Langgan

Daripada Mommy Bun Ke Potongan Chic: Transformasi Rambut Yang Patut Dicuba Oleh Ibu Baru

Tiga bulan menjalani pantang selepas bersalin, Pengarah Kecantikan ELLE, Amira Azman, kongsi transformasi rambut untuk gaya yang lebih segar dan chic!
3 minit untuk membaca
Published: July 3, 2026

Tiga bulan menjalani pantang selepas bersalin, Pengarah Kecantikan ELLE, Amira Azman, kongsi transformasi rambut untuk gaya yang lebih segar dan chic!

Sebagai ibu baru, saya sendiri tidak tahu apa yang perlu dijangkakan, terutamanya perubahan pada diri dan penampilan selepas melahirkan anak serta ketika melalui fasa berpantang. Tidak seperti gambaran yang sering dipaparkan di media sosial, ibu-ibu baru tampil sempurna dan sentiasa bersiap rapi meskipun hanya berada di rumah, realiti saya ternyata berbeza.

Menjalani tempoh berpantang secara solo dengan bantuan babysitter pada waktu tertentu membuatkan saya hampir tidak mempunyai masa untuk diri sendiri. Berdandan menjadi perkara terakhir dalam senarai keutamaan, malah rutin menggayakan rambut juga sering terabai memandangkan kebanyakan masa dihabiskan di rumah bersama si kecil.

Kini, tiga bulan sudah berlalu dan saya bakal kembali bekerja. Sudah tentu, saya mengimpikan suatu perubahan yang mampu mengembalikan rasa segar dan keyakinan diri, terutamanya pada penampilan rambut yang mula kelihatan kusam dan tidak terurus. Lalu, saya memilih untuk melakukan transformasi yang agak besar buat diri sendiri.

Setelah sekian lama tidak menjalani proses bleaching, kali ini saya memberanikan diri untuk mencubanya semula. Terinspirasi oleh penampilan ibu-ibu moden di Barat yang sentiasa kelihatan effortless dan sofistikated, saya mengimpikan rambut balayage dengan sentuhan estetik old money, persis gaya yang sering digayakan oleh Sofia Richie Grainge, idola anak muda hari ini.

Gambar: @sofiagrainge

Pengalaman Transformasi Rambut Baru di H • ART Concept Salon

Saya memilih untuk berkunjung ke salon H•ART Concept yang terletak di SS15, Subang Jaya. Sebaik melangkah masuk, suasananya yang cukup cozy dan mengundang itu membuatkan saya menjadi lebih selesa (bayangkan saya menghabiskan masa hampir enam jam di sana). Setibanya saya, saya disambut mesra oleh Artistic Ambassador Schwarzkopf Professional juga pemilik salon, Sky Ming Khai dan penggaya rambut yang bertanggungjawab merealisasikan transformasi saya, Syiaoyan.

Syiaoyan sememangnya dikenali dengan kepakarannya dalam rona blonde, potongan berlapis juga rona-rona kreatif. Selepas mengetahui latar belakang dan kepakarannya, saya lega dan yakin bahawa rambut saya ini berada di tangan yang tepat.

Saya turut memberitahu Syiaoyan bahawa impian saya adalah untuk memiliki gaya rambut balayage, namun dengan rona blonde yang mampu menyerlahkan dan mencerahkan tona kulit wajah saya. Dia kemudiannya mencadangkan gabungan warna asas coklat gelap dengan highlight yang dilunturkan secara lembut, tanpa kelihatan terlalu terang atau keterlaluan. Saya terus bersetuju!

Bukan itu sahaja, Syiaoyan turut menyarankan agar saya memotong sedikit hujung rambut yang sudah rosak dan terlalu panjang. Cadangan itu ternyata tepat. Sebagai ibu baru, rambut yang lebih pendek dan mudah diuruskan sememangnya menjadi pilihan ideal. Dengan rutin harian yang dipenuhi sesi mendukung, menyusu dan memberi perhatian kepada si kecil hampir sepanjang masa, gaya rambut yang praktikal namun tetap bergaya terasa seperti satu kemewahan kecil yang saya perlukan untuk diri sendiri.

Proses bleaching hanya mengambil satu kitaran. Selain itu, saya turut memberitahu Syiaoyan yang saya ini masih sedang menyusu badan, lalu mereka mengambil langkah untuk tidak meluntur rambut saya sehingga ke akar rambut. Walaupun tiada kajian yang menyatakan bleaching tidak elok untuk ibu menyusu, saya hanya mengambil langkah berjaga-jaga.

Proses bleaching dan mewarna rambut mengambil masa enam jam. Hasil warna rambut yang cukup cantik dan lembut ini menggunakan koleksi terbaru daripada Shiseido Professional iaitu koleksi ULTIST, yang mana ia merupakan pewarna rambut inovatif diformulasikan khas buat rambut Asia. Dengan teknologi COLOR-in-CORE, ia mampu mengunci warna rambut disamping mengurangkan kerosakan pada setiap helaian rambut. Hasilnya, rambut saya tampil cukup berbeza dan semestinya seperti apa yang saya idamkan. Sangat memuaskan!

Penjagaan Susulan di Rumah

Transformasi rambut diteruskan lagi. Kali ini, bagi memastikan warna rambut kekal tahan lama dan tidak rosak, saya menggunakan Bonacure Color Freeze Shampoo bersama rangkaian produk rawatan Vibrancy daripada Schwarzkopf Professional. Koleksi Vibrancy ini dicipta khas untuk penjagaan rambut berwarna dengan adanya formulasi AHA yang membantu warna kekal lebih lama dan terus bersinar.

Kini selepas seminggu rambut saya diwarnakan, ronanya masih kekal cantik, rambut yang diluntur langsung tidak terasa kasar. Saya mengamalkan rutin mencuci rambut ini dua hingga tiga hari sekali. Walaupun rambut tidak dicuci setiap hari, saya langsung tidak merasakan kulit kepala dan rambut yang berminyak.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down