Tidak lokek dengan senyuman, itulah Aina Abdul. Figura tinggi kemandirian dalam membina nama dengan jalurnya sendiri. Enggan menoleh ke belakang apatah lagi terperangkap dengan pusaran kata-kata atau kritikan sensasi. Kehadirannya dalam industri membuktikan bahawa dia bukan sekadar produk program realiti atau wajah popular semusim. Dia punyai visi jelas dan kepercayaan terhadap kualiti diri.
Setiap karyanya menyentuh emosi dan sarat makna dengan lirik dan melodi yang jujur dari jiwa. Suaranya yang lunak terbukti telah membentuk komuniti pendengar setia dengan perjuangannya. Kejayaan meraih empat trofi di Anugerah Industri Muzik (AIM) baru-baru ini juga mengukuhkan lagi pengiktirafan terhadap bakatnya, sesuatu yang tidak boleh dijual beli.

de Cartier dan cincin LOVE, kesemuanya
daripada CARTIER. Jaket daripada MSYD

Skaf Panthere de Cartier daripada CARTIER. Dress daripada JUWITA
ELLE: Sebagai permulaan apakah agenda terkini dalam jadual Aina?
Aina Abdul: Agenda jadual saya sekarang sudah tentulah tertumpu kepada projek lagu dan muzik video ‘Sesaat’ yang sudah berada di fasa akhir (ketika sesi temu bual ini dijalankan) sebelum ia dilepaskan. Ia merupakan antara projek yang paling banyak mengajar saya tentang erti berdikari. Selama ini Aina banyak bekerja dengan team Aina dari Malaysia sahaja tetapi untuk ‘Sesaat’ ini kali pertama saya berkolaborasi sepenuhnya dengan penulis lagu dan team dari Indonesia. For me, ia satu pengalaman yang sangat berbeza. Menariknya ‘Sesaat’ adalah lagu yang sangat peribadi. Ia ada kisahnya sendiri dan saya harap nanti bila orang dengar mereka betul-betul faham dan rasa maknanya.
Selain itu, selepas program ‘Raise The Star’ yang tamat baru-baru ini, saya juga sudah mula beralih ke fasa di mana saya menghasilkan sesuatu untuk orang lain pula. Sesuatu yang mungkin akan dikongsi tidak lama lagi.
E: Bila generasi akan datang berkata tentang ‘kejayaan Aina’, apa yang diharap akan diperkatakan?
AA: Saya harap mereka akan ingat betapa pentingnya kekuatan antara bunyi dan visual saya serta bagaimana harmonisnya itu saling melengkapi dalam menyampaikan sesuatu mesej lagu yang bermakna. Ketika saya mula-mula masuk ke dalam industri ini dahulu fokus saya pun hanyalah pada suara dan muzik dari perspektif pencipta lirik lagu sahaja. Saya jarang benar memikirkan betapa pentingnya peranan visual dalam memperkuatkan penceritaan sebuah karya.
Tetapi apabila mula mengenali lebih ramai orang industri saya mula membuka mata bahawa visual bukan sekadar pelengkap, ia sebahagian daripada jiwa karya itu. Saya belajar bahawa kreativiti tidak datang hanya dari bunyi, tetapi juga apa yang dilihat dan dirasai peminat. Jadi kalau satu hari nanti orang dengar runtun lagu Aina Abdul saya harap mereka tidak mendengar muzik bersahaja, malah secara mudah turut membayangi visualnya dalam fikiran mereka. Itu juga akan jadi satu bentuk kejayaan.

E: Tampilan Aina dikenali sebagai seorang figura pentas penuh ekspresi. Namun wujud sisi Nurul Aina yang lebih peribadi. Bagaimana dua sisi ini dibezakan?
AA: Saya rasa peminat yang sudah lama mengikuti saya faham akan kewujudan dua sisi ini. Aina Abdul yang mereka lihat di atas pentas versus Nurul Aina yang lebih peribadi itu lain. Saya cuba sedaya upaya untuk simpan sisi Nurul Aina itu sedekat mungkin dengan diri sendiri dan tidak terlalu menonjolkannya di khalayak ramai. Walaupun kadang-kadang terlepas juga di Instagram.
Bila saya memilih untuk menjadi Aina Abdul saya akan benar-benar masuk ke dalam persona itu yang lebih ekstra dan teatrikal visualnya. Namun Nurul Aina sangat berbeza. Dia lebih pendiam, tidak terlalu overthinking dan ringkas-ringkas sahaja. Nurul Aina juga suka keluar ke bundle, bergaul dengan orang biasa dan bergambar selfie sambil ketawa, itu semua sangat ‘dia’. Dia bukan soal tidak peduli langsung tentang penampilan tetapi dia selesa dengan kesederhanaan. Saya rasa menjadi Nurul Aina itu juga penting supaya bila tiba masa saya menjadi Aina Abdul di atas pentas, saya betul-betul bersedia memberikan kelainan yang dimahukan peminat yang meminta.
E: Jadi tidak keterlaluan untuk katakan bahawa Nurul Aina itu lebih reserved?
AA: Ya betul. Keseimbangan dan kesederhanaan itu saya cari. Personal space. Ruang peribadi tu sangat penting sebab akhirnya saya juga manusia biasa. Ada waktunya saya pun perlu ruang sendiri sebelum bersedia tampil di keramaian sebagai penghibur.

E: Pelbagai reaksi didengari terhadap karya dan penampilan Aina. Bagaimana kecaman di media sosial itu diolah menjadi kekuatan?
AA: Kalau ingin tahu kini saya lebih berterima kasih kepada kewujudan media sosial. Setidak-tidaknya saya dapat mendengar secara langsung apa yang peminat suka dan tidak suka. Apa lagi yang mereka sebenarnya harapkan dan apa yang mereka rasa itu sama ada mewakili taste mereka atau sebaliknya. Di zaman ini untuk ‘menjual’ karya dan diri kita pun memerlukan media sosial walaupun tidak semudah kata-kata.
Dahulu saya mungkin lebih cepat terasa dengan apa yang orang kata di media sosial. Tetapi sekarang saya melihat setiap komen sebagai satu bentuk kritikan membina. Saya ambil yang baik dan selebihnya dijadikan cabaran untuk bangkit. Ia mengajar saya lebih kuat, matang dan bijak mengawal hala tuju kerjaya seni ini.

E: Reaksi terhadap mereka yang mengecam dan mengkritik.
AA: Saya sekarang banyak gelak sahaja dengan kecaman. Sudah lali. Mungkin juga sebab ada support system dan orang sekeliling yang mahu gelak bersama pada kritikan tersebut. Of course saya terhibur membaca ajukan tentang kelainan fesyen pelik saya.
E: ‘Imaji’ menjadi bukti ketekunan Aina walau hampir putus asa. Boleh ceritakan proses kreatifnya?
AA: Imaji dihasilkan dengan penuh blessings melalui kerjasama BEHATI dan juga kerja keras bekas stylist saya. Kami mengambil masa yang sangat panjang dalam setiap sesi brainstorming untuk memilih apa lagi yang ingin kami tonjolkan sebagai visual representasi mewakili seorang Aina Abdul. Dari segi muzik, saya sendiri terlibat secara sendiri menghasilkan sekitar 70 peratus bahagian dalam album ini manakala selebihnya disempurnakan oleh jurutera bunyi, penerbit muzik dan team saya.
Projek album ‘Imaji’ ini membuatkan saya benar-benar jatuh cinta dengan proses pembikinan album itu. Sebelum ini, saya cuma menulis lagu dan menyerahkan kepada mereka yang bertanggungjawab seperti music arranger, tetapi dengan ‘Imaji’ saya yang perlu belajar untuk menjadi lebih matang dalam aspek kreatif dan penyelarasan keseluruhan album. Itu merupakan pengalaman berharga bagi album pertama saya.
E: Jadi persediaan melahirkan lebih banyak album sudah ada?
AA: Bersedia itu iya, tapi belum pasti dari segi kapasiti kerana saya ini mahu terlibat dalam semua aspek. Seperti yang saya katakan, saya particular bukan sahaja tentang audio tetapi juga visual yang selari sama penting. Nantikanlah surprise saya.
E: Perkara yang sering Aina lakukan bila hilang inspirasi?
AA: Kegilaan terkini sudah tentu travel bila terasa hilang inspirasi atau mahu idea. Sekalipun dengan jadual yang sibuk dan padat. Gila tak seorang Aina? (ketawa).
E: Sedikit perkongsian mengenai album baharu.
AA: Kalau nak tahu, album itu masih berada di fasa celaru. Bukan celaru pembikinannya, tetapi contemplating sifatnya. Sebab Aina Abdul masih mahu menyanyi dalam kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris. Contohnya macam lagu ‘Shadow’, ‘Blue’ dan ‘Reminsicing’ yang ada di Spotify dan platform digital lain. Tapi ada sudut dalam hati Aina ini untuk menyanyi lebih banyak lagi lagu dalam bahasa Inggeris.
Saya masih menulis beberapa lagu akhir untuk album kedua itu. Jadi tekad yang saya harap adalah apabila siap nanti, ia akan sangat lain daripada sifat Imaji dan saya yakin bila keluar nanti perbezaannya akan boleh ketara didengarkan.
Pembantu Fotografi: BERNARD CHONG
Solekan: SAHIR SABRI
Penata Hijab: YAYA IBRAHEM
Baca temu bual penuh edisi Oktober 2025.

