Sewaktu mengetahui tentang kehadiran bedak asas daripada La Prairie ini, saya terus teruja dan ingin mendekati sendiri produk yang menjadi bualan dalam kalangan peminat kecantikan. Bayangkan sahaja harganya mencecah RM1,480, pasti formulanya juga hadir dengan sesuatu yang istimewa dan setanding dengan nilainya. Tambahan pula, apabila menyebut tentang La Prairie, perkara pertama yang terlintas di fikiran pastinya kepakaran jenama ini dalam menghasilkan produk penjagaan wajah berprestasi tinggi.
Jadi, apabila mereka menjanjikan manfaat penjagaan kulit dalam sebuah produk solekan, I’m sold! Menggabungkan dua ramuan signature mereka, iaitu Lipidic Caviar Extract bersama Exclusive Cellular Complex™, bedak asas ini dikatakan membantu menyokong keanjalan dan ketegangan kulit, selain memberikan kelembapan berpanjangan. Hasilnya, kulit bukan sahaja kelihatan lebih sempurna dengan kemasan solekan yang cantik, malah tampak lebih sihat dan segar.
Bukan itu sahaja, La Prairie Skin Caviar Concealer + Foundation SPF 30 ini turut menjanjikan liputan penuh hanya dengan satu lapisan. Menariknya, semakin kerap disarungkan pada kulit, semakin sempurna penampilannya kerana pada masa yang sama, formulanya membantu merawat dan menjaga kondisi kulit. Jadi, ia bukan sekadar bedak asas untuk mencantikkan wajah, tetapi turut menawarkan pengalaman penjagaan kulit dalam setiap pemakaian.
Ini Pendapat Saya Tentang La Prairie Skin Caviar Concealer + Foundation SPF30 Ini

Ini hasil solekan saya menggunakan bedak asas La Prairie Skin Caviar Concealer + Foundation SPF30
Pertama kali melihat botol bedak asas ini, saya terus dapat merasakan aura mewah yang sememangnya sesuai dengan harganya. Botolnya terasa berat dan kukuh, malah bukan sekadar menempatkan bedak asas, ia turut dilengkapi dengan penyamar noda pada bahagian penutup. Lebih menarik, penyamar noda tersebut hadir dalam rona yang sepadan dengan bedak asas, jadi tidak perlu lagi gusar mencari concealer yang matching dengan tona bedak asas selepas ini. Bila difikirkan kembali, harganya terasa cukup berbaloi untuk sebuah produk daripada La Prairie yang menggabungkan fungsi bedak asas dan penyamar noda dalam satu kemasan.
Selepas melengkapkan rutin penjagaan wajah bermula dengan mencuci wajah, diikuti serum, pelembap dan pelindung sinar, saya mula mengoles bedak asas ini. Persepsi pertama saya terhadap teksturnya, ia kelihatan agak pekat dan terasa sedikit berat. Namun, persepsi itu berubah sebaik sahaja saya menyarungkannya pada wajah. Teksturnya seolah-olah mencair dengan lembut apabila bersentuhan dengan kulit, mungkin hasil kehangatan kulit wajah, lalu membuatkan ia mudah dibaur dan blend dengan begitu cantik.
Setelah mengoleskannya, saya dapat merasakan bahawa produk ini hadir dengan litupan sederhana yang boleh dibina mengikut keperluan. Buat saya yang tidak gemarkan solekan terlalu tebal, terutama untuk pemakaian harian ke office, sapuan nipis sahaja sudah memadai. Walaupun hanya menggunakan satu lapisan ringan, saya sudah dapat melihat kemasan yang cukup glowing, membuatkan kulit wajah kelihatan lebih sihat.
Saya kemudian menyarungnya sepanjang hari. Dengan lapisan primer daripada Hourglass sebagai asas, solekan saya sememangnya mampu bertahan dengan baik. Namun, saya perasan ia sedikit cakey pada bahagian kulit yang kering. Mungkin juga kerana kulit saya ketika itu berada dalam keadaan lebih kering daripada biasa selepas baru pulang bercuti di Paris. Saya turut mendapati bedak asas ini sedikit sebanyak accentuate my fine lines, membuatkan tekstur kulit kelihatan lebih ketara, terutama pada bahagian wajah yang kering.
Secara keseluruhannya, saya menyukai kemasan glowing dan rasa kulit yang kelihatan lebih sihat selepas memakainya. Cuma, bagi kulit yang sedang berada dalam keadaan sangat kering seperti saya ketika itu, saya rasa persediaan kulit yang lebih menghidratkan adalah penting sebelum menyarungkan bedak asas ini.
Namun, selepas seminggu terus-terusan menyarung bedak asas ini, saya sebenarnya dapat merasai sendiri perubahan pada tekstur kulit. Kulit wajah terasa lebih terhidrat. Kulit kering yang berpunca daripada udara ini semakin hari semakin berkurangan (dengan bantuan ritual penjagaan kulit wajah yang optima).
Setelah mencubanya sendiri, pada saya, ini adalah antara bedak asas yang berbaloi untuk dimiliki, terutama buat mereka yang mengutamakan bukan sahaja hasil solekan, tetapi juga manfaat penjagaan kulit. Dengan gabungan ramuan berkualiti tinggi yang menjadi kepakaran La Prairie, elemen penjagaan kulit ini sememangnya menjadi nilai tambah yang menarik untuk sebuah produk kosmetik, khususnya bedak asas.
Jadi, mungkin sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan La Prairie Skin Caviar Concealer + Foundation SPF 30 sebagai salah satu pelengkap di atas meja cantik anda?

