk membantu menyerlahkan kontur wajah, mengurangkan sembap dan memberikan efek wajah yang kelihatan lebih kemas buat sementara waktu — semuanya pada harga RM121 sahaja.
Nasib baik, ia masih boleh dibeli secara dalam talian, namun berkemungkinan hanya untuk tempoh yang terhad.

Gambar: Instagram @kendalljenner
Jadi, mengapa ia tiba-tiba menjadi begitu popular, dan mengapa sekarang? Produk ini bukan sekadar meraih populariti hasil pengaruh selebriti. Kendall Jenner, yang juga merupakan duta jenama, baru-baru ini memuat naik video di TikTok yang menunjukkan cara dia menggunakan alat pembentuk wajah ini sebagai sebahagian daripada rutin ‘detoks selepas bekerja’.
Ia juga sudah beberapa kali habis terjual, membuktikan bahawa popularitinya bukan semata-mata kerana sokongan daripada Jenner. Sebaliknya, ia merupakan produk yang hebat, berharga berpatutan dan sememangnya memberikan hasil.
Apakah Anua Collagen + Retinol Refining Cream?

Tidak dilancarkan di Malaysia, namun ia boleh didapati di luar negara dan laman Amazon
Krim ini bukan sekadar tampil dengan pembungkusan yang inovatif. Selain aplikator berinspirasikan gua sha, formulanya menggabungkan tiga ramuan utama yang direka untuk membantu menghaluskan tekstur, menegangkan serta meningkatkan keanjalan kulit — retinol, kolagen dan peptida.
Mari kita lihat satu persatu, bermula dengan retinol — bahan yang dianggap sebagai antara pilihan utama untuk membantu menegangkan kulit dan mengurangkan penampilan garis halus. Ia menggunakan retinol terenkapsulasi yang mungkin kedengaran seperti istilah teknikal, namun inilah yang menjadikannya berkesan serta lebih lembut untuk digunakan.
Secara ringkasnya, molekul vitamin A dibalut dalam polimer pelindung bagi memastikan ia disalurkan secara perlahan dan terkawal ke lapisan kulit yang lebih dalam. Dengan cara ini, risiko menyebabkan iritasi pada permukaan kulit dapat dikurangkan.
Beralih pula kepada kolagen. Pelembap atau topeng muka yang diperkaya dengan kolagen bukanlah sesuatu yang sukar untuk ditemui. Namun, walaupun apa yang tertera pada botol mungkin kedengaran meyakinkan, produk yang paling mahal sekalipun tidak mampu meningkatkan tahap kolagen kulit secara ajaib — begitu juga dengan krim ini.
Ini kerana molekul kolagen terlalu besar untuk digunakan secara berkesan dalam produk penjagaan kulit topikal. Jadi, dalam formulasi ini, kolagen bersama peptida yang membantu memberikan efek kulit lebih anjal dan berisi, digunakan terutamanya untuk tujuan menghidratkan kulit.
Kedua-dua bahan ini juga menyumbang kepada pengalaman penggunaan krim tersebut. Teksturnya kaya tetapi tidak terasa berminyak, memberikan gelinciran yang ringan dan sempurna untuk membolehkan aplikator meluncur dengan mudah di atas kulit.
Bagaimana cara menggunakan Anua Collagen + Retinol Refining Cream?
Dunia penjagaan kulit K-beauty sememangnya sentiasa selangkah ke hadapan, sama ada menerusi formulasi inovatif mahupun pembungkusan yang bijak. Dalam kes ini, kedua-duanya digabungkan sekali.
Menariknya, krim ini membolehkan anda menggabungkan manfaat teknik urutan dan pembentukan wajah menggunakan gua sha ke dalam rutin pelembapan harian anda.
Aplikator logam berbentuk W ini direka untuk meluncur dengan mudah di atas kulit sambil mengeluarkan krim secara perlahan ketika digunakan. Dengan gerakan ke atas, picit dan luncurkan aplikator serentak mengikut kontur wajah. Mulakan dari bahagian bawah leher, kemudian teruskan ke garis rahang, tulang pipi dan hingga ke pelipis. Ulangi gerakan ini sebanyak tiga hingga lima kali sebelum beralih ke bahagian wajah yang lain.
Gerakkan aplikator ke atas dan ke bawah pada bahagian leher untuk membantu melegakan ‘tech neck’ — iaitu ketegangan pada leher akibat terlalu lama menunduk melihat telefon, sesuatu yang sememangnya dekat dengan realiti kehidupan kita hari ini. Namun, untuk bahagian wajah yang lain, pastikan aplikator sentiasa diluncurkan dalam gerakan ke atas bagi membantu mengurangkan sembap dan meredakan kemerahan dengan lembut.
Seperti mana-mana produk berasaskan retinoid, mulakan secara perlahan dengan memasukkan krim ini ke dalam rutin penjagaan kulit sebanyak tiga kali seminggu. Buat sementara waktu, hentikan penggunaan bahan aktif lain sehingga kulit anda sudah menyesuaikan diri dengan retinoid. Walaupun formulanya turut mengandungi peptida yang membantu mengurangkan potensi iritasi, adalah lebih baik untuk memperkenalkan bahan aktif secara beransur-ansur. Dan sudah tentu, jangan lupa menggunakan SPF setiap pagi.
Jadi, walaupun ia mungkin tidak memberikan efek pembentukan kontur wajah yang sama seperti rawatan saliran limfa profesional, krim ini boleh menjadi alternatif yang praktikal untuk membantu mengurangkan sembap buat sementara waktu sementara menunggu janji temu rawatan anda yang seterusnya.
Artikel oleh Clare Stephenson dari ELLE UK

