
Mencari hairstylist yang benar-benar memahami diri anda adalah satu perjalanan yang cukup peribadi. Setiap individu mempunyai definisi kecantikan yang tersendiri, justeru menemukan salon yang mampu menterjemahkan personaliti dan cita rasa anda bukanlah sesuatu yang boleh berlaku dalam sekelip mata. Namun, bagi mereka yang sedang mencari perubahan yang segar tetapi tetap relevan dengan identiti diri, Portfolio Hair Studio wajar berada dalam senarai pilihan utama.
Terletak di Jalan Batai, Bukit Damansara, salon butik ini menawarkan suasana yang intim dan selesa di tengah-tengah salah satu kawasan kejiranan paling bergaya di Kuala Lumpur. Dikelilingi deretan kafe dan restoran popular, ruangnya yang sederhana namun industrial chic mencerminkan falsafah salon itu iaitu sofistikated tetapi tetap bersahaja tanpa rasa terlalu formal.
Di sebalik Portfolio Hair Studio ialah William Wong, seorang penggiat industri yang mempunyai pengalaman lebih 24 tahun dalam dunia dandanan rambut. William melihat setiap sesi sebagai satu kolaborasi kreatif. Dia meluangkan masa untuk memahami kehendak pelanggan sebelum menghasilkan gaya yang benar-benar melengkapi bentuk wajah dan personaliti mereka.
Untuk sesi kali ini, saya ingin mengekalkan panjang rambut saya tetapi memberi nafas baharu pada siluet dan strukturnya. William mengambil inspirasi daripada koleksi terbaharu Portfolio Hair Studio, ‘HYBRID’, sebuah koleksi 2026 yang meneroka hubungan antara struktur, pergerakan dan identiti diri.
‘HYBRID’ mengangkat seni dandanan rambut sebagai satu bentuk ekspresi kreatif yang dipengaruhi oleh dunia seni, fesyen dan seni bina. Siri stail ini mengimbangi elemen kemewahan dan keremajaan melalui siluet yang kemas dipadankan dengan tekstur semula jadi, menghasilkan gaya yang moden dan versatil.

Naratif kreatif HYBRID banyak dipengaruhi oleh karya pelukis terkenal Pablo Picasso, khususnya pendekatannya terhadap aliran Kubisme yang menampilkan pelbagai perspektif dalam satu karya. Seperti mana bentuk-bentuk dalam Kubisme dipecahkan dan dibina semula, siluet rambut klasik turut ditafsirkan semula menerusi lapisan dan asimetri yang terkawal. Seni bina pula menjadi asas kepada struktur koleksi ini. Terinspirasi daripada falsafah reka bentuk arkitek terkenal Steven Holl, setiap potongan rambut bermula dengan siluet yang jelas sebelum lapisan dalaman diperkenalkan untuk mewujudkan pergerakan dan kelembutan.
“Potongan ini meneroka lapisan ringan pada permukaan rambut serta pergerakan lembut di bahagian yang membingkai wajah untuk menghasilkan aliran dan tekstur yang lebih semula jadi. Diilhamkan oleh bahasa seni bina minimalis Steven Holl, bentuknya menampilkan struktur yang bersih dengan keseimbangan yang lebih organik. Keseluruhan arah kreatif ini diterjemahkan melalui koleksi HYBRID, di mana seni bina, seni dan reka bentuk rambut kontemporari bertemu dalam satu ekspresi,” jelas William.
Dari aspek pewarnaan pula, pakar warna Portfolio Hair Studio, Junn Ong, mencadangkan rona merah yang lebih terang bagi memberikan dimensi baharu kepada keseluruhan penampilan. Falsafah warna salon ini yang dikenali sebagai Keep It Real memberi penekanan kepada proses mempertingkatkan kecantikan semula jadi berbanding melakukan transformasi yang drastik. Setiap rona dipilih secara teliti mengikut tona kulit, personaliti dan gaya hidup pelanggan agar hasil akhirnya kelihatan lebih autentik dan mewah secara semula jadi.
Untuk penampilan ini, sentuhan rona plum red diwarnakan secara strategik bagi mencipta ilusi kilauan yang lebih menyerlah pada bahagian mahkota kepala. “Sentuhan plum red ditempatkan secara strategik untuk menghasilkan efek kilauan yang lebih sofistikated pada bahagian atas rambut, sekali gus menambah kedalaman dan dimensi bagi menyerlahkan pergerakan keseluruhan potongan rambut,” kata Junn. Hasilnya cukup halus tetapi memberi impak yang ketara, terutamanya apabila terkena cahaya, memperlihatkan tekstur dan bentuk potongan dengan lebih jelas.
Portfolio Hair Studio berlokasi di Plaza Batai, Jalan Batai, Bukit Damansara, 50490, Kuala Lumpur




