Melihat dirinya di layar televisyen terus mengimbau aksi genitnya dan periang dalam beberapa rancangan televisyen kanak-kanak. Antaranya sudah tentu watak sebagai Fasha dalam ‘Hikayat Putera Shazlan’ yang masih diingati sehingga ke hari ini. Sweet tiba ke set ELLE pagi itu sambil berkongsi kepadatan jadualnya mencerminkan komitmen tinggi ditekankan sebagai anak seni. Sedari usia kecil lagi, ibunya sendiri, Misnah Atan telah mendedahkannya kepada dunia kelas lakonan, tarian, peragaan serta pelbagai bidang seni lain bagi mengisi jiwanya dengan ilmu dan keyakinan. Namun pada ketika itu, belum ada siapa yang mampu menduga dalamnya laut untuk diselami, berapa besar lubang untuk digali dan sehebat mana api yang boleh marak dalam kemelut dunia glamor sebagai selebriti jika tidak bijak membawa diri.
Kini menginjak usia 28 tahun dan dua dekad dalam industri, Sweet Qismina atau nama penuhnya Farhanna Qismina Supandi dilihat semakin matang sebagai permata lakonan yang sadurannya bersinar. Dengan keazaman yang tidak pernah pudar, dia membuktikan dirinya tidak sekadar wajah yang memenuhi layar lakonan sahaja tetapi semakin berkembang sebagai seorang figura seni yang menghargai setiap butir dan lapisan emosi dalam kerjayanya.
Berjaya menutup tirai 2025 dirinya dengan penuh gemilang, penampilannya menerusi filem ‘Babah’ menerima pujian positif sekali gus menandakan satu pencapaian besar dalam perjalanan seninya apabila merangkul dua anugerah berprestij. Dalam sesi interviu bersama ELLE kali ini, Sweet berkongsi sisi peribadi sebagai anak seni dan perjalanan kerjayanya yang sarat dengan cabaran, pembelajaran serta cinta yang mendalam terhadap dunia lakonan.
ELLE: Watak Maya dalam ‘Babah’ itu berjaya membuahkan hasil dan tuah sehingga dinobatkan dua anugerah besar industri. Ingin kongsikan tentangnya.
Sweet Qismina: Penutup tirai tahun lalu sememangnya unexpected dalam perjalanan kerjaya saya. Benarlah seperti apa yang orang selalu kata apabila kita sudah merancang, Tuhan pula akan menyediakan aturan yang jauh lebih baik. Dua kejayaan itu benar-benar di luar jangkaan saya dan bukan sesuatu yang mudah untuk diperoleh.
Bagi Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) itu dahulu, semasa tersenarai dalam kelompok lima calon terbaik bersama empat nama besar lain sudah cukup membuatkan saya takut. Kesemua mereka adalah anak-anak seni yang saya pandang tinggi, kagumi dan hormati sebagai senior industri. Sebenarnya saya langsung tidak menjangkakan kemenangan tersebut buat saya. Hingga ke hari ini, saya sendiri masih memikirkan benarkah trofi itu sudah berada dalam genggaman saya. Kita semua tahu, untuk mencapai tahap itu bukan sesuatu yang mudah. Jika melihat kembali barisan pemenang sebelum-sebelum ini juga nama-nama mereka sangat besar dan dikenali. Jadi pada saya, anugerah ini bukan sahaja pengiktirafan tetapi satu tanggungjawab besar untuk saya terus bekerja lebih keras dan memperbaiki diri.
Seterusnya saya sekali lagi diberi kejutan apabila diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di ASEAN International Film Festival and Awards (AIFFA) 2025 menerusi filem yang sama, ‘Babah’. Ketika itu, saya benar-benar tertanya-tanya apakah perancangan yang sedang diatur Tuhan ketika ini. Saya sedar segala ini adalah rezeki-Nya yang luas dan mungkin di sebalik kejayaan ini masih banyak cabaran serta hikmah yang perlu saya cari gali dan fahami. Harapan saya, segala pengiktirafan dan trofi ini menjadikan saya seorang pelakon yang lebih berkualiti, humble, matang dan terus belajar memperbaiki seni berlakon.


E: Harapan Sweet dalam lakonan lantaran meraih dua anugerah industri tersebut.
SQ: Seperti yang saya kata tadi, saya sama sekali tidak menjangkakan dua anugerah itu milik saya. Saya hanya memohon untuk berada pada satu tahap itu sahaja namun Tuhan menghadiahkan sesuatu yang ten steps ahead. Harapan saya sebenarnya cukup ringkas sahaja agar insan-insan dalam industri tanah air terutamanya pihak produksi di luar sana dapat melihat dan mempercayai potensi yang saya ada. Saya ingin terus diberi peluang meneroka dan mengupas lebih banyak watak yang mencabar, selari dengan kemampuan dan perkembangan diri sebagai seorang pelakon hari ini.
E: Jadi pada Sweet, apakah persediaan menghadapi sebarang tekanan yang bakal wujud dalam membawa watak dengan penghasilan impak dan kejayaan serupa?
SQ: Watak Maya dalam ‘Babah’ merupakan antara satu watak paling sukar dan berat pernah saya bawakan. Jadi, jika ada jangkaan daripada penonton untuk melihat impak dan kejayaan yang sama selepas ini, saya tidak mampu menjanjikannya. Setiap watak yang dipegang datang dengan cabaran dan perjalanan emosi berbeza.
Untuk watak itu, saya sendiri perlu melalui beberapa peringkat casting sebelum terpilih. Mungkin saya bernasib baik kerana jiwa watak Maya mempunyai persamaan dengan cerita diri saya yang pernah kehilangan ‘Babah’ sendiri ketika usia 11 tahun. Namun dalam menghidupkan karakter itu, banyak pengorbanan yang turut perlu saya lakukan. Antaranya saya diminta mengurangkan 10 kilogram berat badan bagi menepati penyakit yang dialami watak itu yang diminta untuk kelihatan kurus dan cengkung, selain itu saya sendiri perlu mempelajari bahasa isyarat dengan gerakan tepat.
Secara peribadinya, saya berasa takut untuk memikul tanggungjawab sebesar watak itu atau lebih besar. Sepanjang tempoh penggambaran juga emosi saya benar-benar diuji. Saya menangis sebelum ke set dan balik dari set juga dengan linangan air mata. Tidak kerana menyesal menerima cabaran lakonan itu tetapi kerana betapa sukarnya dalam menunaikan apa yang diminta watak tersebut menjadikannya berimpak dan berkesan.
Namun akhirnya, apabila cerita dan watak itu berjaya meninggalkan kesan kepada penonton, saya berasa sangat puas. Kepuasan itu jauh melebihi segalanya, malah setelah 101 peratus usaha saya tidak pernah langsung memikirkan tentang anugerah yang saya akan dapat. Cukuplah sekiranya orang ramai dapat melihat kesungguhan dan bakat yang saya tonjolkan sepenuh hati.
E: Sebenarnya cara Sweet mendalami watak Maya itu hingga menjadi bagaimana?
SQ: Untuk watak Maya memang kami duduk satu minggu di Langkawi sebelum penggambaran bermula dan semasa itu kami sudah memanggil satu sama lain dengan nama watak masing-masing. Daripada situ, chemistry kami terjalin sendiri. Selain itu, kami memang pergi berjumpa dengan penghidap penyakit Sindrom Guillain-Barré (GBS) sendiri bagi menyelami kisah penyakitnya. Dalam masa sama, Qi Razali sendiri banyak mengajar saya. Sebagai pelakon senior dan dikenali, sangat mudah bekerja dengan dia. Dia tahu untuk membuat semua orang selesa ketika di dalam dan luar set.
E: Secara general pula, apa perkara yang selalu dilakukan Sweet untuk mendalami satu-satu watak?
SQ: Kalau secara ringkas untuk cerita dan watak lain pula, Sweet akan sentiasa menonton drama atau filem yang mempunyai jalan cerita hampir serupa. Daripada situ Sweet akan melihat cara pelakon lain menjayakan watak-watak mereka. Menonton itu bukan untuk meniru cara lakonan mereka tetapi untuk memahami cara pembinaan background character sampai watak menjadi. Saya percaya setiap watak memang berbeza cara pembawaannya. Selain itu, saya akan sentiasa membaca skrip sampai habis terlebih dahulu dan membina graf karakter. Barulah saya akan masuk ke set lakonan dengan yakin.

E: Apa yang Sweet capai hari ini juga saya kira berbekal pasak kesungguhan dan minat yang telah ditanam sejak kecil lagi. Apa yang membuatkan Sweet betul-betul mahu bertahan dan berlakon sehingga kini?
SQ: Kalau ingin jawapan jujur, duit (tertawa). Kalau ingin jawapan lebih serius pula saya akan katakan jiwa saya kepada seni lakonan. Semasa saya darjah satu lagi, ketika orang lain dalam kelas sudah bercita-cita untuk menjadi doktor, jurutera dan sebagainya, saya sudah tahu yang saya ingin menjadi pelakon, penyanyi, penari dan pengacara. Syukur kepada Tuhan semua empat tersebut menjadi aturan yang baik.
Ibu saya jugalah individu yang paling kuat memupuk corak minat saya. Dia sering membiarkan saya dihadapan kamera dan menggalakkan saya menyertai apa sahaja pertandingan, menonjolkan diri di atas pentas. Saya percaya daripada situ, jiwa saya kepada seni lakonan ini telah disemai. Saya tidak pernah rasa lonely apabila ada di hadapan kamera. Adam juga pernah berbual tentang ini. Dia katakan bahawa ketika di set sahaja saya akan menjadi orang lain yang lebih ceria dan sangat gembira.
E: Pernah give up?
SQ: Perkataan give up belum wujud lagi dalam kamus hidup saya sebagai anak seni. Saya masih gembira dengan bidang lakonan yang telah saya ceburi sejak berusia tujuh tahun ini.
E: Watak paling digemari yang pernah dibawa dalam filem dan drama.
SQ: Sangat susah soalan ini jadi saya pilih yang paling terkini. Kalau untuk filem sudah tentu watak Maya dalam filem ‘Babah’. Kalau drama pula saya ingin beri tiga watak yang saya paling suka. Pertama watak Marissa dalam ‘Setiaku Berdiri’ yang kini ditayangkan di Astro. Watak ini menonjolkan kematangan saya. Kedua watak Kayra dalam ‘Bidadari Salju’ sebab saya dapat digandingkan dengan suami sendiri dan cerita ini mendapat sambutan hangat hingga ke Indonesia. Ketiga, watak antagonis pertama yang saya pernah bawa dalam ‘Dendam Seorang Madu’ sebagai Izara. Semasa bawa watak itu dan menerima kecaman di media sosial, saya tahu watak tersebut menjadi.
Kalau sepanjang karier lakonan sejak kecil pula sudah tentu Fasha dalam ‘Hikayat Putera Shazlan’. Lekat di hati semua orang sampai hari ini walaupun kerana cerita itulah yang membuatkan orang tidak percaya saya kini sudah besar meningkat dewasa.
E: Ada keinginan untuk bekerja dengan mana-mana pengarah tertentu?
SQ: Saya sangat teringin bekerja dengan Adrian Teh walaupun saya tidak pasti untuk membawakan watak aksi. Ramai sebenarnya orang dalam industri sering bercakap tentang keupayaannya mengarah dengan baik. Selain itu, saya ingin berlakon di bawah arahan Syafiq Yusof kerana kualiti kerja yang dipersembahkannya. Pilihan saya untuk pengarah lain juga sudah tentu Suhaimi Baba walaupun tiada siapa yang tahu jika dia akan kembali ke dunia pengarahan dan perfileman lagi. Saya harap dia kembali kerana saya sangat ingin bekerja di bawah sentuhan seninya yang cukup disegani.
E: Hero yang teringin digandingkan bersama pula siapa?
SQ: Tentunya ada ramai dalam fikiran saya. Pertama, Beto Kusyairy kerana karakter lelaki yang sering dibawanya. Kedua, Bront Palarae kerana semua orang tahu bakatnya dan ketiga Shaheizy Sam. Ketiga-tiga mereka merupakan nama besar yang sudah lama dalam industri lakonan dan saya sangat hormati. Jika ada rezeki, saya ingin digandingkan dengan semua mereka bersama jika peluang itu datang.


E: Pelakon yang sentiasa dijadikan contoh rujukan dan mengapa?
SQ: Soalan ini juga sukar kerana ramai untuk saya sebut. Cara saya mudah sahaja, lihat watak yang diberikan kepada saya terlebih dahulu kemudian baru mencari rujukan yang ada. Contohnya jika diberi watak untuk romantik komedi, sudah tentu saya akan melihat lakonan Fazura dan Lisa Surihani. Kalau cerita dan watak yang lebih berat pula, saya tentu akan merujuk pelakon hebat seperti Nad Zainal. Begitu juga dengan pelakon versatil seperti Nabila Huda. Setiap mereka mempunyai ciri khas tersendiri. Pada saya, tiada pelakon spesifik yang dirujuk setiap masa namun Nabila Huda itu sudah tentu contoh pelakon terbaik di mata saya.
E: Andai kata diberi pilihan tanpa memikirkan banyak perkara, watak bagaimana yang menggambarkan karakter diri Sweet sebenarnya?
SQ: Ini bukan jawapan daripada saya sendiri tetapi Adam yang sering menyatakan hal ini. Dia ada memberitahu bahawa watak Dian dalam ‘Istanbul Aku Datang’ lakonan Lisa Surihani itu betul-betul mencerminkan diri saya. Seorang yang sangat happy go lucky dan menggembirakan orang lain setiap masa.
E: Jadi betulkah kehidupan berumah tangga sedikit sebanyak memberi warna baru kepada kerjaya Sweet?
SQ: Betul. Saya dibesarkan dengan pandangan seorang ibu selepas ketiadaan ayah. Jadi pandangan daripada seorang lelaki itu jarang saya terima. Saya percaya point of view dua gender sentiasa berbeza. Dengan Adam saya belajar lebih keras, independent dan kuat. Karakter-karakter itu juga saya dapat belajar untuk diserap dalam lakonan. Seperti yang semua orang nampak, Adam menambah warna baru dalam ‘pelangi’ hidup saya. Adalah tambahan sedikit hitam dan kelabu itu (ketawa).
E: Cara Sweet unwind?
SQ: Kehidupan saya sangat membosankan selain kerja. 60 peratus saya letakkan untuk kerja. Jadi cara saya unwind sudah tentu dengan duduk di rumah dan tidak melakukan apa-apa. Cukup berehat sahaja dan menghabiskan masa dengan suami.
E: Baru-baru ini Sweet turut ada berkongsi hantaran perkongsian mengenai cabaran dalam meyakinkan orang dalam industri bahawa Sweet bukan lagi pelakon kanak-kanak dan sukar perjalannya meyakinkan orang ramai tentang bayangan sebagai pelakon kanak-kanak itu. Ingin kongsikan hal tersebut.
SQ: Saya percaya kebanyakan pelakon yang sudah mula berlakon sejak usia kanak-kanak lagi pasti melalui struggle yang sama apabila tiba masanya untuk melakukan perubahan besar dalam menampilkan kematangan sendiri. Kematangan itu sendiri perkara yang sangat subjektif untuk diperkatakan, ia lebih terletak kepada karakter dan pembawaan, bukan semata-mata rupa fizikal seseorang sahaja. Hakikatnya, rupa kita adalah sesuatu yang sukar untuk kita ubah.
Bagi saya sendiri, perjalanan membina kematangan ini juga sememangnya tidak mudah. Saya sendiri pernah ditolak berlakon pada saat akhir selepas casting hanya disebabkan alasan wajah saya dianggap terlalu muda dan tidak sesuai dengan keperluan watak itu. Situasinya sangat mencabar untuk meyakinkan pihak produksi dan menguji keyakinan diri.
Namun saya memilih untuk terus percaya rezeki dan sentiasa berdamai dengan takdir. Saya sedar bahawa lakonan seorang pelakon harus berkembang seiring dengan usia dan pengalaman. Sedikit demi sedikit, saya membina kepercayaan orang dalam industri bahawa saya bukan lagi pelakon kanak-kanak sebaliknya seorang pelakon yang kini sudah dewasa yang mampu memikul tanggungjawab watak lebih besar.
Saya juga ada mengambil inisiatif mengikuti kelas lakonan bagi memecahkan karakter lama yang sering dikaitkan dengan imej comel dan manja sebagai pelakon kanak-kanak. Bagi saya, kematangan akan dilihat secara semula jadi melalui proses, disiplin yang teguh dan kesungguhan untuk terus belajar memperbaiki lakonan diri.

E: Jadi adakah terdapat perbezaan penerimaan industri sebagai pelakon kanak-kanak dan dewasa?
SQ: Sudah tentu ada. Saya percaya untuk menunjukkan kematangan itu, saya perlu menjadi seorang pelakon yang sangat versatil. Di umur 28 ini, boleh sahaja memilih watak namun harus sentiasa bersedia dengan cabaran yang mendatang.
E: Jika suatu hari nanti tidak lagi di lapangan ini, apakah bidang lain yang ingin Sweet cuba?
SQ: Suri rumah sepenuh masa. Namun jika ada pilihan yang betul-betul saya perlu buat selain kerja berlakon, saya ingin melakukan kerja-kerja sebagai seorang pereka grafik. Saya akan melawan semua kecerdasan buatan (AI) yang tidak cukup seni dan jiwanya itu. Jadi untuk menjawab soalan ini, kalau saya tidak berlakon lagi nanti saya mungkin masih dalam industri lakonan dan bekerja sebagai pereka grafik yang serba kreatif.
E: Apa wishlist Sweet yang masih belum tercapai?
SQ: Menjadi pengacara. Saya sangat teringin untuk ada rancangan sendiri seperti ‘Macam-Macam Aznil’. Kalau ingin tahu saya sangat suka kanak-kanak. Kalau secara peribadi pula, saya ingin mendapat baby tahun ini. Sama-sama doakan saya.
Mengakhiri perbualan, Sweet menyatakan rasa gembira, teruja dan tidak sabar melihat hasil editorial bersama ELLE nanti. Baginya peluang ini hadir istimewa memandangkan ELLE merupakan sebuah majalah yang telah lama bertapak dan berpengaruh dalam industri penerbitan fesyen negara. Sebagai pembaca setia majalah sejak kecil dan penggiat seni sendiri, Sweet turut meluahkan kegembiraan melihat keberadaan majalah fesyen berbahasa Melayu terus relevan dan berkembang seiring peredaran zaman.
Setelah sekian lama tidak tampil sebagai wajah muka hadapan untuk mana-mana majalah, tampilannya hari ini menjadi satu simbol fasa baharu buatnya dalam perjalanan kerjaya yang lebih matang, lebih yakin dan lebih jujur terhadap seni lakonan yang dikerjakan. Sweet Qismina percaya setiap rezeki hadir dengan aturan tersendiri dan selagi ada kepercayaan serta kesungguhan dalam diri, langkah kemenangannya akan terus beriring dengan makna dan tujuan.

