Sebagai editor di meja cantik, saya banyak mencuba bedak asas terbaru. Mencari bedak asas yang benar-benar sesuai dengan kulit bukanlah semudah yang disangka. Saya mahukan kemasan yang sempurna, kulit kelihatan lebih berseri dan tona wajah tampak sekata, namun pada masa yang sama tidak mahu hasilnya kelihatan terlalu tebal atau bercapuk. Lebih-lebih lagi untuk solekan harian, saya mahukan sesuatu yang mudah dan pantas diaplikasikan tanpa perlu menggunakan teknik yang terlalu rumit.
Bagi saya, bedak asas yang ideal bukan sahaja perlu memberikan kemasan yang cantik pada kulit, tetapi juga mempunyai formula berkualiti yang selesa dipakai sepanjang hari. Selepas mencuba pelbagai pilihan, ini tiga bedak asas yang berjaya mencuri perhatian saya dan pastinya editor approved!
Ini 3 Bedak Asas Terbaik Pilihan Editor ELLE Mesti Anda Cuba
1) Tarte CC Color-Correcting Tinted Serum

Buat anda yang masih belum mencuba bedak asas bertekstur ringan daripada Tarte ini, anggaplah ini sebagai tanda untuk mendapatkannya di Sephora. Kami menyukai kemasan skin tint ini yang begitu natural dan mudah disarungkan sebagai solekan harian. Namun, jika mahu lebih tepat, produk daripada Tarte ini sebenarnya bukan sekadar bedak asas. Ia merupakan krim pembetulan warna (colour-correcting) yang membantu menyatukan rona dan tona kulit, sekali gus memberikan hasil akhir yang lebih berseri, segar dan sihat. Teksturnya yang ringan menjadikannya pilihan ideal untuk solekan harian. Ia terasa selesa pada kulit tanpa memberikan rasa berat atau seolah-olah sedang memakai lapisan solekan yang tebal.
2) Fenty Beauty Pro Filt’r Fluid Flex Natural Matte Longwear Foundation

Ini adalah antara bedak asas yang paling dinanti-nantikan oleh peminat kecantikan. Lebih-lebih lagi bagi peminat jenama kosmetik milik Rihanna ini. Apa yang menarik lagi tentang bedak asas ini adalah apabila mereka mengeluarkan 50 rona (literally untuk semua jenis tona kulit di muka bumi ini!). Berbeza dengan bedak asas OG mereka sebelum ini, bedak asas baru ini diformulasikan lebih ringan, lebih fleksibel dan lebih natural seperti tidak menyarung apa-apa di kulit wajah. Lebih menarik lagi, ia turut dikatakan bedak asas jenis kalis air, tahan peluh dan lembap dan direka kekal cantik di kulit muka tanpa membuatkan solekan tampak merekah dan berpindah warna sepanjang hari. Ekstrak buah belimbing yang terkandung di dalam bedak asas ini membantu mengawal minyak dan kilauan sepanjang hari. Ini adalah kegemaran editor cantik di ELLE!
3) Shiseido REVITALESSENCE Skin Matte Foundation

Jika ingin berbicara tentang produk kosmetik bersama intipati penjagaan wajah yang terbaik, kami pasti akan mencadangkan produk daripada Shiseido. Hadir dengan bedak asas terbaru bersama falsafah "MATTE, REIMAGINED", Shiseido mengolah kembali makna pusam dalam gaya solekan moden hari ini. Walaupun bedak asas ini berkemasan pusam, namun ia langsung tidak mengakibatkan kulit menjadi kering, malah membenarkan kulit wajah kekal bernafas dan segar sepanjang hari. Bak kata jenama ini juga, dengan penggunaan berterusan, bedak asas ini juga dapat membantu mempertingkatkan kualiti kulit dari semasa ke semasa.

