Tak terasa panjang waktu berlalu melihat Dayang Nurfaizah bertumbuh daripada persona cungkilan bakat televisyen menjadi seorang penghibur yang dihormati hari ini. Berawal lagak penyanyi kulit hitam di pentas sehingga persis pesona biduanita lewat dua projek ‘Belagu’ – Dayang Nurfaizah sudah melalui satu peralihan karier yang beragam namun masih utuh keperibadian yang tersendiri.
Hari ini pengalaman yang dikutip selama hampir 28 tahun bergelar anak seni, dijalaninya penuh lapang dan jelas. Setiap kali harus membuat satu-satu keputusan semuanya harus berlandaskan apa yang dia percaya dan pada masa yang sama rasional dengan pasaran muzik semasa. Tiada apa lagi yang mahu dibuktikan tetapi semua beralas sabar dan fokus bagi memastikan setiap karya yang dikeluarkan tidak hanya memuaskan hati penggemarnya tetapi berpaksi pada naluri percayanya.
Perjalanan yang dilaluinya untuk kekal bergelar penghibur dijalani tanpa rasa lelah jauh untuk mengeluh. “Kalau boleh Dayang nak terus menyanyi dan menghiburkan peminat. Itu sudah cukup sebenarnya.” Tenang dalam bicara dan komited dalam setiap komitmen, Dayang kekal disenangi semua. ELLE melayari ruang rasa persona muzik, Dayang Nurfaizah.

ELLE: Dayang baru mengeluarkan teaser lagu raya yang terbaru, kedengaran sayu berbanding tahun lalu yang lebih manis penghasilannya. Apa yang Dayang boleh kongsikan tentang lagu ini?
Dayang Nurfaizah: Sebenarnya Dayang tak merancang untuk keluarkan lagu raya tahun ni sebab Dayang rasa tak perlu pun untuk ada lagu raya setiap tahun. Tapi lepas Dayang dengar melodinya Dayang rasa macam lagu ni ada sesuatu yang lain, so macam why not? Kalau nak tahu masa teaser tu keluar lagu belum siap recording pun. Masih dalam proses pembahagian part dan Dayang pun masih sedang mempersiapkan emosi untuk dapat feel yang betul sebab lagu ni lagu sedih.
E: Apa judulnya? Kalau boleh Dayang kongsikan juga komposer untuk lagu ini?
DN: Disebabkan ini projek yang tak dirancang, buat masa ini judul pun belum ada lagi (tertawa). Untuk melodi dengan lirik Hael Husaini yang buat sepenuhnya dan untuk arrangement Iqie Hugh yang akan sempurnakan lagu ini menjadi karya yang lengkap.
E: Lagu raya seperti sudah menjadi portfolio penting kebanyakan penyanyi hari ini. Kepentingannya untuk Dayang pula?
DN: Bagi Dayang, tak ada pressure untuk kena keluarkan lagu raya. Dayang percaya kalau dapat the right song baru Dayang akan consider. Dayang tak nampak kepentingan untuk ada lagu raya setiap tahun sebab kalau hasilnya sama saja pun tak best juga. Apa yang paling penting bagi Dayang adalah material yang tepat dan kena dengan masa yang sepatutnya ia diedarkan. Dayang treat lagu raya as a special project jadi kalau Dayang decide nak record, lagu tu memang kena betul-betul special.
E: Kita berbicara tentang album, terakhir kali ‘Janji’ pada tahun 2024 dengan dua showcase di Penang dan Kuala Lumpur. Ada yang istimewa untuk peminat tahun ini?
DN: Perancangan nak buat konsert berskala besar sentiasa ada. Kali terakhir Dayang buat Konsert Belagu dan showcase ‘Janji’ fokusnya lebih kepada lagu-lagu dalam album tersebut. Konsert memang sentiasa ada dalam agenda tapi nak merealisasikan tu yang susah sebenarnya. Banyak planning yang Dayang kena go through satu per satu. Lepas tu kena fikir konsep yang berbeza sebab kalau boleh setiap kali ada konsert Dayang nak peminat yang datang experience sesuatu yang Dayang tak pernah buat sebelum ini.
E: Berbicara tentang ‘Belagu’ saya kira fenomenanya panjang. I’m quite surprised pada malam Gempak Most Wanted, Dayang masih mempersembahkan lagu-lagu daripada album tersebut biarpun projek itu sudah lebih dua tahun terlaksana.
DN: Dayang pun surprised juga sebenarnya masa dapat offer daripada production mereka nak Dayang perform lagu-lagu daripada album ‘Belagu’. Apa yang Dayang boleh katakan pertama sekali bersyukur masih ada permintaan untuk Dayang perform lagu-lagu dalam album tersebut. Kedua Dayang rasa matlamat utama untuk album tersebut menjadi album yang timeless menjadi, sebab kalau show biasa pun masih lagi ada permintaan untuk Dayang nyanyikan lagu-lagu daripada dua projek ‘Belagu’. Dayang harap ia akan terus diperdengarkan untuk generasi akan datang.

E: Impak ‘Belagu’ itu sangat kuat, ada tekanan untuk hasilkan projek album Pop yang datang dengan impak serupa?
DN: Ada, sebabnya menerusi ‘Belagu’ Dayang dapat kumpul pendengar-pendengar baru. Banyak respons baik daripada generasi muda juga yang dah kembali suka untuk mendengarkan semula lagu-lagu tradisional Melayu.
Untuk projek album Pop pula Dayang dah kena fikir apa pula yang relevan untuk market sekarang. Tricky sebenarnya tapi bagi Dayang whatever it is Dayang kena juga keep producing something sebab daripada situ kita boleh nampak apa yang jadi apa yang tidak. Andai kata tak menjadi kita move forward dengan lagu yang lain pula. Jangan tunggu momen tu datang sebab bagi Dayang kita kena terus bekerja. Itu yang membuatkan momentum kerja berterusan.
E: Telah banyak yang Dayang sudah lunaskan sebagai penyanyi terutama sekali dalam memberi kepuasan kepada penggemar Dayang. Untuk Dayang sendiri semua yang Dayang impikan sudah tertunai?
DN: Susah sebenarnya nak jawab soalan ni. Bagi peminat mungkin Dayang dah buat banyak benda dan of course peminat ada expectation sendiri. Cuma untuk Dayang rasanya akan sentiasa ada benda-benda yang baru Dayang nak explore. Apa benda tu Dayang tak boleh nak cakap tapi Dayang jenis bila idea atau inspirasi tu Dayang akan lihat potensi untuk ia direalisasikan. So, andai kata ada peluang yang datang Dayang akan buat sebaik-baiknya.
E: Dayang work by timeline atau keadaan?
DN: Sekarang Dayang lebih ikut keadaan dan kesesuaian masa. Tak ada tekanan nak kejar deadline atau nak kena ada satu-satu projek pada masa-masa tertentu. Apa yang Dayang rasa bersesuaian ketika keputusan dibuat Dayang akan buat. Kerja dengan timeline tertentu ni kalau tak boleh nak ikut ia akan jadi kelam kabut. So, Dayang rasa better untuk bekerja ikut keadaan.
E: Setakat hari ini Dayang puas?
DN: Puas mungkin belum sepenuhnya tapi Dayang akan happy bila dapat respons baik yang tak dijangka daripada pendengar. Hal ini penting sebab ia bagi semangat untuk Dayang terus berfikir dan bekerja. Bagi Dayang semangat untuk bagi lebih lagi pada pendengar.
E: Dayang ada lapisan peminat yang berbeza usianya. Ada tekanan untuk fikirkan apa yang Dayang boleh tawarkan untuk pendengar generasi baru?
DN: Untuk penghasilan album akan ada tekanan sebab Dayang nak dapatkan keseimbangan antara apa yang Dayang nak buat, apa yang peminat sedia ada nak dengar dan apa yang Dayang boleh tawarkan pada pendengar baru. Itu cabaran untuk Dayang sebenarnya. Kena fikir dan cari balance pada setiap karya yang dikeluarkan. Apa yang Dayang buat tak semestinya semua menjadi dan orang suka tapi semua tu Dayang anggap sebagai proses pembelajaran untuk masa mendatang.
*Baca temubual penuh menerusi ELLE isu Mac 2026.



